SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meramalkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal diadakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar meramalkan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal diadakan serentak awal bulan Ogos nanti.

Menurut Wan Ahmad, keputusan itu amat signifikan kerana tempoh berakhir penggal pentadbiran beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti Selangor, Kelantan dan Terengganu bakal mencapai tempoh matang dan terbubar secara automatik pada akhir Jun ini.

Menurutnya, tiga DUN lain seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang terbubar sendiri pada Julai dan Ogos nanti, dijangka akan mengikut jejak langkah Selangor, Kelantan dan Terengganu bagi memudahkan SPR menetapkan tarikh pelaksanaan PRN bakal diadakan serentak.

"Apabila DUN terbubar dengan sendiri selepas tempoh matangnya atau dibubarkan, Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk membuat persiapan dan mengadakan pilihan raya bagi memilih wakil rakyat baharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Premium pada Khamis.

Beliau memberi pandangan mengenai tarikh paling sesuai pelaksanaan PRN membabitkan enam negeri kelak.

Pelaksanaan PRN itu juga dijangka menjadi ujian pertama bagi mengukur sejauh mana penerima rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan disertai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan pelbagai parti lain pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas enam bulan ditubuhkan.

Untuk rekod, DUN Selangor bakal terbubar sendiri selepas 25 Jun nanti; diikuti Kelantan (27 Jun), Terengganu (30 Jun 2023); Kedah (3 Julai), Negeri Sembilan (1 Julai) dan terakhir, Pulau Pinang (2 Ogos).

Wan Ahmad berkata, SPR juga perlu mengambil kira faktor penerbangan terakhir umat Islam dari Malaysia pulang daripada menunaikan ibadah haji pada 2 Ogos nanti, sebelum menentukan hari pengundian.

Ujarnya, langkah itu sekali gus mengelak timbul sebarang kontroversi dan isu berkenaan tidak digunakan sebagai modal politik pihak tertentu untuk menyerangnya.

"Jika hari mengundi ditetapkan selepas tarikh penerbangan terakhir jemaah haji pulang dari Tanah Suci maka tidak timbul kontroversi dan rakyat tidak akan salahkan kita kerana tidak dapat mengundi.

"Tarikh pengundian pada awal Ogos memang tepat kerana selepas itu kerajaan mestilah sibuk mahu membuat persiapan untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara yang jatuh pada 31 Ogos setiap tahun,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali juga sependapat dengan Wan Ahmad bahawa PRN membabitkan enam negeri akan diadakan serentak pada awal bulan Ogos nanti.

Mazlan
Mazlan
Mazlan
Mazlan
Mazlan
Mazlan

Beliau juga meramalkan DUN paling awal bakal dibubarkan ialah Selangor iaitu minggu ketiga bulan Jun ini dan diikuti negeri lain, manakala tarikh penamaan calon mungkin ditetapkan pada pertengahan Julai.

Mazlan berkata, mengikut tradisi SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya selepas tempoh dua minggu Parlimen atau DUN dibubarkan bagi membolehkan mereka mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh penting termasuk hari penamaan calon, tempoh kempen dan hari pengundian.

Habis musim haji

Jelas Mazlan, jika DUN Selangor dibubarkan minggu ketiga Jun ini, maka mungkin SPR akan tetapkan hari penamaan calon pada pertengahan Julai, manakala hari pengundian pada awal Ogos nanti.

"Jika ditanya saya bila tarikh sesuai untuk diadakan PRN, maka jawapannya ialah selepas tamat musim haji dan semua jemaah kita sudah pulang ke tanah air.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad mengenai tarikh yang sesuai diadakan PRN terletak di bawah kuasa budi bicara SPR selagi mana tidak melebih tempoh 60 hari DUN atau Parlimen dibubarkan atau terbubar sendiri seperti ditetapkan oleh Perlembagaan,” katanya.

Dari segi strategi politik, jika PRN diadakan pada awal Ogos nanti, Mazlan percaya ia memberi kelebihan kepada parti kerajaan kerana ramai pengundi luar terutama penduduk Kelantan dan Terengganu berkemungkinan tidak akan pulang mengundi.

Jelasnya, ia berikutan perantau sudah pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 dan 30 Jun nanti.

"Jika jumlah peratusan keluar mengundi rendah dan pengundi luar tidak pulang mengundi maka ia memberi kelebihan kepada BN merampas banyak kerusi daripada Perikatan Nasional (PN) di Kelantan dan Terengganu, pada PRN nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan juga tidak menolak kemungkinan bahawa tarikh penamaan calon akan ditetapkan pada hari biasa, manakala hari pengundian di hari minggu bagi memudahkan orang ramai terutama pengundi luar balik mengundi.

Klik di sini untuk terus membaca