BERITA kehadiran Coldplay, kumpulan rock dari British ke Malaysia tiba-tiba mendapat promosi percuma. Tatkala ramai peminat menunggu kehadiran mereka, ada pula parti politik pembangkang kelihatannya marah-marah. Secara tiba-tiba orang yang... Klik di sini untuk terus membaca

BERITA kehadiran Coldplay, kumpulan rock dari British ke Malaysia tiba-tiba mendapat promosi percuma. Tatkala ramai peminat menunggu kehadiran mereka, ada pula parti politik pembangkang kelihatannya marah-marah.

Secara tiba-tiba orang yang tak tahu mengenai Coldplay berasa ghairah pula ingin mengetahuinya.

Tidaklah diketahui, isu konsert itu menjadi besar kerana ia memang isu sensitiviti masyarakat atau sekadar kebisingan politik sahaja. Ia tambah menarik kerana datang serentak dengan beberapa isu lain.

Baru-baru ini tersebar berita tentang larangan azan di sebuah surau di Pulau Pinang. Di celah-celah itu pula, muncul isu tentang penarikan rayuan oleh kerajaan dalam kes penggunaan kalimah ALLAH.

Walaupun ia kes yang tak saling bersangkutan tetapi ketiga-tiga itu terlihat seperti bersambungan antara satu sama lain. Seolah-olah ia sedang mencabar kehidupan masyarakat Islam di negara ini.

Dalam psikologi, hal yang tak berkaitan tetapi selalu dilihat sebagai saling ada kena mengena antara satu sama lain biasanya diterangkan sebagai hukum kesinambungan. Ia berlaku dalam kehidupan seharian apabila kita mengaitkan satu hal dengan hal lain agar ia lebih logik untuk diterangkan.

Tapi sekadar mengaitkan konsert Coldplay mungkin tak cukup kuat. Memberikan label Coldplay sebagai penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan memberi daya tarik untuk melengkapkan kesinambungan tadi.

Kisah lain mengenai Coldplay yang juga menyokong alam sekitar atau perjuangan hak asasi di Iran mungkin tidak memberi nilai tambah. Ia pula menjadi semakin menarik kerana beberapa hari sebelum itu, Perdana Menteri mengalu-alukan kedatangan kumpulan asal Britain itu.

Secara logiknya, menggagalkan kedatangan kumpulan tersebut akan sedikit sebanyak seperti kemenangan politik di pihak yang satu lagi. Pastilah ia tersiar di media luar juga, sedangkan isu konsert tersebut tidaklah sebesar mana.

Tidak semua orang Malaysia yang tahu mengenai kumpulan berkenaan. Jika katakanlah memang Coldplay ialah kumpulan yang mempromosi LBGT, mungkin yang boleh kita lakukan adalah beritahu mereka supaya jangan promosikan bendera pelangi.

Jangan sebut apa-apa tentang LBGT. Nyanyi sahaja sudah mencukupi. Beritahu bahawa orang Malaysia hanya ingin mendengar lagu, bukan propaganda.

Jadi, mengapa perlu ada yang ingin marah-marah dan sebagainya. Sebab konsert hiburan hari ini sama ada tempatan atau antarabangsa, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Ia juga satu bentuk perniagaan dan memberi manfaat kepada industri pelancongan. Ia memberikan kerja kepada ramai orang dalam industri tadi, daripada penjual tiket hingga tukang pasang lampu.

Tak perlulah setiap kali kehadiran artis luar, kita mula mengaitkan hal tidak elok dalam hidup mereka. Semua orang tahu ramai selebriti luar negara penuh dengan dunia gelap masing-masing. Mereka tidak hidup dalam budaya kita. Mereka juga tak semulia kita.

Sewajarnya kita hanya melihat mereka sebagai artis. Jika kita ingin menyelongkar begitu banyak hal di luar kehidupan profesional mereka, bayangkan berapa ramai lagi yang patut dilarang masuk. Ada yang ateis, ada yang komunis, belum termasuk beranak pinak tanpa kahwin.

Tapi, yang patut ahli politik fikirkan ialah bagaimana boleh membantu artis tempatan kita agar sehebat artis Barat. Mungkin sudah tiba masanya kita berikan insentif untuk artis tempatan pergi jauh ke pentas antarabangsa.

Jangan hanya setelah artis kita mendapat anugerah di luar negara, baru kita sibuk membuat bising, kononnya berbangga kerana ada anak Malaysia yang mencipta nama di Hollywood atau di Hong Kong.

Coldplay sama ada datang ke Malaysia atau tidak, mereka tetaplah terus bernyanyi. Berjaya menghalang mereka ke Malaysia tak menjadikan kita dilihat luar biasa.

* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Buat aduan jika wujud unsur penipuan jualan tiket konsert Coldplay

Tiket Coldplay 'sold out'

SKMM ambil tindakan iklan jualan semula tiket konsert Coldplay

Jual tiket Coldplay RM43,000 boleh kena tindakan - KPDN

Klik di sini untuk terus membaca