BARU-BARU ini kerajaan mengumumkan tiada lagi subsidi tarif elektrik bagi kediaman yang menggunakan bekalan elektrik tinggi dan ia akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Sebagai contoh, rumah yang menggunakan tiga kipas dan empat penyaman udara bakal terlepas daripada memperoleh subsidi. Mereka terpaksa membayar bil elektrik dengan kadar sebenar. Kerajaan menyatakan kenaikan itu tidak memberikan kesan kepada 90 peratus rakyat termasuk B40 dan M40.
Keputusan kerajaan tersebut walaupun dari satu sudut, sebahagian besar rakyat masih menikmati subsidi, namun dari satu sudut lain takrifan penggunaan elektrik tinggi dengan bersandarkan penggunaan tiga kipas dan empat penyaman udara di dalam sesebuah rumah sedikit sebanyak menimbulkan persoalan.
Umum mengetahui ketika ini negara mengalami cuaca tidak menentu, panas luar biasa, malah bakal berdepan El Nino dan berisiko mengalami kemarau, jerebu serta gelombang haba yang tinggi.
Takrifan penggunaan elektrik yang tinggi tidak lagi menerima subsidi tarif elektrik perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia tidak boleh dilaksanakan secara generalisasi tanpa melihat kesannya kepada sebahagian isi rumah yang menggunakan tiga kipas dan empat penyaman udara.
Penggunaan kipas dan penyaman udara ketika ini sudah mencapai tahap satu keperluan. Ia bukan sesuatu yang dilihat sebagai amat mewah jika sebahagian rakyat menggunakan kipas dan penyaman udara untuk bilangan bersesuaian berdasarkan ruang di dalam rumah termasuk di setiap bilik, lebih-lebih lagi ketika berdepan cuaca panas luas biasa.
Anak-anak juga memerlukan suhu bilik bersesuaian untuk mengulang kaji pelajaran dan mendapatkan tidur berkualiti. Disebabkan penyaman udara dilihat sebagai satu keperluan ketika ini berdasarkan keadaan cuaca yang panas, maka tidak berbangkit ‘kalau tak mahu ditarik subsidi elektrik, jangan guna banyak penyaman udara’.
Jadi, amat penting memastikan takrifan penggunaan elektrik tinggi itu bertepatan dengan realiti berlaku di lapangan agar ia tidak membebankan isi rumah termasuk penggunaan elektrik untuk sebahagian barangan yang sebenarnya adalah satu keperluan ketika ini.
Kerajaan wajar meneliti dan menetapkan penggunaan elektrik yang sepatutnya untuk dikategorikan sebagai penggunaan tinggi.
Pada awal tahun ini, kenaikan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah memberikan kesan kepada pelbagai pihak. Pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) dikenakan surcaj 20 sen/kWj.
Antara yang terkesan adalah sektor perhotelan dan peruncitan. Secara puratanya berlaku peningkatan minimum antara 20 hingga 30 peratus bil elektrik bulanan berbanding tahun sebelumnya dengan kadar penggunaan sama.
Tatkala perkara itu terjadi, maka persoalan yang timbul, adakah industri akan menyerap tambahan surcaj tarif elektrik atau industri berkongsi kos tersebut dengan pengguna atau industri mengalihkan 100 peratus kos surcaj tarif elektrik itu kepada pengguna yang berkemungkinan mengakibatkan harga barangan melambung lebih tinggi?
Perkara itu sedikit sebanyak memang memberikan kesan kepada kenaikan harga barangan dan akhirnya memberikan kesan kepada semua pihak termasuk B40, M40, malah T20.
Oleh itu, antara langkah boleh diambil adalah melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) yang perlu diperluaskan dengan mengambil kira mekanisme bersesuaian agar ia mampu digunakan sebahagian besar rakyat Malaysia dan bil elektrik akan turun secara signifikan.
Walaupun kos memasang sistem solar PV agak tinggi tetapi jika dapat dikenal pasti mekanisme khusus dari segi pengurusan kos pemasangan di rumah iaitu dengan kos mampu dibayar secara bulanan oleh rakyat Malaysia, maka ia langkah yang perlu diperluaskan, seterusnya membantu rakyat membayar bil elektrik dengan kadar lebih rendah.
Ia juga secara tidak langsung dapat membantu TNB mengurangkan kebergantungan kepada sumber arang batu dari negara luar yang ketika ini amat mengikat TNB untuk menjana elektrik ke seluruh negara.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca