SHAH ALAM - Jentera penerangan UMNO di seluruh negara perlu segera memperjelaskan kepada ahli parti tentang rasional menyokong Pakatan Harapan (PH), khususnya calon bukan Melayu daripada DAP. Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jentera penerangan UMNO di seluruh negara perlu segera memperjelaskan kepada ahli parti tentang rasional menyokong Pakatan Harapan (PH), khususnya calon bukan Melayu daripada DAP.

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, jika usaha itu tidak dilakukan sekarang, parti itu mungkin berdepan dengan bukan sahaja orang Melayu tidak mengundi calon-calon daripada PH, tetapi mereka akan terus menolak UMNO.

Beliau turut menggesa agar Konvensyen Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dilakukan dalam masa terdekat seperti di Kedah dan enam negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) bagi membentuk persefahaman kukuh dan jitu.

"Sekarang, kita menghadapi masalah understanding dalam kalangan ahli UMNO supaya menyokong dan mengundi calon-calon PH khususnya DAP.

"Dalam kes ini, sekiranya calon yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti ialah calon Cina DAP, maka ia mungkin ada sentimen politik iaitu permusuhan berdekad yang mana orang Melayu UMNO telah ditanam satu perasaan bahawa DAP itu musuh kita.

"Jentera penerangan kena perjelaskan isu ini kepada orang UMNO supaya mereka faham mengapa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan, berbaik dengan DAP dan sekarang ini Yes DAP, Yes Anwar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui sukar mengubah 'pegangan' penyokong untuk menerima kehadiran parti DAP sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan, namun ia tidak mustahil dilakukan.

Beliau berkata, hal itu kerana persepsi negatif berkenaan telah diterapkan sejak 22 tahun lalu oleh kepimpinan terdahulu.

Jelas Mustapha, masih ada yang menggunakan idea No DAP, No Anwar walaupun sudah berada dalam satu gabungan.

"Ya, memang kita gunakannya semasa kempen PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) tapi ahli parti perlu tahu apa yang berlaku selepas itu sehingga kita membentuk persefahaman dengan mereka, demi rakyat dan negara.

"Sepatutnya konvensyen di peringkat negeri khususnya di enam negeri yang akan menghadapi PRN diadakan segera supaya kedua-dua pihak saling memahami situasi. Kita sudah tiada masa, hanya tinggal dua bulan sahaja lagi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca