SHAH ALAM - Jumlah peralatan elektrik yang banyak serta bilangan ahli keluarga yang ramai merupakan faktor kadar penggunaan bekalan kuasa itu di sesebuah rumah tinggi sehingga boleh mencecah RM2,000 sebulan. Pengarah Syarikat Mah Bayu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Jumlah peralatan elektrik yang banyak serta bilangan ahli keluarga yang ramai merupakan faktor kadar penggunaan bekalan kuasa itu di sesebuah rumah tinggi sehingga boleh mencecah RM2,000 sebulan.

Pengarah Syarikat Mah Bayu Engineering (M) Sdn Bhd, Mohd Azrizal Aziman menjelaskan, biasanya kediaman yang mempunyai tiga hingga lima penyaman udara atau lebih, serta beberapa peralatan lain seperti mesin pengering pakaian, pemanas air, seterika dan peti sejuk menyumbang kepada kadar penggunaan tinggi.

Bagaimanapun, katanya, purata penggunaan elektrik bagi kebanyakan rumah di negara ini ialah minimum RM500 sebulan meliputi satu hingga tiga penyaman udara serta peralatan elektrik asas lain.

"Ia bergantung kepada faktor ruang dan kuasa kuda (hp) untuk penyaman udara. Contohnya, kalau rumah keluasan 20 X 60 kaki, jika mempunyai satu penyaman udara 2.5hp di ruang tamu, bil elektrik boleh mencecah sekitar RM200 hingga RM350.

"Tetapi tengok kepada penggunaan juga. Contohnya, macam rumah saya dengan ukuran luas yang sama, terdapat tiga unit penyaman udara 2.5hp di ruang tamu. Tetapi bil saya tidak sampai RM100," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar elektrik apabila tidak lagi diberikan kepada golongan berpendapatan tinggi atau T20.

Sementara itu, Mohd Azrizal berkata, cuaca panas turut mempengaruhi penggunaan penyaman udara kerana mengambil masa lama untuk menyejukkan ruang di dalam rumah.

Selain itu, katanya, penggunaan barangan keperluan elektrik seperti mesin pengering pakaian juga menyebabkan kadar bil melonjak lebih tinggi berbanding penyaman udara.

"Sekarang ada rumah yang dilengkapi mesin pengering pakaian. Kalau boleh elakkan kerana ia boleh menyumbang kepada bil elektrik yang tinggi, lebih daripada penyaman udara.

"Satu mesin pengering sama dengan dua unit penyaman udara 1.0hp. Kalau mesin pengering itu dihidupkan selama tiga jam, ibarat kita guna penyaman udara untuk enam jam,” ujarnya.

Tambah beliau, kelengkapan lain seperti peti sejuk, seterika dan pemanas air juga mempengaruhi penggunaan elektrik di dalam rumah.

"Kebanyakan rumah yang berkeluarga mempunyai lebih daripada satu peti ais yang juga menggunakan tenaga elektrik yang banyak,” ujar beliau.

INFOGRAFIK

Kadar minimum penggunaan elektrik mengikut rumah

RM500

- Rumah satu tingkat dengan penggunaan satu hingga tiga penyaman udara dan alatan elektrik asas (mesin pengering pakaian, mesin basuh, peti sejuk, pemanas air).

RM500

- Rumah dua tingkat dengan penggunaan satu hingga tiga penyaman udara dan alatan elektrik asas.

RM1,000 hingga RM2,000

- Kediaman mewah dengan lebih tiga bilik, penggunaan lebih daripada tiga atau lima penyaman udara dan alatan elektrik asas.

RM500

- Kediaman bertingkat (pangsapuri atau flat) dengan penggunaan satu hingga tiga penyaman udara dan alat elektrik asas.

Klik di sini untuk terus membaca