"Detik ini merupakan hari baharu dan mudah-mudahan ia terus bersinar serta membawa harapan yang cerah.” Kenyataan itu dikeluarkan Pita Limjaroenrat ketika sidang media, beberapa jam selepas keputusan pilihan raya yang berpihak kepada... Klik di sini untuk terus membaca

"Detik ini merupakan hari baharu dan mudah-mudahan ia terus bersinar serta membawa harapan yang cerah.”

Kenyataan itu dikeluarkan Pita Limjaroenrat ketika sidang media, beberapa jam selepas keputusan pilihan raya yang berpihak kepada parti pimpinannya, Parti Move Forward (MFP) yang melayakkannya untuk bergelar Perdana Menteri Thailand seterusnya.

Tiada siapa menyangka parti baharu itu meraih kemenangan mengejutkan dan menang besar serta bersedia menubuhkan kerajaan campuran demokrasi terdiri daripada lapan parti politik di negara yang pernah menghadapi sebanyak 12 insiden kudeta.

"Sentimen era itu (rampasan kuasa) telah berubah. Sekarang adalah masa yang tepat. Demokrasi tidak boleh dipandang remeh,” kata Pita di ibu pejabat MFP di Bangkok, di mana partinya memenangi 32 daripada 33 kerusi yang dipertandingkan di ibu kota tersebut.

Usaha membentuk kerajaan seperti diumumkan Pita masih samar-samar dan mungkin berdepan halangan serta berpotensi gagal direalisasikan memandangkan junta masih mempunyai kuasa untuk menjadi kingmaker.

Namun, kemenangan MFP telah menjadi bualan hangat banyak pihak atas kejayaannya membina pengikut kuat dalam kalangan pengundi muda yang dahagakan perubahan kerana terlalu kecewa dengan pemerintahan tentera.

Parti prodemokrasi yang menyapu bersih kerusi pada Pilihan Raya Umum minggu lalu yakin gabungan parti mereka akan mengatasi undi senator untuk memastikan Pita menjadi pengganti Prayut Chan-o-cha.

Setiausaha Agung MFP, Chaithawat Tulathon memberitahu, mereka telah menghubungi beberapa senator untuk mendengar pendapat dan kebimbangan golongan itu.

Menurutnya, beberapa senator bakal mengadakan mesyuarat tidak rasmi pada Selasa bagi membincangkan undian untuk melantik perdana menteri baharu.

Pita (tiga dari kiri) ketika mengadakan rundingan pertama bersama pemimpin lima parti untuk membentuk kerajaan gabungan pada Rabu lalu.
Pita (tiga dari kiri) ketika mengadakan rundingan pertama bersama pemimpin lima parti untuk membentuk kerajaan gabungan pada Rabu lalu.

MFP bersama rakan gabungannya mempunyai kira-kira 313 undi daripada 500 ahli Parlimen dan mereka memerlukan sekurang-kurannya 376 sokongan anggota lain serta 250 senator dilantik tentera untuk memilih Pita.

"Saya yakin beberapa senator akan lebih memahami dasar parti kami selepas melihat memorandum persefahaman yang akan disahkan kesemua parti gabungan pada Isnin.

"Hal ini akan membantu senator membuat keputusan membina yang akan memacu negara kita ke hadapan,” ujar Chaithawat.

Sebelum ini kebanyakan senator bimbang selepas MFP pernah berikrar untuk meminda Undang-undang Lese Majeste yang dikhuatiri menggugat monarki.

ALUMNI HARVARD

Pita Limjaroenrat atau nama gelarannya, Tim dilahirkan pada 5 September 1980, dibesarkan dalam ‘keluarga politik’ berikutan bapanya, Pongsak merupakan Penasihat Menteri Pertanian dan Koperasi, manakala bapa saudaranya ialah pembantu rapat bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Beliau mendapat pendidikan awal di Bangkok Christian College sebelum dihantar ke New Zealand untuk menamatkan pendidikan sekolah tinggi.

Pita kemudiannya kembali semula ke tanah air dan melanjutkan pengajian di Fakulti Perdagangan dan Perakaunan di Thammasat University.

Pada 2011, beliau menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang dasar awam dan perniagaan di Harvard University serta Massachusetts Institute of Technology.

Pencapaian membanggakan Pita adalah apabila beliau menjadi individu pertama di Thailand yang memperoleh biasiswa dari Harvard.

Sebelum menjadi ahli Parlimen pada 2018, Pita pernah bergelar Pengarah Eksekutif Grab Thailand dan perunding di Boston Consulting Group.

Pada usia 25 tahun, beliau juga pernah mengambil alih syarikat pertanian milik bapanya, AgriFood Co Ltd demi untuk menyelamatkannya daripada diisytiharkan bankrap dan menguruskan perniagaan itu selama sedekad.

Ketika menganggotai Parlimen, Pita mewakili Parti Future Forward dan parti baharu itu berjaya meraih lebih enam juta sokongan pada Pilihan Raya Umum 2019, namun terpaksa dibubarkan pada 2020.

Hasil daripada pembubaran itu membawa kepada penubuhan Parti Move Forward yang menyaksikan gelombang sokongan luar biasa pada pemilihan baru-baru ini, kebanyakannya terdiri daripada kem prodemokrasi yang menyertai siri protes mega pada 2020.

Pada usia 42 tahun, Pita adalah hampir 30 tahun lebih muda berbanding Prayut, 69, yang kekal memegang kuasa selepas kudeta pada 2014.

Menerusi Twitter, Pita memaklumkan beliau bersedia menjadi Perdana Menteri ke-30 Thailand selepas pemimpin itu berikrar untuk membawa negara tersebut keluar daripada pertumbuhan ekonomi yang perlahan selama sedekad.

Tiga agenda utama kepimpinan beliau adalah untuk bebas tentera, mengagihkan kuasa dan memecahkan monopoli.

Jika Pita meraih sokongan mencukupi, ia semestinya bakal menamatkan pemerintahan tentera selama hampir sedekad, sekali gus memperbaharui kedudukan Thailand sebagai ‘tapak asas’ demokrasi di Asia Tenggara.

Pita seorang liberal, berpendidikan Barat dan fasih berbahasa Inggeris bakal membuka peluang kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) ketika China sedang berusaha meningkatkan pengaruh mereka di rantau tersebut.

Sisi kehidupan peribadinya pula, Pita berkahwin dengan aktres, Chutima Teepanart pada Disember 2012 dan turut dikurniakan seorang cahaya mata, namun mereka berpisah pada Mac 2019. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca