PERTABALAN Raja Charles III sebagai raja Great Britain dan Ireland Utara pada 6 Mei dan sudah tentu 14 negara alam Komanwelnya (buat masa ini) – menyediakan tontonan tradisi kuno yang disemai dengan kepentingan agama dan perlembagaan.
Segala-galanya daripada muzik kepada pakaian, penglibatan tentera dan turutan upacara, sama ada mengimbas kembali atau sengaja memecahkan sejarah.
Di dalam negeri, kemegahan selain spekulasi tabloid tentang ahli keluarga diraja adalah teras kepada hubungan antara raja dan rakyat, dengan majoriti rakyat Britain yang jelas menyokong sistem tersebut.
Penonton asing (yang mempunyai lebih sedikit pendapat tentang penentuan Ketua Negara British) juga menikmatinya, membentuk komponen kuat diplomasi budaya United Kingdom yang telah disokong oleh banyak siri televisyen yang berjaya di peringkat antarabangsa, berpusat di sekitar atau diilhamkan oleh monarki dan bangsawan British.
Terdapat banyak diplomasi lama, sudah tentu dengan ketua negara dan kerajaan diundang, bukan sahaja ke majlis rasmi tetapi juga majlis resepsi dan acara lain yang mengambil kesempatan daripada kehadiran mereka.
Raja-Raja Melayu telah menghadiri pertabalan Raja British selama beberapa generasi, sejak perjanjian ditandatangani antara satu sama lain. Dalam kes Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar keenam berperang melawan tentera British (salah seorang daripadanya menerima pingat Victoria Cross semasa Perang Bukit Putus) dan Yang di-Pertuan Besar ketujuh menandatangani perjanjian dengan Ratu Victoria.
Yang di-Pertuan Besar kelapan pula menghadiri dua pertabalan British – George VI pada 1937 dan Elizabeth II pada 1953 - sebelum baginda sendiri menjadi Yang di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu pertama pada 1957 apabila Duke of Gloucester mewakili anak saudaranya di Stadium Merdeka.
Sementara itu, Raja Permaisuri Agong kita menjadi tajuk utama kerana dengan bangga ke Westminster Abbey memakai baju kurung moden tenun Pahang yang ditenun oleh banduan Penjara Penor. Pada hari-hari berikutnya, pasangan diraja itu meningkatkan diplomasi budaya kita dengan menonjolkan seni dan kraf Malaysia.
Sesungguhnya, kehadiran raja-raja lain dari seluruh dunia nampaknya menjana minat khusus daripada fesyen, peminat sejarah dan peminat perlembagaan. Malah, akaun media sosial bukan politik juga mendapati diri mereka menyumbang kepada perdebatan tentang konsep monarki.
Kerajaan yang stabil
Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong terutamanya dipuji kerana membolehkan kewujudan kerajaan yang stabil selepas pilihan raya umum lalu, yang keputusannya membawa kepada Parlimen tergantung pertama negara.
Seorang duta baharu berasa kagum lalu berkata: "Di negara saya, tanpa raja tidak mungkin seorang perdana menteri akan dilantik dan diterima secepat itu selepas keputusan seperti itu.”
Namun, sejak beberapa bulan lalu terdapat khabar angin (sekali lagi) mengenai keruntuhan Kerajaan Perpaduan dengan spekulasi penukaran sokongan ahli-ahli Parlimen (walaupun dengan Akta Anti Lompat Parti yang digubal sekarang).
Dalam beberapa hari belakangan ini, ahli politik daripada parti pemerintah telah menekankan komitmen mereka terhadap pengaturan itu – menunjukkan bahawa budaya demokrasi lebih sihat boleh muncul daripada tindakan beraja.
Bagaimanapun, kita tidak boleh hanya bergantung kepada sekumpulan ahli politik untuk memberikan kestabilan. Kita mesti sentiasa berusaha mengukuhkan semua institusi kita terutama institusi yang saling bergantung antara satu sama lain dan institusi yang menyemak serta mengimbangi satu sama lain.
Langkah pertama, seperti telah lama saya hujahkan adalah memperkenalkan pendidikan sivik yang lebih baik supaya rakyat memahami rasional dan operasi semua institusi kita seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain.
Penting juga untuk memberi ruang diperlukan kepada orang ramai membincangkan dan membahaskannya. Walaupun sudah tentu perlu ada perlindungan untuk setiap orang termasuk tokoh awam terhadap fitnah, saya tidak bersetuju dengan mereka yang hanya mengatakan bahawa sesetengah topik terlalu ‘sensitif’ dan tidak boleh dibincangkan.
Pendekatan sebegitu hanya menimbulkan kekecewaan yang boleh membawa kepada kemarahan dan keganasan di kemudian hari. Sebaliknya, jika terdapat topik yang dianggap sensitif, maka hal itu merupakan alasan mengapa kita harus mengajar orang muda untuk berfikir dan berkomunikasi dengan lebih baik. Begitu juga, mereka yang percaya kepada sistem kita harus berani mempertahankannya.
Seperti yang saya nyatakan dalam ucapan saya pada ulang tahun ke-13 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), ritual dalam demokrasi kita – sama seperti acara hari raya atau upacara pertabalan adalah penting.
Proses pilihan raya, pembentukan kerajaan selepas pilihan raya dan memastikan kerajaan bertanggungjawab sehingga pilihan raya akan datang – hal-hal itu adalah perkara mesti diterapkan dan diamalkan dengan berwaspada bagi memastikan kehidupan sivik yang sihat di negara kita.Marilah kita berharap interaksi antara raja, institusi dan rakyat akan memastikan kesejahteraan sedemikian untuk generasi akan datang.
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS
Klik di sini untuk terus membaca