"Dengan dua musuh ketatnya iaitu Anwar (Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan DAP pun, Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) sanggup berdamai, apatah lagi Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) selaku bekas anak buahnya."
Demikian pandangan Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian sewaktu mengulas tanda tanya sama ada dua bekas Perdana Menteri iaitu Dr Mahathir dan Muhyiddin bakal kembali menjalinkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Hal ini susulan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan Muhyiddin yang juga pengerusi parti itu masih belum bersedia untuk duduk semeja dengan Dr Mahathir meskipun difahamkan menyokong agenda terkini dipelopori tokoh berusia 97 tahun itu iaitu Proklamasi Orang Melayu.
Menyifatkan gerakan Proklamasi Orang Melayu mampu menjadi ‘gam’ menyatukan dua figura politik terkemuka itu, Sivamurugan membayangkan perkara itu bukan mustahil kerana tiada istilah musuh kekal dalam arena politik negara.
Menyelusuri sejarah politik Dr Mahathir, Sivamurugan merujuk kesanggupan bekas Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu untuk berdamai dengan Anwar dan PH demi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kini dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin - sudah tidak sehaluan selepas peristiwa Langkah Sheraton pada tahun 2020 - memiliki musuh politik yang sama iaitu Kerajaan Perpaduan yang dipelopori PH-BN, beliau yakin hanya masa sahaja menentukan dua pemimpin berpengaruh itu bakal bergabung membentuk gandingan politik.
"Ketika ini, dua figura berpengaruh dan licik itu pastinya sedang merancang sesuatu dan mencari strategi berkesan demi memastikan Perikatan Nasional (PN) kekal memperoleh sokongan pengundi Melayu selain berusaha menumbangkan kerajaan negeri ditadbir PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada PRN kelak.
"Dengan masa sahaja menentukan kedua-duanya akan kembali bekerjasama, soal sejauh mana impak terbentuknya kembali gandingan Muhyiddin-Tun M (Dr Mahathir) perlu diteliti dan diperhalusi secara mendalam terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendedahkan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN tidak akan menghalang pemimpin gabungan berkenaan menyokong Proklamasi Orang Melayu biarpun bekas Perdana Menteri kelapan itu enggan berhadapan Dr Mahathir.
Razali yang juga Ahli Dewan Negara menjelaskan Muhyiddin memberikan ‘lampu hijau’ kepada pemimpin Bersatu dan PN untuk menyokong proklamasi itu atas kapasiti peribadi demi penyatuan Melayu.
Sivamurugan menjelaskan impak kerjasama dua pemimpin itu mungkin boleh mendatangkan kesan besar pada PRN enam negeri sekiranya Dr Mahathir bersedia menyokong kempen PN dan mereka mewujudkan naratif politik segar dalam memenangi hati pengundi.
"Jadi, walaupun ada orang beranggapan sekiranya Dr Mahathir memberikan sokongan kepada PN, langkah itu tidak akan memberikan impak besar kepada BN-PH, saya berpandangan sebaliknya,” jelasnya.
PENGARUH BELUM MALAP
Sivamurugan berkata, biarpun GTA dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dipimpin Dr Mahathir kalah teruk dan hilang wang pertaruhan dalam PRU15 lalu, namun situasi itu bukan konklusi muktamad pengaruh bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sudah malap.
"Bagaimanapun, kita kena lihat apakah tujuan Dr Mahathir menyokong PN jika menjadi realiti, sama ada demi kelangsungan politik peribadi atau mampu memberi nilai tambah kepada PN kerana sukar untuk membaca strategi yang terlintas di fikiran beliau,” ujarnya.
Dalam konteks lain, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan dilema terkini Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan persepsi negatif berhubung kontroversi isu kalimah ALLAH mampu menjadi ‘bola tanggung’ kepada gabungan Muhyiddin-Dr Mahathir untuk memperhebatkan tekanan ke atas kerajaan sedia ada.
"Apa-apa isu agama atau kaum yang gagal ditangani dengan baik dan bijak akan memberi kelebihan kepada PN. Isu agama dan etnik adalah sesuatu yang sensitif serta perlu ditangani bukan hanya dari segi perundangan malah dari sudut keagamaan,” tambahnya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg juga bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir dan Muhyiddin bakal kembali bekerjasama menerusi platform Proklamasi Orang Melayu menjelang PRN enam negeri kelak meskipun sejauh mana keberkesanannya belum dapat dipastikan.
Beliau turut mengambil pendekatan tunggu dan lihat sama ada kerjasama itu benar-benar mampu direalisasikan dan persoalan sama ada kombinasi berkenaan mampu memberi impak kepada PN pada PRN enam negeri.
"Situasi sekarang menampakkan PN sedang meraih sokongan pengundi terutama anak muda dan golongan atas pagar menjelang PRN akan datang.
"Justeru dengan sokongan tambahan Dr Mahathir di sisi Muhyiddin, ada kemungkinan PN mampu ‘mencuri’ sebahagian pengundi tegar BN atau PH yang tidak selesa dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca