SHAH ALAM - Pakar menyenaraikan lapan perkara yang perlu dilakukan kerajaan dan individu dalam memastikan golongan belia tidak berbelanja melampaui kemampuan sehingga menyebabkan muflis.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, antaranya adalah kerajaan perlu merancang secara holistik untuk menjadikan perancangan dan pengurusan kewangan sebagai subjek pelajaran.
Tambah beliau, penerapan ilmu tersebut perlu dilakukan secara berterusan iaitu bermula daripada institusi pendidikan rendah seterusnya dibawa ke menengah dan universiti.
Jelasnya, sekiranya berjaya dilakukan, ia akan melahirkan modal insan yang mempunyai ilmu berkaitan berbelanja, menyimpan, melabur selain menguruskan lialibiti.
"Ini mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi Malaysia secara umumnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, muflis merupakan masalah paling serius yang membelenggu golongan belia pada masa kini.
Tambah Hannah, masalah kedua dan ketiga dalam senarai isu sosial yang mempengaruhi kumpulan ini adalah ketagihan kepada pornografi dan judi dalam talian.
Selain itu, Mohd Faisol turut mencadangkan agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukan sahaja menawarkan pinjaman boleh ubah kepada biasiswa bagi graduan ijazah kelas pertama malah diberikan juga kepada ijazah kelas kedua dengan syarat-syarat tertentu.
Katanya, ini kerana pelajar universiti terpaksa berhutang ketika belajar dan perlu membayar balik selepas tamat pengajian dengan jangka masa tertentu.
Beliau turut berpandangan supaya penawaran kad kredit oleh pihak bank kepada pelanggan dikaji semula dan diperketatkan.
"Ini supaya mereka yang mempunyai sumber kewangan kukuh dan risiko ketidakbayaran rendah sahaja boleh mendapatkan kemudahan kad kredit ini.
"Kemudahan kad kredit ini terhad maksimum dua kad kredit sahaja bagi setiap pelanggan,” ujarnya.
Bagi belia pula, Mohd Faisol berkata, golongan tersebut perlu bijak dan mempunyai ilmu berkaitan dengan pengurusan harta dan kewangan.
Jelasnya, dengan ilmu tersebut, belia akan mengetahui cara untuk berbelanja, menguruskan aset dan liabiliti atau hutang serta berpotensi mengembangkan aset dan kekayaan.
Tambah beliau, belia juga diharap jangan mudah terpedaya dengan tawaran menarik pihak bank khususnya kemudahan kad kredit kerana ia boleh bertukar daripada kebaikan menjadi bebanan.
"Ini kerana caj kad kredit yang dikenakan oleh pihak bank kepada pelanggan adalah tinggi berbanding pembiayaan peribadi, pembiayaan kereta atau rumah.
"Keenam, golongan belia perlu bijak membezakan konsep keperluan dan kehendak. Keperluan adalah sesuatu yang mesti dimiliki untuk terus hidup manakala kehendak lebih kepada kesenangan, kemewahan, kemudahan dan kepuasan.
"Jika mengutamakan kehendak berbanding keperluan maka kita akan dapat lihat corak perbelanjaan akan mendorong dan menjerumus belia kepada lembah hutang yang akhirnya jika tidak dikawal akan membawa kepada muflis,” dedahnya.
Menurut beliau, mengamalkan konsep kesederhanaan dalam gaya hidup juga perlu dilakukan kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang aman dan sejahtera.
Dalam masa sama, tambahnya, belia perlu mewujudkan tabiat menabung berbanding berbelanja walaupun bermula dengan nilai yang rendah.
Mengulas mengenai punca muflis sebagai masalah terbesar bagi belia, Mohd Faisol berkata, sebab paling ketara adalah kerana tiada ilmu berkaitan pengurusan kewangan dan harta.
Jelasnya, perasaan ingin cepat kaya tetapi dengan cara yang mudah telah sinonim dengan golongan belia yang akhirnya menjerat dan membawa kesan buruk.
Tambah beliau, antara lain adalah disebabkan kurang didikan agama selain sikap yang suka menunjuk-nunjuk dan berlawan antara satu sama lain.
Klik di sini untuk terus membaca