IPOH - Kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria mendedahkan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumpa dengannya baru-baru ini, hanyalah sebahagian strategi perang saraf politik... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Kenyataan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria mendedahkan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berjumpa dengannya baru-baru ini, hanyalah sebahagian strategi perang saraf politik Perikatan Nasional (PN) bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin berkata, dakwaan Razman di tengah-tengah spekulasi gerakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan negeri itu juga disifatkan sangat berbahaya kerana berisiko mengganggu gugat keyakinan pelabur untuk datang ke Malaysia dan Perak.

Ujarnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sendiri mengambil maklum dakwaan Razman dan menyuarakan kerisauan implikasi kenyataan pemimpin pembangkang itu bakal memberi impak negatif kepada rakyat dan kerajaan negeri.

"Saya nasihatkan pembangkang supaya berpolitik secara matang dan demi kepentingan parti. Kenyataan spekulasi seperti itu tidak boleh berlaku kerana ia mampu mengganggu keyakinan pelabur.

"Menteri Besar Perak sendiri ambil maklum situasi ini dan menyuarakan kerisauan. Bukan kerana kelangsungan politik beliau tetapi bimbang ia beri impak negatif kepada negeri dan rakyat.

"Selepas dua tahun ekonomi negeri suram akibat Covid-19, kita tidak boleh berdepan risiko kehilangan pelabur yang tidak yakin dengan kestabilan politik negeri,” tegasnya.

Mohamad Hamidi turut menolak kemungkinan mana-mana daripada keseluruhan 33 ADUN kerajaan negeri bertindak menemui Razman secara sulit.

Ujarnya, majoriti ADUN Perak, sama ada pihak kerajaan mahu pun pembangkang, telah hadir majlis perkahwinan anak Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin pada Sabtu yang majoritinya berbual bersama secara santai.

Beliau mengulas dakwaan Razman bahawa didatangi sendiri ADUN-ADUN tersebut, bagaimana enggan mendedahkan jumlah dan nama ADUN terlibat.

Sementara itu, ADUN Behrang, Salina Samsudin berkata, dakwaan Pesuruhjaya Pas Perak itu sekadar taktik murahan bagi mempengaruhi pengundi untuk menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ujarnya, strategi itu cuba digunakan pakai PN bagi menggambarkan kerajaan BN-PH Perak kononnya sedang bergolak dan tidak boleh bekerjasama di antara satu sama lain.

"Ini semua cubaan untuk mempengaruhi pengundi sempena PRN di enam negeri.

"Razman pentingkan diri. Bila dia keluarkan kenyataan sebegitu, tujuannya untuk perang saraf politik,” ujarnya.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan daripada PH mencabar Razman untuk membuktikan dirinya mempunyai ‘angka’ sokongan mencukupi di sidang DUN sekiranya yakin Kerajaan Perpaduan Negeri Perak sudah tidak stabil.

"Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak pun sudah bertitah semua pihak perlu mengetepikan kepentingan politik demi masa hadapan negara. Razman mahu jadi pengkhianatkah?” luahnya.

Klik di sini untuk terus membaca