TIDAK dapat dinafikan bahawa isu semasa paling besar yang melanda pemikiran rakyat akibat globalisasi di negara ini adalah kepelbagaian di dalam pemahaman dan kepercayaan tentang apa itu demokrasi – dan tentunya tentang hak kebebasan bersuara itu sendiri dan pelbagai persoalan lain yang muncul dari masa ke masa yang menyentuh kehidupan kita.
Mutakhir ini, isu-isu yang dibangkitkan seolah-olah sudah berada di luar kawalan. Atas nama kebebasan bersuara, isu-isu yang selama ini dianggap tertutup sudah menjadi perbincangan dan perbahasan terbuka.
Dalam kalangan pengguna media sosial, pemikiran dan pandangan tentang hak kebebasan bersuara ini muncul bagaikan satu rantaian bertenaga.
Pengaruhnya telah memberikan kesan yang tidak pernah disaksikan dalam sejarah Malaysia sebelum ini sehingga meninggalkan apa yang dipanggil sebagai butterfly effect.
Akibat hayunan kecil sayap si rama-rama ini ada yang untung, ada yang rugi dan tidak kurang juga ada yang tercedera manakala segolongan lain pula rasa terasing dengan pengaruh terkini fahaman demokrasi liberal, diversif dan progresif.
Persoalannya sekarang ialah bagaimana kita beransur-ansur memanfaatkan kebebasan bersuara secukupnya supaya ia memberi kebaikan kepada kita? Hal ini kerana kebebasan bersuara sebagai satu konsep kuasa untuk memajukan negara juga menyembunyikan risiko besar kepada kestabilannya.
Pada waktu sama, kita juga tidak mahu menjadi terlalu was-was dan curiga sehingga kita menutup semua pintu untuk berubah kepada yang lebih baik.
Dengan kata lain, janganlah kita simpan mentaliti paranoia dan perbuatan melulu yang melampau. Paling utama, jangan mendedahkan bahaya keterlaluan kepada diri sendiri sehingga tiada jalan pulang setelah kita tersesat di hujung laluan kerana terlalu taasub dengan nilai dan ideologi yang diperjuangkan. Hal ini kerana kita tidak mahu berlaku keterlanjuran.
Almaklumlah, di sebalik wajah yang menggoda kebebasan bersuara ini, kita tidak mungkin lari daripada kesulitan utama yang hadir dalam sifatnya – pertama, ia terdiri daripada pelbagai fahaman dan pendapat yang saling bercanggah; kedua, alam perkongsian kebebasan bersuara di luar sana sebenarnya penuh dengan perangkap dan muslihat apa lagi jika terpengaruh dengan nilai-nilai luar. Berapa ramaikah di antara kita yang cukup arif untuk membezakan antara berlian dan kaca?
Benar setiap zaman dan tamadun pasti diuji dengan cabaran daripada luar dan dalam tetapi tidak pernah ada tamadun yang sebelum ini mengalami kekeliruan seperti apa yang yang kita hadapi hari ini.
Kekeliruan maklumat (conflicts of information) yang juga menghinggap kepada kekeliruan kebenaran (conflict of truths) adalah krisis paling besar yang dihadapi oleh ketamadunan manusia di mana juga. Kita juga tidak terkecuali.
Sebenarnya tiada resipi rahsia bagaimana kita harus memanfaatkan tenaga cergas kebebasan bersuara yang ada di depan kita terutamanya dalam kalangan pengamal media sosial yang tidak diragukan telah menjadi satu wadah berkomunikasi lebih luas dalam kalangan generasi muda.
Justeru, kunci kepada penggunaan sosial media dalam menzahirkan pemikiran dan pendapat yang berlawanan dan bertentangan itu adalah untuk kita semua kembali kepada identiti diri sebagai warganegara Malaysia.
Kebebasan bersuara generasi terdahulu termasuk dalam kalangan perintis kemerdekaan wajar dicontohi. Mereka berani bersuara, tetapi beradab, berhemah dan penuh hikmah. Jangan ada antara kita bersikap angkuh dan memutuskan akar jati diri yang kukuh semata-mata hanya ghairah atau kaget untuk berdiri setara dengan acuan masyarakat antarabangsa, lalu mencedok bulat-bulat apa yang cuba dilontar oleh pihak luar.
Kita mungkin sebuah negara yang kecil saiznya. Tetapi semakin kuat kita berpegang kepada identiti dan cara mulia yang kita amalkan selama ini, yang telah membawa kestabilan kepada negara kita, maka kita semakin akan dihormati dan dipercayai oleh mereka di pentas antarabangsa.
Jika cara kita ditolak dan dikeji sekalipun, sekurang-kurangnya kita telah yakin dan setia pada identiti yang diwarisi daripada nenek moyang kita yang telah mengasaskan penubuhan negara bangsa ini.
Sudah sampai masanya bagi pengamal media sosial di negara ini menjadi perintis kepada upaya membentuk kebebasan bersuara yang berpaksikan jati diri Malaysia yang ditunjangi oleh nilai-nilai mulia dalam masyarakat kita sendiri.
Jangan biarkan dan benarkan perbezaan pendapat dalam kalangan kita membuak-buak sehingga muncul ketidakpercayaan dan syak wasangka melampau yang sebenarnya asing daripada budaya kita sampai memusnahkan diri sendiri.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca