RAKYAT United Kingdom (UK) baru sahaja selesai meraikan pertabalan King Charles III sebagai raja yang baharu. Majlis gemilang itu membayangi pilihan raya tempatan yang dijalankan beberapa hari sebelum pertabalan.
Sebagai sebuah negara demokrasi matang, pilihan raya di UK diadakan mengikut undang-undang dan tertib yang telah diamalkan sekian lama. Namun, pilihan raya tempatan kali ini mencatat sejarah apabila undang-undang baharu diperkenalkan – pengundi berdaftar dikehendaki mengemukakan tanda pengenalan diri bergambar bagi mengesahkan identiti masing-masing.
Bagi kita di Malaysia, membawa kad pengenalan bukanlah perkara asing kerana sejak berusia 12 tahun, rakyat negara ini telah diwajibkan untuk sentiasa membawa kad pengenalan.
Di UK dan banyak negara lain, tanda pengenalan diri dianggap sebagai cara pemerintah mengawal kebebasan rakyat dan tidak diterima masyarakat umum.
Lesen memandu dan pasport adalah antara dokumen pengenalan yang sering digunakan sebagai tanda pengenalan. Masalah timbul kerana tidak semua rakyat mempunyai lesen memandu atau pasport.
Daftar pemilih adalah ibu kepada integriti pada pilihan raya. Keesahan butiran pengundi adalah bagi menjamin pemilihan wakil rakyat yang betul-betul mewakili penduduk dalam kawasan pilihan raya tersebut.
Di Malaysia, data dalam daftar pemilih diperoleh oleh Suruhanjaya Pilihan Raya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Melalui pendaftaran pengundi automatik sekarang, rakyat berusia 18 tahun dan layak didaftarkan akan secara automatik menjadi pengundi.
Sebelum ini pengundi di UK hanya perlu memperkenalkan diri dengan nama dan alamat. Jika butiran itu selaras dengan catatan dalam daftar pemilih, mereka akan dibenarkan mengundi walaupun tanpa pengenalan diri bergambar.
Sejak 2018, terdapat kurang daripada 20 kes penipuan semasa pilihan raya yang menyebabkan permintaan terhadap undang-undang berkaitan tanda pengenalan diri bergambar lebih ketat bagi memastikan tahap integriti lebih tinggi dalam daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya.
Setiap aspek dalam pengurusan dan perjalanan pilihan raya memerlukan tahap integriti tinggi. Pilihan raya yang bebas, telus dan adil akan menjamin penerimaan keputusan pilihan raya oleh semua pihak. Sebarang keraguan walau sekecil mana sekali pun akan menjadikan keesahan kerajaan yang dibentuk hasil daripada pilihan raya tersebut dipersoalkan.
Sebarang perubahan dalam per-jalanan pilihan raya akan mendapat reaksi pelbagai pihak. Ramai pengundi di UK tidak dapat mengundi baru-baru ini kerana tidak mempunyai kad pengenalan bergambar yang diterima oleh pihak pengurusan pilihan raya.
Perkara itu menjadi lebih gawat kerana kerajaan sememangnya tidak mengeluarkan kad pengenalan seperti di Malaysia. Kad pengenalan, kad waran anggota polis dan kad pelajar tidak diterima kerana tidak dikeluarkan oleh kerajaan.
Ramai mendakwa hak mereka untuk mengundi dinafikan kerana perubahan dalam proses pilihan raya yang tidak memberi nilai tambah kepada keputusan pilihan raya.
Asas dalam transformasi adalah sebarang perubahan dilakukan seharusnya bagi memenuhi permintaan dan membawa nilai tambah tinggi hasil daripada perubahan tersebut.
Perubahan atas dasar hanya mengubah tanpa memberi nilai tambah akan ditolak oleh semua pihak. Manusia lebih selesa dengan perkara yang telah biasa dan perkara baharu yang akan lebih menyusahkan terutama apabila melibatkan sesuatu di luar kawalan akan ditolak.
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan 49 cadangan pembaikan kepada sistem serta undang-undang pilihan raya di Malaysia.
Kesemua cadangan tersebut akan membawa nilai tambah kepada sistem demokrasi di negara ini jika dilaksanakan dengan baik.
* Amerul Muner Mohammad ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan raya (ERC) danPengasas Bersama Centre for Electoral Education and Democracy
Klik di sini untuk terus membaca