RABU ini, 24 Mei, genaplah enam bulan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Beliau juga adalah Menteri Kewangan.
Antara perkembangan dalam bidang ekonomi yang boleh kita jadikan penanda aras kerajaan pimpinan beliau adalah kelulusan pelaburan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini (Januari hingga Mac).
Pada 19 Mei, beliau mengeluarkan satu kenyataan bahawa kira-kira RM71.4 bilion permohonan pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi telah diluluskan dalam suku pertama tahun ini atau peningkatan 59.7 peratus berbanding RM44.7 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Sementara Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula mengumumkan yang ekonomi negara dalam suku pertama tahun ini berkembang pada kadar 5.6 peratus atau 1.5 peratus lebih rendah daripada tempoh yang sama tahun lalu.
Dengan itu, nilai KDNK jatuh daripada RM398 bilion kepada RM380.9 bilion. KDNK adalah nilai semua barang dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam sesuatu tempoh setelah ditolak kos yang digunakan dalam proses penghasilannya.
Perbelanjaan swasta meningkat 5.9 peratus berbanding 7.3 peratus dalam suku keempat tahun lalu. Ini menunjukkan keyakinan swasta terus berada di paras sihat walaupun susut sedikit.
Akan tetapi, perbelanjaan kerajaan menguncup 2.2 paratus berbanding kenaikan tiga peratus pada suku keempat tahun lalu. Perbelanjaan pembekalan dan perkhidmatan kerajaan jatuh.
Selalunya, dalam keadaan ekonomi yang menurun, kerajaan akan berbelanja lebih banyak bagi memesatkan semula pertumbuhan. Adakah kerajaan sengaja mengurangkan perbelanjaan sebagai langkah penjimatan atau akibat kelembapan pengurusan kewangan.
Adalah mustahil kerajaan kekurangan wang kerana Perdana Menteri sendiri amat bangga dengan peningkatan kutipan cukai sejak tertubuhnya kerajaan campuran (perpaduan) enam bulan lalu.
April lalu, beliau dilaporkan berkata, ketegasan kerajaan mentadbir negara menerusi dasar-dasar diperkenalkan berjaya membantu meningkatkan hasil.
Katanya, kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) semakin bertambah dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini. Bagaimanapun, media massa tidak pula memetik beliau mengenai jumlah kutipan.
Laporan media mengatakan, di bawah Belanjawan 2023, LHDN ditugaskan mengutip RM164 bilion bersih daripada anggaran cukai sebanyak RM176.1 bilion. Tahun lalu, LHDN mencatatkan pangutan paling tinggi pada kadar RM175.4 bilion atau 21.75 peratus berbanding 2021.
Lazimnya, mana-mana pun kerajaan yang mempunyai kemampuan kewangan akan menambah perbelanjaan pada ketika pertumbuhan ekonomi menurun. Ini adalah kaedah biasa kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, pembentukan modal tetap kasar (GFCF) bagi suku pertama tahun ini pula merosot kepada 4.9 peratus daripada 8.8 peratus pada suku keempat tahun lalu.
Bank Negara meramalkan yang ekonomi akan berkembang pada kadar antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus tahun ini berbanding 8.7 peratus tahun lalu.
Saya tidak tahu banyak mana Perdana Menteri menjalin rangkaian kerja dengan penggiat ekonomi, khususnya sektor swasta bagi mengetahui degup jantung ekonomi negara dan global.
Saya juga kurang pasti sama ada Perdana Menteri telah melakukan ucapan state of the union bagi memaklumkan kedudukan dan arah tuju negara sejak memegang jawatan enam bulan lalu selain pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang sedang bergelora sekarang, adalah amat baik jika kerajaan dan jenteranya dapat menjalankan kempen bagi menambah keyakinan terhadap ekonomi negara dalam memotivasikan rakyat jelata agar berusaha lebih kuat.
Kesimpulannya, adalah amat membantu sekiranya Perdana Menteri dan menteri-menteri beliau membincangkan isu-isu ekonomi dan kewangan dengan berpaksikan fakta, perangkaan dan analisis yang lengkap dan media massa pula melaporkannya dengan terperinci.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.
Klik di sini untuk terus membaca