SAYA pernah mendengar cakap-cakap mengenainya lebih 30 tahun lepas ketika menjalani praktikal (intern) di sebuah syarikat penerbitan. Sebagai orang baharu yang berstatus penempel dalam industri, saya buat kisah tak kisah sahaja. Pertama,... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA pernah mendengar cakap-cakap mengenainya lebih 30 tahun lepas ketika menjalani praktikal (intern) di sebuah syarikat penerbitan. Sebagai orang baharu yang berstatus penempel dalam industri, saya buat kisah tak kisah sahaja.

Pertama, sebab tidak berapa faham dan kedua, sebab tidak berapa menarik. Lainlah kalau cakap-cakap mengenai Salwa Abdul Rahman atau Fauziah Latiff, apatah lagi Sofea Jane.

Sampai terkoyak dagu pun saya boleh duduk mendengarnya.Sekarang, pada tahun 2023 ini, ketika gadis cantik yang saya kenal ketika itu sudah bertukar menjadi opah yang cucu sulungnya sudah pandai jeling-jeling anak teruna orang, saya masih mendengar cakap-cakap yang sama; tentang monopoli, tentang adanya kartel-kartel yang menguasai pasaran buku di negara ini.

Berbeza dengan dahulu, sekarang ini setiap kali mendengar cakap-cakap mengenai perkara itu, saya akan tertarik. Ketika sedang lena pun boleh terjaga.

Sebabnya, buku bagi saya bukanlah sekadar ibarat perempuan dengan gincu, tetapi ibarat kasut sebelah kanan dan kasut sebelah kiri.

Sebagai penulis dan penerbit buku berstatus marhaen, saya bergantung penuh pada pasaran. Saya tidak mampu menerbitkan buku dan mengedarnya secara percuma.

Kalau diumpamakan penerbit filem, saya belum sampai ke peringkat orang itu orang ini pakat beli tiket untuk diedarkan secara percuma bagi membolehkan orang ramai menontonnya, sekali gus mengelak daripada pawagam berkeadaan kosong atau separuh kosong. Kerana besarnya pergantungan terhadap pasaran itulah saya sesak nafas setiap kali orang bercakap tentang kartel dalam industri yang saya ceburi dengan penuh minat ini.

Tetapi ada kawan saya ketawa apabila saya sebut tentang perkara ini dalam satu sesi sembang-sembang antara kami berdua sementara menanti orang rumah masing-masing membuat lawatan sambil ‘menengok-nengok’ di sebuah pusat beli-belah yang namanya langsung tidak berbau Malaysia.

"Industri buku di Malaysia ini ‘ciput’ sahaja, cetak buku 2,000 naskhah pun bertahun tak habis, takkanlah pula ada kartel? Tak logiklah bos.

"Lainlah dua tiga puluh tahun lepas ketika industri buku sedang memuncak.” katanya.

Saya tidak terkejut dengan reaksi itu. Memang tabiat orang kita susah hendak percaya perkara yang betul. Sebaliknya kalau benda yang tak betul, atau belum disahkan betul, si tukang cerita belum sempat buka mulut, mereka sudah mengaku percaya.

Memang benar, saiz industri buku di negara kita tidaklah besar. Ia lebih kecil daripada ‘industri jenayah komersial termasuk scammer’ yang menurut statistik PDRM, pada tahun 2022 sahaja mencatat kerugian RM1.73 bilion (BH, 4 Januari 2023).

Satu kenyataan oleh Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) menyebut, industri buku di negara ini merosot ke bawah paras RM1 bilion pada 2019. Jauh berbanding anggaran RM1.5 bilion kira-kira 15 tahun sebelumnya.

Di sinilah terselindungnya kesedihan penerbit-penerbit marhaen. Sudahlah kek bertambah kecil, ada pula puak yang mengawalnya dengan memastikan bahagian kek yang besar hanya untuk mereka dan suku sakat mereka sahaja. Yang bukan suku sakat mereka hanya diberi sisa dan serdak.

Dengan saiz yang semakin kecil itu penerbit tidak boleh bergantung dengan pasaran terbuka semata-mata. Kedai-kedai buku, kecil atau besar, telah lama hilang tarikannya kecuali bagi kalangan pembaca tegar atau mereka yang sekali-sekala masuk untuk mencari pen.

Jualan dalam talian memang membantu, tetapi jumlahnya tidak besar kerana saya pernah diberitahu ramai orang – perempuan, maksud saya – yang login ke portal jualan dalam talian untuk membeli buku, tetapi berakhir dengan memesan tudung, blaus atau kasut.

Dalam keadaan begitu, penerbit memerlukan sokongan sumber-sumber lain supaya boleh bertahan, antaranya mengadakan jualan langsung ke sekolah-sekolah dan institusi-institusi lain yang berpotensi. Tidak sedikit juga yang mengharapkan pembelian daripada perpustakaan-perpustakaan, baik perpustakaan awam mahupun sekolah.

Tetapi untuk memasuki pasaran-pasaran itu tidak mudah. Di banyak tempat ada hantu raya, ada jembalang, ada penunggu. Tidak semuanya mengharap dijamu telur, tetapi kita sekurang-kurangnya perlu tabik dan minta izin. Dan kalau kita diberi peluang masuk ke pasaran itu sekalipun, bukan kita yang berhak menentukan nasib kita, tetapi mereka.

Amalan ini telah berlangsung sejak lama dan sehingga kini masih berleluasa. Jadi pada pandangan saya, ada wajarnya kerajaan melihat perkara ini secara serius. Pasaran buku sepatutnya bebas dan tidak dikawal oleh mana-mana pihak. Itupun kalau kita benar-benar mahu mencapai sasaran menerbitkan 30,000 judul buku setahun.

Tanpa campur tangan kerajaan, yang akan banyak bukannya judul buku tetapi jumlah hutang sang penerbit. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat

Klik di sini untuk terus membaca