PENGUNDI negara Thai telah menggunakan kertas undi untuk menolak campur tangan tentera dengan politik pada Ahad yang lepas. Dua parti pembangkang utama, Parti Mara Depan (MFP) dan Parti Pheu Thai (PTP) masing-masing memenangi 152 dan 141... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUNDI negara Thai telah menggunakan kertas undi untuk menolak campur tangan tentera dengan politik pada Ahad yang lepas.

Dua parti pembangkang utama, Parti Mara Depan (MFP) dan Parti Pheu Thai (PTP) masing-masing memenangi 152 dan 141 kerusi dalam Parlimen yang mempunyai 500 orang ahli.

Sebaliknya, tiga parti utama dalam kerajaan hanya mendapat 70, 41 dan 36 kerusi-kerusi.

Akan tetapi, ini tidak menjamin pembentukan kerajaan gabungan oleh MFP and PTP atau pelantikan ketua MFP Pita Limjaroenrat sebagai perdana menteri.

Perdana Menteri akan dipilih bersama oleh 500 ahli Parlimen dan 250 senator yang dilantik oleh tentera.

Ini ditetapkan oleh Perlembagaan 2017 yang diperkenalkan oleh pemerintah tentera yang merampas kuasa pada 2014 dan memegang kuasa sehingga 2019.

Sekalipun sistem politik Thai jauh berbeza daripada norma demokratik, sistem pilihan rayanya ada elemen yang boleh kita tinjau dan pertimbangkan.

Setiap pengundi Thai mempunyai dua undi. Undi pertama untuk mengundi wakil rakyat kawasan di 400 kawasan pilihan raya sepertimana pilihan raya kita. Undi kedua untuk parti dan akan mengisi baki 100 kerusi, ini yang kita tidak ada.

Untuk undi kedua, seluruh negara Thai itu menjadi satu kawasan pilihan raya raksasa, dan akan mempunyai 100 orang ahli parlimen.

Maka, setiap parti boleh mengemukakan satu ‘senarai’ yang mengandungi sebanyak 100 calon dengan urutan yang tetap. 100 kerusi ini akan dibahagi-bahagikan antara parti-parti mengikut peratusan undi secara berkadar.

Sebagai contoh, MVP mendapat 38.5 peratus undi senarai parti dan diberi 39 daripada 100 kerusi, maka 39 calon pertama dalam senarai MVP akan menjadi ahli Parlimen.

Sekiranya seorang daripada 39 ahli Parlimen senarai parti MVP ini meninggal dunia atau meletak jawatan, tidak perlu berlaku pilihan raya kecil. MVP boleh menggantikannya dengan calon ke-40.

Dengan cara yang sama, PTP mendapat 29.3 peratus undi senarai parti dan diberi 29 kerusi manakala parti Parti Bangsa Thai Bersatu (UTNP) pimpinan penyandang Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha (pemimpin rampasan kuasa pada 2014) cuma mendapat 12.7 peratus undi senarai parti dan hanya dapat 13 kerusi.

Ahli Parlimen yang mewakili kawasan dan mewakili parti mempunyai kuasa yang sama. Dalam 400 kerusi kawasan, MVP memenangi 113, diikuti oleh PTP yang memenangi 112, manakala UTNP cuma dapat 23 kerusi. Ini memberikan MVP sejumlah 152 kerusi, PTP sebanyak 141 kerusi dan UTNP seramai 36 ahli parlimen.

Mengapa pencapaian parti-parti begitu berbeza dalam kawasan dan senarai parti? Ini kerana parti-parti seperti UTNP tidak popular di peringkat kebangsaan tetapi masih mempunyai 23 kubu kuat yang ia dapat menerima sokongan terbesar (tidak semestinya melebihi 50 peratus seperti mana di Malaysia).

Dengan sistem pilihan raya ini, Ahli Campuran Majoritarian (Mixed Member Majoritarian), rakyat akan dapat perwakilan yang lebih merangkumi semua barisan.

Ia juga menguntungkan parti-parti yang penyokongnya berselerak dan tidak akan membawa perwakilan di kebanyakan kawasan.

Sebagai contoh, pengundi yang prihatin tentang perubahan iklim mungkin mencapai 15 peratus di seluruh negara tetapi mereka mungkin tidak tertumpu di mana-mana satu kawasan untuk menjadi majoriti dan memenangkan parti atau calon yang prihatin iklim.

Undi kedua boleh menjamin perwakilan mereka di Parlimen.

Di Sarawak ada Telan Usan

Di Perak ada Teluk Intan

Undi parti selain undi kawasan

Isu makro selain isu tempatan

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca