SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan pelaksanaan subsidi bersasar diesel dan RON95 sangat sukar untuk dilaksanakan di negara ini memandangkan belum ada mekanisme yang benar-benar berkesan.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, dua cadangan popular iaitu penggunaan kad pengenalan atau MyKad dan melihat kepada cc atau kuasa enjin kenderaan juga belum mencukupi untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada usaha berkenaan.
"Kenyataan saya konsisten sejak dahulu lagi iaitu pelaksanaan subsidi bersasar diesel dan RON95 adalah hampir mustahil untuk dilaksanakan kerana sehingga kini kerajaan masih belum menemui mekanisme terbaik.
"Katalah kita hendak guna MyKad dengan memgambil kira pendapatan rakyat, isunya bagaimana mekanisme itu akan dibuat? Adakah kita hendak tempatkan penguat kuasa di stesen minyak atau bagaimana?
"Katakan pula, kita hendak gunakan cc kereta sebagai penanda aras, namun dalam masa sama kita perlu sedar banyak jenama kereta mewah pada masa ini menggunakan cc yang kecil.
"Ada individu gajinya kecil tetapi menggunakan kenderaan bukan jenama mewah tetapi cc besar, dan ini akan menjadi masalah,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Baharom berkata, melihat akan sukarnya untuk melaksanakan subsidi bersasar itu, kerajaan disyor supaya memfokuskan kepada usaha lain yang lebih penting.
"Hasrat ini bukan baru-baru ini hendak dilaksanakan tetapi telah lama. Saya boleh katakan hampir mustahil untuk dilaksanakan, sedangkan mekanisme kenderaan tempatan dan kenderaan luar negara pun sukar untuk ditangani.
"Lihat sahaja berapa banyak insiden kereta dari Singapura yang mengisi RON95. Bagi saya selagi tidak ada mekanisme, saya tidak yakin pelaksanaan subsidi bersasar ini boleh dilakukan,” ujarnya.
Sementara itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyokong usaha kerajaan memberikan subsidi bersasar bahan api bagi membantu meringankan beban rakyat di samping menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Timbalan Setiausaha Agungnya, Nur Asyikin Aminuddin berkata, subsidi yang diberikan kerajaan kini bukan hanya dinikmati oleh rakyat, tetapi terdapat segelintir pihak yang berpakat dengan pemilik stesen minyak untuk menyeludupnya ke negara jiran.
Klik di sini untuk terus membaca