MUTAKHIR ini aplikasi Facetune dan penapis pengubah wajah atau face-altering filters (FAF) cukup digemari ramai. Facetune ialah aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menyunting dan meningkatkan kualiti swafoto (selfie) dan foto. Ia... Klik di sini untuk terus membaca

MUTAKHIR ini aplikasi Facetune dan penapis pengubah wajah atau face-altering filters (FAF) cukup digemari ramai.

Facetune ialah aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna menyunting dan meningkatkan kualiti swafoto (selfie) dan foto. Ia menyediakan pelbagai ciri termasuk penapis, alat pengubahsuaian, melicinkan kulit muka, memutihkan gigi, membentuk semula ciri muka dan banyak lagi.

Aplikasi ini boleh digunakan untuk mengubah suai penampilan seseorang dalam foto. Sudah tentu ada berpengalaman memuat naik foto dalam media sosial dan menerima ulasan yang menegur muka sudah berubah.

Setakat ini, lebih 200 juta foto menggunakan Facetune dimuat naik sejak aplikasi ini diperkenalkan empat pelajar Kedoktoran (PhD) Yahudi.

Facetune kini dimiliki firma Israel, Lightricks dan dua tahun lalu syarikat tersebut dilapor memiliki penilaian AS$1.8 bilion (RM8.1 bilion). Laporan statistik www.statista.com menyebut Facetune telah dimuat turun lebih 15 juta kali menjelang 2020 selepas hanya enam tahun diperkenalkan di pasaran.

Bilangan itu meningkat kepada 60 juta kali menjelang 2021. Kini ia dimuat naik melebihi 200 juta kali di seluruh dunia.

FAF memang menyeronokkan tapi ia boleh mengundang beberapa masalah. Ahad lalu, wartawan British Broadcasting Corporation (BBC News), Dave Gordon dan Will Smale menegaskan pihak berkuasa harus mula mengawal perkembangan FAF dan Facetune.

BBC News percaya ramai yang memanipulasi foto dalam media sosial sehingga menimbulkan banyak masalah dan membuka ruang kepada scammers untuk mengambil kesempatan ke atas pihak tertentu.

Paling menarik, seorang pengguna tegar aplikasi FAF, Krystle Berger menegaskan beliau ‘tidak mengubah ciri dirinya’ apabila memuat naik foto dan video dalam Instagram, TikTok serta Facebook. Bagaimanapun, Krystle menegaskan Facetune dan FAF boleh menjadikan beliau cantik tanpa bersolek.

Facetune menjadikan pengguna membuat perubahan halus pada penampilan wajah mereka, seperti melicinkan kedutan atau secara alternatif mengubah sepenuhnya rupa. Contohnya, mereka boleh mengecilkan muka, menukar bentuk dan saiz mata serta mengubah kemancungan hidung.

Dalam hal ini, penulis percaya love scammers boleh mengambil kesempatan ke atas mangsa yang kesepian.

Sebenarnya, ada pihak yang dipertikaikan aplikasi ini kerana ia mempromosikan pandangan kecantikan yang tidak realistik dan berkemungkinan akan memberi kesan buruk kepada pengguna terutama kepada kanak-kanak dan orang dewasa rentetan mudah terpengaruh.

Laporan statistik memberi contoh 80 peratus remaja perempuan melaporkan mereka telah menukar penampilan foto dalam talian sejak usia 13 tahun. Hal ini telah disahkan sebuah syarikat terkenal dengan produk penjagaan kulit, Dove Incorporation.

Ketika ini, belum ada bantahan rasmi agar teknologi ini diharamkan. Begitupun, kerajaan Norway telah memperkenalkan rang undang-undang 2021 meminta pembuat aplikasi media sosial Facetune membuktikan sama ada sesuatu gambar diubah suai atau tidak. Kerajaan Perancis turut mengambil pendirian serupa.

Penulis difahamkan kerajaan British juga sedang mengawasi perkembangan Facetune dan FAF.

Kerajaan British kini melihat kepada isu sama di bawah Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Bill), aplikasi tersebut boleh memanipulasi seseorang menurut Jurucakap Jabatan Sains, Inovasi dan Teknologi.

Kerajaan British dikatakan telah mengiktiraf kandungan yang dimanipulasi secara digital boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan siber secara serius.

Aplikasi Facetune sebenarnya menyumbang kepada piawaian kecantikan tidak realistik. Ia meletakkan seseorang dalam kategori penampilan tanpa cacat (flawless appearance), simetri dan perkadaran muka (facial symmetry and proportions), tekanan imej badan (body image pressures) serta perbandingan dan harga diri (comparison and self-Esteem).

Allah SWT telah menyebut tentang Facetune dalam Surah Al-Hujuraat ayat 49:13 bermaksud "Dan ALLAH telah menjadikan kamu berbagai-bagai warna kulit dan bahasa (keturunan dan bangsa) supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling takwa antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dan Maha Mendalam Pengetahuannya.”

Seorang pempengaruh media sosial yang menggunakan nama Brandon B mempunyai 5.6 juta pengikut dalam YouTube. Beliau berpandangan aplikasi berkenaan berjaya manipulasi foto dan video beliau.

Bagaimanapun, Brandon B percaya aplikasi ini telah berjaya meningkat tahap keyakinan seseorang kerana foto yang ditampilkan memberi kesan positif.

Penulis sebenarnya lebih cenderung kepada kesan yang dialami mangsa sekiranya ditipu oleh love scammers sehingga menyebabkan kerugian besar.

Mangsa bukan sahaja kehilangan maruah, wang ringgit dan mungkin membawa kepada kesan lebih buruk termasuk membunuh diri.

Kesimpulannya, Facetune memberi lebih banyak kesan negatif dan boleh mendatangkan kemudaratan akibat ditipu love scammers.

* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca