SHAH ALAM - Pesakit tuberkulosis atau tibi perlu mendapatkan rawatan segera dan mengambil ubat-ubatan mengikut jadual bagi mengelak penularan wabak tersebut dalam kalangan masyarakat.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam International Islamic University Malaysia (IIUM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, penyakit itu mudah berjangkit dan merebak dengan hanya titisan cecair bersin atau batuk.
Menurutnya, jika tidak dikawal dan dicegah daripada awal, implikasinya bukan sahaja kepada kesihatan pesakit, malah turut menjejaskan sektor ekonomi negara.
"Contohnya, dalam sektor pembuatan tayar atau sarung tangan terdapat 300 tenaga buruh, kalau 10 kita dapat kawal sekurang-kurangnya 290 orang ini masih boleh bekerja seperti biasa, namun jika tidak dijaga ia mungkin merebak dan menjejaskan industri tersebut.
Pada Sabtu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan tindakan perundangan telah diambil ke atas 12 pesakit tibi sejak empat tahun lalu disebabkan kegagalan mereka meneruskan rawatan bagi penyakit tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, kesemua mereka berdepan dengan tindakan perundangan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Tambah Dr Mohammad Farhan, penyakit itu akan menyerang dan memberi pelbagai komplikasi kepada organ badan pesakit seperti mata serta otak, namun paling cepat merebak apabila melibatkan paru-paru.
"Lebih menakutkan penyakit ini boleh meragut nyawa terutama bagi individu yang berisiko tinggi seperti pesakit HIV dan imuniti yang rendah.
"Oleh itu, mereka yang mempunyai tanda penyakit tibi seperti batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam dan batuk berdarah perlu tampil ke klinik kesihatan atau hospital berhampiran untuk pemeriksaan kesihatan serta melakukan ujian saringan,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca