SEJAK sekian lama, United Kingdom (UK) menjadi destinasi paling popular bagi penuntut antarabangsa menyambung pengajian. Statistik 2021 menunjukkan 22 peratus (605,000) penuntut di institusi pengajian tinggi UK ialah pelajar asing.... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK sekian lama, United Kingdom (UK) menjadi destinasi paling popular bagi penuntut antarabangsa menyambung pengajian. Statistik 2021 menunjukkan 22 peratus (605,000) penuntut di institusi pengajian tinggi UK ialah pelajar asing.

Berbanding 15.7 peratus penuntut peringkat ijazah pertama, peratusan penuntut asing di peringkat pasca siswazah (sarjana dan doktor falsafah – PhD) jauh lebih tinggi iaitu 40 peratus.

Ramai penuntut Malaysia turut menjadikan universiti di UK sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian peringkat pasca siswazah.

Bagi yang menjalankan penyelidikan, mereka mahu menuntut ilmu langsung daripada sarjana ulung dalam bidang mereka yang berada di UK. Jika ditanya mereka yang pernah mengikuti pengajian peringkat sarjana dan PhD di UK, kebanyakan bukan sahaja mempunyai hubungan baik dengan penyelia atau supervisor mereka tetapi juga sarjana lain di sini. Sebagai salah seorang yang turut mendapat peluang mengikuti pengajian di UK, kenyataan itu sepertinya benar.

Rata-rata sarjana ini memiliki personaliti menyenangkan dan lebih terbuka berinteraksi. Komunikasi yang baik mempengaruhi pembentukan suasana akademia yang kondusif untuk penuntut mencerna ilmu.

Lebih menarik, di sini sukar kita tahu kelayakan akademik seseorang pensyarah itu. Hatta, gelaran profesor adalah status tertinggi dan memerlukan sumbangan besar dalam dunia keilmuan untuk memilikinya – budaya mereka menjadikan penggunaan gelaran itu begitu janggal.

Mereka lebih senang meninggalkan gelaran atau pangkat di belakang dan dikenali hanya dengan nama. Gelaran itu hanya digunakan untuk meyakinkan umum keahlian mereka dalam ilmu disampaikan dan kajian dilaksanakan.

Walau tidak mengusung gelaran hebat ke mana-mana, sarjana itu tetap dihormati ramai. Bancian oleh The British Academy pada 2022 mendapati hampir separuh orang awam di UK amat percaya kepada ahli akademik berbanding ahli politik, ahli perniagaan atau wartawan.

65 peratus responden turut menyatakan ahli akademik amat dipercayai kerana ketinggian ilmu mereka. Hal itu benar juga. Mereka sentiasa dahagakan ilmu. Tidak pelik jika kita nampak Profesor Emeritus berusia lewat 80-an dan bertongkat masih hadir sebagai peserta konferensi serta seminar di universiti.

Kerana itu juga mereka dianggap sebagai ‘otak’ kepada masyarakat. Kerajaan UK misalnya, dalam menyemak atau merangka dasar baharu, sentiasa mendapatkan khidmat nasihat dan pandangan daripada sarjana mereka.

Menggalas gelaran profesor atau doktor falsafah di UK bukanlah mudah. Mereka sesekali tidak boleh bertindak atau bercakap seperti orang dangkal ilmu. Akhlak pula perlu selari dengan ketinggian ilmu dimiliki. Ilmu yang ada tidak sewenang-wenangnya diguna demi menjadi popular dan dihormati ramai, apatah lagi bagi tujuan salah.

Tatkala muncul ramai ahli akademik menjadi pengulas politik di kaca televisyen kita terutama pada musim pilihan raya, hal itu hampir tidak berlaku di UK.

Jarang sekali ahli akademik mahu memberi pandangan menyebelahi mana-mana parti politik meskipun mereka mempunyai kapasiti dan kelayakan berbuat demikian. Jika pun muncul di media massa, ia sekadar untuk berkongsi hasil penyelidikan, bukan pandangan peribadi sarat emosi.

Tidak segala-galanya tentang sarjana UK sempurna. Pihak universiti sedaya mungkin memelihara integriti dan akauntabiliti ilmu serta peribadi sarjana mereka. Kajian The Guardian mendapati sejak 2013, sekurang-kurangnya 184 pensyarah telah dikenakan tindakan disiplin kerana membuli penuntut atau penyelidik yang bekerja dengan mereka, manakala 32 lagi dibuang dari universiti atas kesalahan sama.

Dari segi kuantiti, Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Kita ada ratusan universiti dan institusi pengajian tinggi yang didukung ribuan profesor serta doktor falsafah. Ahli akademik kita juga dihormati. Tidak menggunakan gelaran profesor atau doktor dalam berkomunikasi dengan mereka sepertinya kesalahan besar dalam budaya kita. Malah, ahli akademik kita juga mudah meraih pelbagai pingat dan gelaran daripada pihak istana.

Dengan ahli akademik yang bersusun gelaran dan pangkatnya, mungkin suatu masa nanti kita juga boleh menghasilkan teori ilmu serta menerbitkan buku teks yang dirujuk di seluruh dunia.

Universiti kita juga mungkin boleh duduk sebaris dengan universiti terkemuka dunia. Jika tidak segah universiti di UK, Amerika Syarikat atau Jepun, sekurangnya-kurangnya tidaklah begitu jauh tertinggal dari universiti negara jiran kita di seberang tambak.

* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.

Klik di sini untuk terus membaca