PERIKATAN Nasional (PN) di Selangor setakat ini kekal dengan keputusan untuk tidak meletakkan sebarang calon menteri besar atau poster boy untuk kempen parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang. Ketua Penerangan... Klik di sini untuk terus membaca

PERIKATAN Nasional (PN) di Selangor setakat ini kekal dengan keputusan untuk tidak meletakkan sebarang calon menteri besar atau poster boy untuk kempen parti itu bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, sehingga hari ini, pucuk kepimpinan belum merancang untuk menamakan mana-mana pemimpin PN sebagai calon poster boy di Selangor.

"Tetapi setakat ini memang tiada dalam perbincangan kita untuk menamakan siapa poster boy, itu jelas. Bertanding dahulu, selepas menang baru kita bicara siapa layak menjadi menteri besar,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Ketika ini ramai yang mula berteka-teki siapa bakal dijadikan poster boy selepas Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan tidak bertanding dalam PRN kelak.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu, sudah tiba masa beliau memberikan laluan kepada tokoh muda dalam PN untuk bertanding setelah beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat selama tujuh penggal.

Nama Mohamed Azmin; Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini pernah disebut-sebut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terlibat dalam PRN Selangor, namun ia bukan isyarat kesemua mereka disenaraikan sebagai calon menteri besar sekiranya berjaya menawan Selangor.

Impak positif

Bagi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis, isu poster boy tidak terlalu mustahak dalam mendepani PRN, namun ia mampu memberi impak positif dan keyakinan kepada pengundi.

Ditanya siapa individu sesuai menjadi calon poster boy bagi PN di Selangor selain Mohamed Azmin, Mujibu menyarankan PN mempertimbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor sebagai calon.

"Ahmad Yunus antara tokoh lama dan dilihat lebih neutral untuk ‘dijual’ kepada orang Selangor berbanding pemimpin PN lain terutama daripada Bersatu.

"Beliau mungkin lebih memberi tarikan kepada pengundi biasa dan atas pagar disebabkan beberapa faktor seperti pendidikan, pengalaman, tiada bebanan isu moraliti serta kelangsungan Pas itu sendiri yang telah lama beroperasi di Selangor berbanding Bersatu,” katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan mungkin timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin Bersatu Selangor sekiranya Ahmad Yunus dipilih sebagai calon menteri besar daripada Pas.

Bagaimanapun, Mujibu menjelaskan mereka perlu menerima hakikat jawatan itu mungkin milik parti berkenaan hanya sekiranya Mohamed Azmin sah bertanding kerusi DUN dengan PN berjaya menawan Selangor.

"Bila Mohamed Azmin kata enggan bertanding, Bersatu perlu berbesar hati menerima Pas sebagai calon poster boy kerana Bersatu pun tiada akar umbi kukuh berbanding Pas di Selangor.

"Dengan setting PRN kali ini juga berbeza kerana Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertembung sesama sendiri. Justeru saingan menjadi lebih sengit dengan pecahan undi tidak mungkin berlaku.

"Faktor undi akar umbi juga dijangka memainkan peranan. Justeru, Bersatu kena realistik dengan kekuatan undi akar umbi Pas di Selangor walaupun pengundi rasional dan atas pagar masih besar jumlahnya,” ujarnya.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian turut menggariskan beberapa kriteria calon poster boy yang perlu dipenuhi PN Selangor.

"Pertama, calon dipilih PN haruslah lebih baik daripada menteri besar yang ada sekarang, mempunyai reputasi dan kredibiliti yang menjadi aset dan bukannya liabiliti.

"Berikutnya, calon haruslah seseorang yang mampu menggerakkan semua komponen PN, selain mempunyai kekuatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada kekuatan Pas semata-mata,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca