IPOH - Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak mengesahkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bakal mengadakan sidang akhbar tergempar bersama-sama 32 ADUN penyokong kerajaan sebelum bermulanya sidang DUN pada Isnin.
ADUN Behrang, Salina Samsudin berkata, keputusan sidang media khas itu diadakan bagi memperjelaskan dakwaan Ketua Pembangkang DUN, Razman Zakaria kononnya terdapat beberapa ADUN bertindak berjumpa dengan Pesuruhjaya Pas Perak itu, di tengah-tengah spekulasi wujud gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Ujarnya, sidang akhbar diketuai Saarani itu bertujuan membuktikan semangat kebersamaan di antara ADUN penyokong kerajaan negeri terutama sembilan ADUN BN adalah sangat kukuh.
Beliau turut menolak sebarang kemungkinan terdapat usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Saarani selaku Menteri Besar yang mungkin akan dikemukakan oleh mana-mana ADUN Kerajaan Negeri pada sidang DUN.
"Pagi esok (Isnin) sebelum sidang DUN (berlangsung), kami (ADUN) ada sidang akhbar. Semua ADUN BN akan hadir.
"Sidang akhbar khas ini juga bertujuan hendak menunjukkan semua ADUN Kerajaan BN bersama-sama menyokong menteri besar dan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Perak,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau mengulas dakwaan Razman bahawa terdapat beberapa ADUN kerajaan negeri berjumpa dengannya ketika khabar angin wujud gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan Perak.
ADUN Gunong Semanggol itu berkata, beliau didatangi sendiri oleh ADUN-ADUN berkenaan, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah dan nama yang terlibat.
Sebelum itu, Saarani meluahkan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan negeri itu kekal sehingga tamat penggal menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurutnya, beliau sendiri telah mendapatkan maklum balas daripada semua ADUN selepas mendengar desas-desus kononnya kerajaan negeri akan bertukar pada Julai ini.
Jelas ADUN Kota Tampan itu, Perak juga meluluskan Enakmen Antilompat Parti pada Disember tahun lalu yang melarang wakil rakyat melompat parti.
Sehubungan itu, beliau yakin wakil rakyat Perak tidak berbuat demikian kerana mereka akan kehilangan pelbagai kemudahan di samping tidak dapat bertanding mempertahankan kerusi masing-masing.
Sementara itu, Salina mendedahkan semakan BN Perak mendapati tiada seorang pun ADUN parti itu yang menghubungi Razman sebagaimana didakwa pemimpin Pas berkenaan.
"Dia (Razman) sepatutnya nyatakan terus, ADUN PH atau ADUN BN yang jumpa dia. Bukan main teka-teki,” tambah beliau.
Dalam pada itu, seorang lagi wakil rakyat BN dari DUN Chenderiang, Choong Shin Heng turut mengesahkan Saarani akan membuat satu sidang akhbar sebelum sidang DUN bagi menjelaskan spekulasi gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang berterusan dimainkan pihak tertentu.
"Ya, Menteri besar akan buat penjelasan lanjut berkaitan perkara ini (spekulasi jatuh kerajaan) pada sidang media sempena sidang DUN esok.
"Soal pengumuman itu tergempar atau tidak, kita tunggu sahajalah kenyataan beliau,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca