SHAH ALAM - Pendapatan rakyat di bawah RM2,300 perlu dijadikan sebagai penanda aras bagi pemberian subsidi bersasar diesel dan RON95 yang dijangka dilaksanakan kerajaan seawal tahun depan.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana gaji di bawah daripada jumlah itu dianggap miskin dengan mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara adalah RM2,208.
"Sebenarnya mekanisme pelaksanaan pemberian subsidi bersasar ini masih tidak jelas, namun antara perkara yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah dengan jadikan tahap pendapatan rakyat sebagai kayu pengukur untuk subsidi ini.
"Katakan di Malaysia ini kita ada 16 juta pekerja, di mana kita tahu lebih 50 peratus daripada mereka berpendapatan kurang RM2,300. Jadi maksudnya di sini kita ada lapan juta rakyat yang memerlukan subsidi bahan api.
"Pemberian subsidi ini pula boleh disalurkan dengan mewujudkan kad khas untuk isian minyak dengan menetapkan had tertentu, sebagai contoh RM150 atau RM200 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai mekanisme pelaksanaan yang boleh dilakukan kerajaan bagi pemberian subsidi bersasar bahan api.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, bagi tujuan mengenal pasti penerima subsidi yang layak, kerajaan juga disaran supaya bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi besar negara untuk mendapatkan data pengguna.
Ini kerana katanya, syarikat telekomunikasi tersebut mempunyai maklumat hampir keseluruhan rakyat dengan mengambil kira jumlah pengguna telefon pintar di negara ini yang mencecah 38 juta.
"Di Malaysia ini, kita ada 38 juta pengguna telefon pintar, walaupun penduduk kita hanya ada lebih kurang 33 juta. Atas sebab itulah kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi besar ini bagi membolehkan maklumat diperoleh dengan segera,” katanya.
Jelasnya, cadangan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi itu merupakan antara kaedah yang boleh dipertimbangkan kerajaan memandangkan ketika ini Malaysia masih belum mempunyai pangkalan data rakyat yang menyeluruh.
Klik di sini untuk terus membaca