AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad mahu masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer mengetahui mengenai hak sebagai rakyat Malaysia supaya tidak berlaku sebarang penindasan dan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Malah wakil rakyat yang berusia 47 tahun ini juga berharap kerajaan mencari mekanisme untuk menghapuskan monopoli kartel bagi memastikan harga barang dan bekalan di negara ini terkawal.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, ROSHILA MURNI ROSLI bersama Wan Badariah bagi mengulas beberapa perkara penting di peringkat DUN dan negara termasuk isu-isu politik semasa.
SINAR HARIAN: Selepas diberikan mandat oleh rakyat dan pertama kali berkhidmat sebagai wakil rakyat, apakah fokus Yang Berhormat (YB) untuk rakyat di DUN Mata Ayer?
WAN BADARIAH: Seperti yang tercatat dalam manifesto saya sebelum ini, saya mahu setiap seorang daripada masyarakat di DUN Mata Ayer ini faham dan tahu hak-hak mereka sebagai seorang rakyat.
Ini boleh mengelakkan berlaku penindasan dan sekiranya rakyat menghadapi masalah, mereka tahu ke mana hendak dituju dan bagaimana hendak menyelesaikan masalah itu mengikut lunas undang-undang.
Selain itu, saya juga akan meneruskan insentif yang memberi manfaat kepada masyarakat untuk memastikan kebajikan mereka terbela.
SINAR HARIAN: Majoriti ekonomi penduduk di DUN Mata Ayer melibatkan pertanian khususnya industri padi, apakah perancangan YB untuk meningkatkan pendapatan mereka?
WAN BADARIAH: Selain kem tentera iaitu Kem 30 Briged Bukit Cowder, Mata Ayer, kebanyakan penduduk kawasan ini adalah pesawah. Jadi saya sangat mengimpikan pesawah di kawasan ini mempunyai dua punca pendapatan dan tidak bergantung kepada hasil padi semata-mata.
Ini bermaksud sementara tunggu musim menuai, pesawah dapat mengusahakan tanaman lain.
Contohnya sekarang ini pun ramai pesawah di Mata Ayer ini turut terlibat dalam penanaman mangga harumanis untuk menambah pendapatan mereka.
SINAR HARIAN: Rakyat Malaysia terkesan dengan kenaikan harga barang selain masalah bekalan makanan seperti telur ayam. Apakah saranan YB tentang isu ini?
WAN BADARIAH: Banyak keluhan rakyat yang kita dengar berkaitan kenaikan kos sara hidup terutama harga barang keperluan. Saya berharap kerajaan Pusat dapat mencari satu mekanisme untuk memastikan industri ini tidak dimonopoli oleh kartel.
Jadi dari situ harga barang dan juga bekalan makanan seperti minyak masak, telur, tepung dan lain-lain dapat dikawal dan sampai kepada penduduk.
Baru-baru ini pun berlaku krisis telur ayam di beberapa negeri. Apabila timbul isu sebegini, kerajaan Persekutuan dan kementerian terlibat perlu kaji semula berkaitan eksport telur.
Kita eksport telur ayam ke negara lain, tetapi bekalan dalam negara sendiri bermasalah sehingga rakyat sukar mendapatkan bekalan. Kenapa tidak kita utamakan dahulu bekalan makanan rakyat kita berbanding eksport ke luar.
SINAR HARIAN: PN kali pertama diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin Perlis pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selepas memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN. Adakah YB melihat ini adalah petanda rakyat Perlis mahukan perubahan dalam pentadbiran negeri?
WAN BADARIAH: Kita lihat satu gelombang daripada rakyat Perlis sebab selama ini 65 tahun UMNO memerintah rakyat cuma nampak perkara sama tidak ada perubahan apa-apa, jadi pada PRU lalu mereka bangun lakukan perubahan.
Perubahan ini juga adalah gelombang anak muda kerana mereka lebih celik internet, jadi mereka dapat maklumat tanpa had di media sosial seperti TikTok, Facebook dan lain-lain. Berbanding dengan warga emas, mereka banyak bergantung kepada radio dan televisyen semata-mata untuk dapatkan maklumat.
Golongan muda sekarang juga sudah bijak berpolitik bukan lagi seperti dahulu yang banyak mengikut fahaman politik keluarga masing-masing. Sekarang mereka banyak bergaul dengan rakan jadi minda mereka lebih terbuka tentang politik.
Semasa kempen pada PRU lepas pun anak muda yang banyak keluar berkempen dan membantu PN Perlis dan kita harap sokongan itu akan berkekalan sampai bila-bila.
SINAR HARIAN: Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan semula pekan Wang Kelian untuk membantu ekonomi penduduk setempat setelah menjadi pekan mati sejak pemansuhan zon aliran bebas antara Malaysia dan Thailand pada 2015?
WAN BADARIAH: Sebagai Exco pelancongan Perlis, kerajaan negeri sememangnya mempunyai perancangan khas untuk membangunkan semula pekan Wang Kelian untuk membantu menjana ekonomi penduduk setempat.
Insya-ALLAH selepas Aidilfitri, bangunan Arked Niaga di Wang Kelian akan beroperasi semula, jadi selepas pelancong beriadah di View Point Wang Kelian mereka boleh terus ke Arked Niaga untuk membeli-belah.
Setakat ini ia dibangunkan oleh kerajaan negeri tanpa kerjasama dengan mana-mana pihak luar dan konsep yang kita bawa di situ sama seperti Padang Besar.
Peniaga arked itu juga kita beri keutamaan kepada peniaga tempatan bukan peniaga dari Thailand. Jadi saya berharap pembukaan arked ini akan mendapat sambutan daripada pelancong luar dan dalam Perlis sendiri untuk sama-sama kita semarakkan industri pelancongan Perlis.
Profil Wan Badariah Wan Saad
Asal: Arau, Perlis
Status: Berkahwin dan mempunyai tiga orang anak
Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Jawatan:
- ADUN Mata Ayer
- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis
- Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan Pas Perlis
Klik di sini untuk terus membaca