PAMERAN Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) muncul kembali di Langkawi dan seperti tahun-tahun sebelumnya, ruang udara serta permukaan laut di pulau legenda itu bakal menyaksikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.
Antara yang turut mendapat perhatian ialah kenyataan daripada Kementerian Pertahanan berkaitan pembelian, perolehan atau program yang dilihat bakal memperkukuh pertahanan negara.
Sememangnya persediaan untuk memperkukuh dan mempertingkatkan keupayaan ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan tanpa mengira fahaman politik parti-parti yang dilihat hari ini hebat saling bercakaran sesama sendiri.
Pada 2019, Pengarah Teknologi Komparatif agensi Institut Pertahanan dan Keselamatan Negara atau MiDAS dalam komentarnya menegaskan bahawa sebab wujudnya ATM adalah untuk mengelak peperangan, namun sekiranya peperangan tidak dapat dielakkan, ia mesti dimenangi tanpa mengira kos.
Tambah beliau, masa aman adalah masa bersedia untuk peperangan. Dalam menegakkan tugas dan mandat diamanahkan, kesetiaan kepada raja, negara serta kerajaan memerintah tidak perlu dipersoalkan, akan kekal apolitik sebagai benteng negara.
Kenyataan itu bersesuaian dengan seruan dalam al-Quran, surah Al-Anfaal, ayat 60: "Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh) dengan segala keupayaan kamu daripada kekuatan dan juga kuda-kuda tambatan (supaya) dengan persediaan itu, kamu menggerunkan musuh ALLAH dan musuh kamu serta musuh yang lain daripada mereka, yang tidak kamu ketahui, sedang ALLAH mengetahuinya. Dan apa juga yang kamu belanjakan pada jalan ALLAH akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”
Keputusan untuk memberikan fokus kepada mana-mana strategi perang yang bakal diguna pakai oleh negara bagi menghadapi ancaman bersenjata, sama ada dari dalam atau luar negara adalah sesuatu yang kompleks dan memerlukan penilaian teliti.
Lebih menggusarkan atas sebab-sebab diplomatik, perkataan ‘strategi perang’ itu sendiri bakal menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak. Malah, bakal ada yang mahu ia ‘dilembutkan’ dengan perkataan seperti ‘strategi pertahanan’ atau ‘strategi menghadapi konflik’.
Pemikir yang diamanahkan merangka strategi perang negara daripada pelbagai agensi perlu bersifat jujur dan tidak terbawa-bawa sifat hipokrit negara-negara kuasa dunia yang suka berselindung di sebalik istilah dan kata-kata.
Mereka kerap mengklasifikasikan operasi bersenjata dengan pelbagai perkataan seperti operasi menentang keganasan atau menjaga keamanan, walhal di lapangan, mereka melancarkan perang habis-habisan.
Dari sudut sejarah, cendekiawan Barat tidak pernah berselindung mengkategorikan konflik bersenjata sebagai konflik, malah perkataan warfare atau ‘peperangan’ diguna pakai dalam mengkategorikan evolusi peperangan global sejak beratus tahun lalu.
Hari ini Barat mengkategorikan evolusi peperangan mengikut peringkat. Apabila belerang dan senjata api mula diguna, ia dikenali sebagai ‘Peperangan Generasi Pertama’.
Menurut mereka, terkini dunia telah mencapai tahap Peperangan Generasi Kelima. Ia memperlihatkan penggunaan teknologi bukan bersifat membunuh, selain senjata kawalan autonomi.
China dan Rusia tidak pernah cuba mencairkan perkataan ‘perang’ menjadi ‘konflik’. Pada 1999, tentera China menghasilkan penulisan berjudul Peperangan Tiada Had (Unrestricted Warfare), manakala Rusia pada 2013 menghasilkan Doktrin Gerasimov yang dinamakan Perang Generasi Baru.
Mungkin selama ini kita tidak ambil serius berkaitan isu keselamatan kerana mengistilahkan ancaman bersenjata sebagai hanya ‘konflik’ dan bukan ‘perang’.
Ketika Indonesia menyerang Persekutuan Tanah Melayu, pihak British tidak pernah menggunakan perkataan ‘perang’, malah menggantikannya dengan perkataan Konfrontasi.
Mungkin kita perlu mengembalikan penggunaan perkataan ‘perang’ agar mereka yang membuat keputusan untuk perolehan ketika LIMA '23 akan sedar betapa kritikalnya mana-mana perolehan bakal diputuskan.
Kebangkitan semangat perwira adalah melalui pukulan gendang perang. Penulis sendiri tidak pernah mendengar istilah pukulan ‘gendang konflik’!
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca