BANJIR luar biasa telah menyebabkan lebih 200 juta penduduk di tengah Somalia terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing di tengah-tengah kemarau paling buruk dalam tempoh empat dekad yang sedang melanda negara Afrika Timur itu.
Saintis iklim dan agensi memberi amaran Mogadishu sedang menerima impak perubahan iklim walaupun ia bukan antara negara bertanggungjawab membebaskan gas karbon dioksida (CO2).
Musim hujan di Somalia dan hulu di kawasan tanah tinggi Ethiopia telah mencetuskan banjir kilat yang memusnahkan rumah penduduk, ladang pertanian serta haiwan ternakan.
"Kini seluruh bandar Beledweyne yang merupakan ibu kota wilayah Hiraan tenggelam. Ia bertukar seperti lautan dan hanya bumbung rumah kelihatan.
"Kami terpaksa menggunakan bot dan traktor untuk menyelamatkan penduduk,” kata pekedai, Ahmed Nur yang perniagaannya turut terkesan.
Menurutnya, ketibaan musim hujan beberapa minggu lalu diraikan komuniti setempat kerana mereka menyangka ia petanda kemarau teruk akan berakhir.
"Penduduk sangat gembira kerana dapat melakukan aktiviti bercucuk tanam semula,” ujarnya.
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan banjir sejak pertengahan Mac lalu telah menjejaskan lebih 460,000 penduduk seluruh negara Tanduk Afrika berkenaan, selain meragut sekurang-kurangnya 22 nyawa.
Bencana berterusan yang melanda Somalia seakan-akan membuktikan ramalan Bank Dunia bahawa kira-kira 216 juta penduduk di negara itu terpaksa hidup berpindah-randah dalam negara sendiri kerana fenomena tekanan iklim menjelang 2050.
"Kami mungkin perlu berpindah ke perkampungan lebih jauh kerana Beledweyne tidak wujud lagi,” kata ibu kepada dua anak, Halima Abdullahi.
Situasi di salah sebuah negara termiskin di dunia itu semakin meruncing memandangkan ia juga sedang menghadapi pelbagai krisis seperti kemarau di beberapa bahagian lain dan ancaman kumpulan pemberontak yang menentang kerajaan persekutuan di Mogadishu.
Pakar memaklumkan cuaca ekstrem berlaku dengan lebih kerap kerana fenomena perubahan iklim dan rantau Afrika yang menjadi penyumbang paling rendah untuk pemanasan global kini terpaksa menanggung beban.
Difahamkan, Afrika Tengah dan Timur sering mengalami cuaca luar biasa ketika musim hujan.
Pada awal bulan lalu, sekurang-kurangnya 135 terbunuh, manakala lebih 9,000 hilang tempat tinggal selepas hujan lebat berterusan melanda Rwanda hingga mencetuskan banjir kilat serta kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan.
Cuaca buruk di Republik Demokratik Congo turut mengorbankan lebih 400 nyawa pada minggu lalu.
Pada akhir 2019, sekurang-kurangnya 265 terkorban, sementara puluhan ribu hilang tempat berteduh ketika musim hujan berlarutan selama dua bulan di beberapa negara di Afrika Timur.
Cuaca ekstrem itu menjejaskan hampir dua juta penduduk di Burundi, Djibouti, Ethiopia, Kenya, Somalia, Sudan Selatan, Tanzania dan Uganda.
Klik di sini untuk terus membaca