MASYARAKAT masih memerlukan lebih masa untuk menerima dan memahami kepentingan pemansuhan jenayah percubaan bunuh diri yang bersifat punitif kepada kaedah rawatan terapi atau perubatan psikologi. Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang... Klik di sini untuk terus membaca

MASYARAKAT masih memerlukan lebih masa untuk menerima dan memahami kepentingan pemansuhan jenayah percubaan bunuh diri yang bersifat punitif kepada kaedah rawatan terapi atau perubatan psikologi.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, inisiatif menghapuskan stigma masyarakat terhadap perbuatan cubaan bunuh diri itu akan mengambil masa yang lama dengan kesedaran serta didikan sosial perlu diterapkan dari satu generasi ke generasi lain.

"Stigma sebegini merupakan sesuatu yang susah kita hapuskan dalam sekelip mata. Untuk mengubah pandangan ini, kerjasama kerajaan, ibu bapa serta para agamawan amat penting dalam mendidik generasi akan datang.

"Mereka perlu didikan betul untuk melihat bahawa percubaan bunuh diri bukan suatu kelakuan jenayah tetapi masalah dalaman yang memerlukan bantuan rawatan daripada pakar dengan segera,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Mohd Hazmi berpandangan, biarpun hukuman percubaan bunuh diri itu dimansuhkan, ia tidak akan meningkatkan kadar kematian bunuh diri.

"Walaupun hukuman dihapuskan, saya tidak rasa Malaysia akan menjadi seperti negara-negara yang mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi seperti Korea Selatan mahupun Jepun kerana kita mempunyai agama dan budaya berbeza.

"Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan yang mana ia mengajar erti simpati dan memberi peluang kepada sesiapa yang mahu memperbaiki diri.

"Dengan persekitaran dan didikan agama yang baik daripada semua pihak, saya tidak rasa kadar bunuh diri akan meningkat,” jelasnya.

Tambah beliau, tidak wajar untuk menghukum mereka yang melakukan percubaan bunuh diri ini sebagai pelaku jenayah, sebaliknya mereka adalah orang yang perlu diberi perhatian dan kaunseling yang sepatutnya.

"Dengan peredaran zaman, kita dapat lihat bahawa sebahagian kes percubaan membunuh diri bukan atas salah mereka sendiri tetapi kerana keadaan sekeliling, tekanan kerja, kesempitan wang serta pelbagai faktor lain.

"Oleh itu, wajar pemansuhan itu dilakukan melihat kepada situasi sekarang. Adalah lebih baik mereka mendapatkan rawatan perubatan dan sokongan sewajarnya daripada diberi hukuman begitu sahaja,” katanya.

Pada Isnin, Dewan Rakyat meluluskan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 bagi memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pemansuhan Seksyen 309 untuk meniadakan kesalahan percubaan bunuh diri di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan.

Ia juga akan menjadi anjakan dalam usaha mencegah kes cubaan bunuh diri di Malaysia dan menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Penolong Profesor di Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Intan Aidura Alias berkata, jenayah percubaan bunuh diri wajar dimansuhkan namun ia mesti disusuli dengan syarat pesakit itu wajib diberikan rawatan atau hadir sesi kaunseling.

"Pada kebiasaannya, orang yang mahu membunuh diri tiada niat untuk mengakhiri talian hayatnya tetapi hanya ingin melepaskan diri daripada bebanan hidup dan sudah tidak nampak jalan penyelesaian lain.

"Sebagai pakar psikologi, jika mereka datang mendapatkan rawatan, kami akan cuba untuk tunjuk jalan keluar. Rawatan diberikan bukan sahaja dari aspek psikologi tetapi dari segi sosial, ekonomi, fizikal dan holistik mengikut keperluan individu tersebut,” katanya.

Selain itu, Intan Aidura berkata, sekiranya seseorang itu disabitkan kesalahan dan diberi hukuman atas kesalahan jenayah bunuh diri, ia akan menambahkan lagi masalah dan tekanan terhadap individu tersebut.

"Dari sudut Islam, pemansuhan ini sesuai dengan Islam sebagai agama rahmah. Rahmah bukan sekadar baik, tetapi bersifat memahami, membantu dan mengasihani,” jelasnya.

Tambah Intan Aidura, seseorang yang nekad untuk membunuh diri selalunya mempunyai masalah psikologi atau mental yang tidak stabil.

"Kita akan tahu sama ada orang itu ‘sihat’ atau tidak apabila mereka memberitahu apa alasan mereka ingin menamatkan riwayat hidup.

"Orang yang mempunyai mental yang stabil tidak akan membunuh diri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca