AHAD lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian menekankan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinannya akan menjadikan politik progresif dan matang sebagai pegangan sayap tersebut sejajar dengan politik negara yang jauh berubah. Beberapa perkara dilihat beliau mewajarkannya.
Pertama, perubahan dalaman parti UMNO yang semakin nyah-bangsawan apabila orang kampung biasa sepertinya mampu naik menjadi pemimpin kanan sebuah parti yang kental dengan budaya kebangsawanannya.
Kedua, kesediaan UMNO untuk menerima hakikat bahawa jurang antara parti sekutu dan pembangkang yang semakin mengecil serta dinamik memerlukan semua pihak lebih terbuka untuk berbincang pada bila-bila masa.
Di sebalik keengganan untuk menolak unsur politiking yang masih kuat dalam budaya kepartian, fakta bahawa politik progresif dan matang perlu menjadi jalan ke depan (the way forward) untuk semua tanpa perlu mengorbankan prinsip serta ideologi masing-masing adalah caranya.
Bagaimanapun, dinamika politik semasa masih belum memperlihatkan keazamannya untuk membawa politik progresif dan mengembangkannya secara signifikan.
Pertama, nilai konservatisme yang masih kuat, sama ada dari dalam mahu pun luar parti sering menajamkan konservatisme politik, ditambah dengan idea keunggulan primordial yang didukung parti-parti tertentu.
Kedua, budaya politik yang masih feudal dan parokial (berfikiran sempit) sukar dikikis di sebalik peningkatan serta perubahan politik yang mengarusperdanakan idea-idea progresif bagi memperbaiki proses dan perjalanan demokrasi negara.
Sejauh mana pun usaha-usaha telah diambil, halangan budaya yang diburukkan lagi dengan lemahnya keupayaan aktor politik mengurus kepentingan berbeza membawa kepada politiking berpanjangan.
Peluang itu datang apabila kuasa sosial yang tidak konvensional telah menterbalikkan cubaan parti-parti politik yang merebut kuasa pada pilihan raya.
Dengan hal tersebut, parti politik tiada pilihan lain selain terpaksa akomodatif demi mempertahankan kuasa berbanding kehilangannya menerusi politik kebencian berasaskan identiti.
Justeru, dengan senario ancaman keruntuhan sistem demokrasi negara, maka kuasa politik progresif yang berselerak dalam Kerajaan Perpaduan hari ini harus menyatukan pakatan strategik.
Ia sudah pun bermula ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan minggu lalu. Maka, langkah seterusnya adalah mewujudkan keseragaman kawalan aliran maklumat dalam menerangkan perancangan dan penyelesaian kepada masalah rakyat yang perlu diselesaikan segera.
Dua perkara tersebut harus menjadi pemula kepada pembinaan politik progresif dan matang. Malah, hal tersebut adalah pemangkin kerana kedua-duanya bertindak sebagai unit yang boleh dicapai tanpa mengorbankan salah satunya, antara prasyarat penting bagi mengekalkan status quo parti masing-masing.
Paling penting, rakyat perlu yakin bahawa agenda politik progresif adalah untuk mengekalkan kesinambungan kestabilan dan pembangunan negara. Pada masa sama menyumbang kepada kemajuan demokrasi.
Selain itu, bagi memastikan usaha membina politik yang progresif tidak surut lalu tenggelam, setiap parti yang menganggotai kerajaan ketika ini harus memainkan tugas masing-masing untuk mengalihkan pusat politik daripada perebutan kuasa kepada penggagasan idea-idea bernas.
Mengambil kira kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan kelebihan dalam kalangan parti masing-masing, jika ia digembleng dengan baik tentu akan menghasilkan pendekatan berkesan untuk menyelesaikan masalah utama rakyat terutama hal-hal terkait dengan bakul ekonomi mereka yang sangat mendesak.
Hal itu bukan sahaja cukup ampuh untuk melawan naratif jahat politik perkauman yang sempit, malah memberikan momentum bagi mewujudkan kesedaran baharu bahawa hala tuju politik negara mesti dikembalikan kepada cita-cita progresif asal seperti dihasratkan sebagai sebuah negara bangsa.
*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca