DALAM upacara pengebumian agama Tao, terdapat pasukan muzik, pendeta taoist, tarian pedang, mainan gendang, gambar dewa-dewi Cina dan sebagainya. Tanpa keraguan, upacara sebegini bertentangan dengan ajaran agama lain seperti Kristian dan Islam.
Namun dalam konteks Malaysia, kita diajar dan dipimpin untuk mengamalkan sikap saling hormat-menghormati. Maka dengan persefahaman ini, tiada sesiapa di Malaysia akan mengadu tentang upacara pengebumian ala-Taoist seperti yang disebutkan di atas.
Kita seharusnya menghormati agama, kebudayaan dan amalan mereka yang beragama lain daripada kita, selagi ia tidak mempengaruhi kita sebagai individu walaupun ia bercanggah dengan kepercayaan kita.
Perihal konsert Coldplay yang bakal dianjurkan di ibu kota, ia bukan sesuatu upacara keagamaan mahupun kebudayaan. Ia adalah satu konsert moden kumpulan kugiran terkenal antarabangsa.
Terdapat suara yang bertentangan dengan penganjuran konsert sebegini. Ini bukannya pertama kali suara bantahan didengari di tanah air berkenaan dengan penganjuran konsert moden bertaraf antarabangsa. Mereka pernah lantang melaungkan bantahan penganjuran konsert Blackpink beberapa bulan dahulu.
Pada pandangan saya, bagi mereka yang tidak setuju dengan Coldplay, mereka boleh memilih untuk tidak menyertai atau menonton konsert tersebut. Biarlah mereka yang berminat buat keputusan bagi pihak diri sendiri.
Saya berikan contoh. Terdapat pemain bola sepak terkenal yang juga memiliki pendirian sosial terhadap LGBT dan kini bermain untuk pasukan bertaraf antarabangsa seperti Manchester United dan Liverpool.
Pendirian mereka yang tidak berkaitan dengan permainan bola sepak dan tidak akan mempengaruhi pendirian para penyokong mereka termasuk kebanyakan penyokong di Malaysia.
Hal ini berlainan jikalau seseorang aktivis antarabangsa berhasrat untuk menganjurkan satu forum khususnya untuk mempengaruhi penonton di Malaysia dalam aspek sosial yang bertentangan dengan pegangan moral dan agama.
Terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa konsert sebegini membawa budaya hedonisme iaitu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan.
Tiada penafian bahawa konsert sebegini adalah sejenis amalan hedonisme. Cumanya, panggilan untuk batalkan sesuatu sekadar merangkumi unsur-unsur hedonisme adalah berlebihan kerana banyak lagi aspek kehidupan yang kita amalkan adalah berasaskan hedonisme.
Contohnya, pembelian kereta Proton X70, menonton wayang di panggung wayang, melancong, menjamu makanan yang sedap, hampir kesemua aspek hiburan dan keraian dalam kehidupan kita di Malaysia, sedikit sebanyak mengandungi unsur hedonisme.
Sekiranya sesebuah konsert patut dihalang sekadar hedonisme, maka banyak lagi aspek kehidupan Malaysia akan terpengaruh, sekali gus menjejaskan pembangunan kemanusiaan, sosial dan ekonomi.
Namun, jikalau konsert Coldplay bercanggah dengan sesuatu agama, biarlah mereka yang beragama lain menyaksikan. Ketua-ketua agama bolehlah memberikan nasihat dan arahan yang sewajarnya untuk rujukan.
Prinsip saling hormat-menghormati adalah menghormati amalan orang lain walaupun seseorang itu tidak setuju dengan amalan tersebut, selagi ia tidak mempengaruhi dan menjejaskan individu tersebut.
Contohnya, saya sememangnya tidak suka untuk menonton filem yang memesongkan sejarah, khususnya sejarah Malaysia.
Akan tetapi, selagi ia tidak mempengaruhi atau menjejaskan saya sebagai individu, saya tidak akan menyeru untuk membatalkan tayangan filem tersebut sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang ingin menonton.
*Tai Zee How, juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca