ALOR SETAR - Peniaga di beberapa daerah di negeri ini mendakwa bekalan gula semakin berkurangan di pasaran sejak seminggu lalu. Ini menyebabkan sebahagian daripada peruncit terpaksa mengehadkan pembelian kepada satu peket bagi setiap... Klik di sini untuk terus membaca

ALOR SETAR - Peniaga di beberapa daerah di negeri ini mendakwa bekalan gula semakin berkurangan di pasaran sejak seminggu lalu.

Ini menyebabkan sebahagian daripada peruncit terpaksa mengehadkan pembelian kepada satu peket bagi setiap pelanggan.

Sebahagian pula terpaksa meninggalkan notis pemberitahuan ‘gula habis’ di rak gula untuk memaklumkan kepada pengguna susulan tidak dapat membekalkan gula seperti biasa.

Peniaga kedai runcit, Muhammad Amin, 40, memaklumkan, pembekal mengurangkan bekalan daripada dua bungkusan gula kepada satu bungkusan untuk dihantar ke kedai runcitnya sejak seminggu lalu.

"Sebelum ini tempahan dibuat sebanyak dua bungkusan, setiap satu mengandungi 24 peket gula. Namun, pembekal hanya hantar satu bungkusan sahaja.

"Permintaan pula tinggi, tak sampai petang 24 peket gula itu habis dibeli pelanggan,” ujarnya.

Disebabkan itu dia terpaksa mengehadkan pembelian satu peket kepada setiap pelanggan agar pengguna lain juga berpeluang membeli barangan asas tersebut.

Muhammad berkata, bekalan masih dibekalkan seperti biasa namun pembekal mengurangkan tempahan.

Seorang lagi peniaga kedai runcit, Suhaida Saad, 45, berkata, ramai pelanggan datang ke kedainya untuk membeli gula namun pulang hampa apabila dimaklumkan kehabisan.

"Sudah banyak hari bekalan gula tiada sebab pembekal tidak hantar. Kalau ada pun hanya dalam kuantiti sedikit,” katanya.

Kedai runcit habis, stok di pasar raya penuh

Dalam pada itu, suri rumah dari daerah Kuala Muda, Roslaili Saat, 41, mendakwa, ketiadaan bekalan gula di pasaran disedari sejak beberapa hari lalu.

Dakwanya, usaha mencari gula di beberapa kedai runcit yang sering dikunjungi di Bandar Amanjaya, Sungai Petani itu mendapati tiada bekalan di rak seperti kebiasaan.

"Pekerja kedai maklumkan bahawa sudah tiga hari bekalan gula tidak diperoleh setakat ini,” katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian di sebuah pasar raya di Sungai Lalang dan Sungai Petani mendapati bekalan gula penuh di rak.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 40-an, berkata, dakwaan mengatakan bekalan gula tiada di pasaran mungkin sekadar khabar angin.

"Saya tengok kat sini ada sahaja, stok pun banyak tersusun di rak.

"Mungkin bekalan hanya tiada di kedai runcit yang kecil, pasar raya besar tidak mengalami masalah bekalan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca