SHAH ALAM - Pemulangan semula wang kepada mangsa jenayah penipuan dalam talian (scam) perlu mendapat perintah mahkamah bagi memutuskan amaun yang mahu dipulangkan sekali gus mengelakkan berlaku ketirisan. Penganalisis jenayah, Shahul Hamid... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemulangan semula wang kepada mangsa jenayah penipuan dalam talian (scam) perlu mendapat perintah mahkamah bagi memutuskan amaun yang mahu dipulangkan sekali gus mengelakkan berlaku ketirisan.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, mekanisme itu dapat memastikan proses pemulangan semula wang kepada mangsa yang ditipu dapat dijalankan secara telus.

"Mahkamah boleh menilai berapa jumlah dana yang perlu dibayar kepada mangsa-mangsa berdasarkan bukti-bukti kerugian.

"Cara ini untuk elak berlaku penipuan dalam tuntutan semula kerugian oleh mangsa atau berlaku salah guna wang oleh pihak yang mengelolakan proses pemulangan semula dana ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mekanisme terbaik untuk pemulangan semula wang kepada mangsa scammer susulan kerajaan pada Selasa memutuskan untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan wang yang dirampas dipulangkan lebih awal kepada mangsa.

Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan itu membolehkan mangsa mendapat semula dana yang dicuri dengan syarat pemberian bon disediakan sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

Shahul Hamid percaya kuasa yang diberikan kepada mahkamah dapat memastikan tatakelola yang benar-benar telus dalam proses pemulangan berkenaan.

"Selain itu, perlu ada syarat-syarat tuntutan yang khusus misalnya kes perlu dilaporkan kepada pihak polis dan mangsa mesti menunjukkan bukti jumlah kerugian. Bayaran yang mahu dibuat juga hendaklah diteliti.

"Ini kerana dalam kes-kes tertentu, mungkin tidak ada rampasan yang dibuat atau rampasan berkenaan tidak mampu membayar semula keseluruhan kerugian yang dialamai mangsa.

"Jadi mungkin juga perlu diteliti atau dilakukan satu proses merampas kesemua harta scammer sejurus mereka ditangkap sebelum harta itu dicairkan agar kesemua duit mangsa dapat dipulangkan semula,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang pindaan yang bakal dibuat itu, katanya keputusan tersebut tepat pada masanya bagi membela nasib mangsa-mangsa scammer kerana kebanyakan mereka hanya mampu gigit jari dan menanggung kerugian yang besar setelah ditipu.

"Sebelum ini kita dengar bila berlaku kes scam sebegini, suspek dituduh di mahkamah dan ada dijatuhkan hukuman tetapi tak pernah kita dengar yang mangsa dapat balik duit mereka,” tambahnya.

Tegas beliau, pada masa sama kesedaran tentang jenayah penipuan dalam talian perlu dilipatgandakan bagi mengelakkan lebih ramai orang menjadi mangsa dan mengalami kerugian meskipun Kanun Tatacara Jenayah akan dipinda.

"Jangan sebab adanya pemulangan semula wang ini buatkan masyarakat ambil ringan jenayah ini kerana kita perlu sedar tak semua scammer dapat ditangkap. Ada juga yang tak dapat dikesan. Jadi perlu sentiasa wasapada dan jangan mudah tertipu,” katanya.

Penipuan dalam talian kini menjadi ancaman serius kepada rakyat Malaysia.

Sejak tahun 2017 hingga Jun 2022, sebanyak 89,798 kes penipuan dalam talian dilaporkan di seluruh negara yang membabitkan kerugian mencecah RM30 bilion.

Pada Julai tahun lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I ketika itu, Datuk Seri Ismail Mohamed memberitahu Dewan Rakyat bahawa jenayah penipuan dalam talian antara lain membabitkan Macau Scam, Love Scam, African Scam, belian online, pinjaman tidak wujud dan juga tipu SMS.

Berdasarkan statistik, belian online mencatatkan kes tertinggi berbanding kes lain, iaitu sebanyak 32,791 kes.

Klik di sini untuk terus membaca