SHAH ALAM - Penyokong dan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab untuk menyokong antara satu sama lain dalam memastikan kelancaran pemindahan undi (transferable vote) kepada calon dua koalisi berkenaan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penyokong dan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab untuk menyokong antara satu sama lain dalam memastikan kelancaran pemindahan undi (transferable vote) kepada calon dua koalisi berkenaan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, semangat kesepakatan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan perlu diterjemah di peringkat bawah, khususnya melibatkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri kelak.

"Soal 'transferable vote' daripada satu pihak (BN) ke pihak lain (PH), kali ini menjadi tanggungjawab penyokong dan pemimpin kedua-dua parti untuk menyokong antara satu sama lain.

"Penyokong PH ada tanggungjawab menyokong calon BN di kerusi-kerusi kita tandingi, begitu juga penyokong BN kena sokong calon PH.

"Ini persefahaman yang sangat mustahak dan penting bagi kita memastikan kawasan ditandingi akan dimenangi BN-PH," ujar beliau dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium baru-baru ini.

Terdahulu, Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu berakhir dengan 19 parti bersepakat untuk menoktahkan permusuhan di antara mereka demi menjamin kestabilan politik di Putrajaya.

Zambry yang juga Menteri Luar, turut mengakui keberkesanan proses pemindahan undi itu tidak sukar.

Hal ini kerana beliau menjelaskan dari segi kelompok BN dan PH itu sendiri, untuk memahatkan persefahaman supaya dapat dilaksanakan 'transferable vote', itu perlu dilakukan di peringkat akar umbi.

"Sekarang ini selepas Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan berakhir, keputusan-keputusan tercapai dalam program itu perlu diturunkan ke peringkat bawah.

"Akhirnya nanti yang akan membuat keputusan dan memilih calon-calon daripada BN dan PH adalah penyokong-penyokong kedua-dua parti.

"Proses membentuk persefahaman bersama ini sangat penting untuk kita bina. Insya ALLAH kita ada tempoh masa beberapa bulan untuk mendepani PRN enam negeri. Saya yakin kita akan dapat jayakan proses itu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca