SHAH ALAM - Tiga cadangan utama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) untuk melaksanakan reformasi institusi dan perundangan negara menjadi indikator positif kepada sektor ekonomi negara khususnya bagi menarik pelabur asing.
Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, dengan terlaksananya pembaharuan ini juga akan memberi lebih keyakinan kepada orang ramai untuk bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membanteras rasuah.
"Saya melihat tiga cadangan reformasi ini sesuatu yang menarik dan baik serta mempunyai objektif positif ke arah memacu tata kelola negara lebih dinamik, cekap, amanah dan bersih. Sekiranya pembaharuan ini dapat dilakukan ia mampu memberi implikasi positif kepada momentum pertumbuhan ekonomi negara kerana pelabur melihat tata kelola yang diamalkan adalah sangat baik dan meyakinkan mereka untuk datang melabur.
"Selain itu amalan tata kelola dalam tadbir urus negara khususnya berkaitan ekonomi bersih ini juga akan memberi jaminan tentang seriusnya Malaysia menangani isu rasuah yang merugikan negara.
"Ini secara tidak langsung akan menarik minat peluang pelaburan ekonomi negara kepada seluruh pelabur-pelabur dunia yang berpotensi untuk datang melabur,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, perubahan masa dan teknologi serta ekonomi memerlukan pembaharuan yang selari dengan perubahan-perubahan tersebut.
Sebagai contoh katanya, reformasi dalam SPRM dan Pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bertujuan supaya ia ditambah baik agar suruhanjaya itu terus menjadi lebih baik berbanding sebelum ini kerana cabaran dan dugaan dalam menangani isu rasuah semakin hebat kerana ia melibatkan bukan sahaja golongan biasa tetapi juga mereka yang mempunyai kaitan dengan politik dan juga sektor ekonomi.
"Isu-isu besar yang melanda SPRM sebelum ini perlu dijadikan sebagai sandaran kepada keperluan wujudnya reformasi ini.
"Malah ia akan beri lebih keyakinan kepada orang ramai dan di sektor kerajaan atau swasta untuk bersama membanteras rasuah negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca