LONDON - Perubahan iklim meningkatkan suhu kepada kira-kira dua darjah Celsius di sebahagian besar Asia pada pertengahan bulan lalu.
Laporan itu dikeluarkan pada minggu lalu menerusi kajian terbaharu institut penyelidikan bebas, World Weather Attribution (WWA) diketuai Dr Friederike Otto dari Grantham Institute yang memfokuskan negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
"Kajian tersebut merupakan satu lagi bukti yang menunjukkan bagaimana perubahan iklim secara mendadak memburukkan gelombang haba di seluruh dunia.
"Kita dapat melihat lagi fenomena tersebut meningkatkan kekerapan dan intensiti gelombang haba yang merupakan salah satu keadaan cuaca paling berbahaya," jelasnya.
Kajian terbaharu itu dikeluarkan lebih seminggu selepas satu lagi penyelidikan WWA mendapati gelombang haba di Portugal, Sepanyol, Maghribi dan Algeria memecahkan rekod suhu dengan peningkatan 3.5 darjah Celsius lebih panas kerana perubahan iklim.
Pada bulan lalu, India, Bangladesh, Thailand dan Laos merekodkan suhu tertinggi mencecah sehingga 45 darjah Celsius.
Suhu panas melampau itu turut meragut nyawa di beberapa negara dan sejumlah individu terpaksa dirawat di hospital malah jalan raya dilaporkan mencair.
Negara lain di rantau Asia seperti China, Indonesia, Singapura dan Filipina pula mencatatkan suhu luar biasa.
Pada pertengahan bulan lalu, Thailand merekodkan hari paling panas dengan suhu mencecah 45.4 darjah Celsius di wilayah utara Tak manakala beberapa bandar di utara dan timur India mencatatkan peningkatan suhu melebihi 44 darjah Celsius dan suhu di wilayah Sainyabuli di Laos melonjak sehingga 42.9 darjah Celsius.
Akibatkan ribuan kematian
Ahli sejarah iklim, Maximiliano Herrara yang menjejaki corak cuaca ekstrem menyifatkan keadaan tersebut sebagai gelombang haba terburuk dalam sejarah Asia.
Gelombang haba merupakan salah satu 'bahaya semula jadi' yang mengakibatkan ribuan kematian pada setiap tahun.
Kebiasaannya, kesan penuh gelombang haba tidak akan diketahui sehingga tempoh beberapa minggu atau bulan kemudian apabila kematian direkodkan dan dianalisis oleh saintis.
Salah seorang penulis kajian itu yang berpusat di Copenhagen, Emmanuel Raju berkata, impak gelombang haba akan memberi kesan tidak seimbang kepada golongan miskin di rantau Asia terutamanya mereka yang bekerja di bawah panas terik mentari seperti petani, peniaga tepi jalan dan pekerja binaan.
Kumpulan penyelidik berkenaan turut menggunakan data cuaca dan simulasi model komputer untuk menentukan bagaimana perubahan iklim bertanggungjawab terhadap kejadian cuaca ekstrem.
"Suhu global akan terus meningkat dan berlaku lebih kerap dan teruk sehingga kesemua aktiviti yang menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau dihentikan," ujar saintis berkenaan dalam satu kenyataan bersama.
Satu kajian berasingan pada minggu lalu juga mendapati keadaan tersebut jika berterusan berpotensi memecahkan had suhu utama buat pertama kali dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Terdapat 66 peratus kemungkinan dunia akan melepasi had pemanasan global pada 1.5 darjah Celsius antara jangka waktu sekarang dan 2027. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca