DHAKA - Masalah kekurangan dana memaksa Program Makanan Sedunia (WFP) memotong bantuan makanan kepada kira-kira sejuta pelarian Rohingya yang tinggal di kem sesak di Bangladesh buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan. Jurucakapnya, Kun Li... Klik di sini untuk terus membaca

DHAKA - Masalah kekurangan dana memaksa Program Makanan Sedunia (WFP) memotong bantuan makanan kepada kira-kira sejuta pelarian Rohingya yang tinggal di kem sesak di Bangladesh buat kali kedua dalam tempoh tiga bulan.

Jurucakapnya, Kun Li memaklumkan catuan sebanyak AS$8 (RM36) daripada AS$10 (RM45) seorang akan dibuat bermula 1 Jun ini.

Sebelum ini, catuan penuh AS$12 (RM54) telah pun dibuat pada Mac lalu.

Kumpulan bantuan memberitahu pemotongan yang dibuat sebelum ini telah memburukkan lagi situasi di kem pelarian tersebut yang turut berdepan isu malnutrisi.

Ketua Persatuan Belia Rohingya, Khin Maung menyifatkan keputusan terbaharu itu akan mencetuskan krisis kelaparan kepada golongan tersebut.

"Ia satu tindakan memalukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Saya fikir ia bermotifkan politik kerana segelintir pihak percaya ia hanyalah satu helah untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar," katanya.

Delegasi Rohingya dan pegawai Bangladesh ketika meninjau lokasi penempatan semula di bawah projek penghantaran pulang yang disediakan di Maungdaw pada awal bulan lalu.
Delegasi Rohingya dan pegawai Bangladesh ketika meninjau lokasi penempatan semula di bawah projek penghantaran pulang yang disediakan di Maungdaw pada awal bulan lalu.

Langkah itu juga dikhuatiri akan mengancam keselamatan di kem pelarian berkenaan yang menyaksikan beberapa insiden keganasan berkaitan dadah pada tahun lalu kerana terdapat individu yang terdesak hingga sanggup terlibat kumpulan jenayah.

Bagi mengatasi masalah itu, PBB dan diplomat asing menggesa Dhaka supaya menarik balik larangan dan membenarkan pelarian Rohingya bekerja di sekitar daerah Cox's Bazar.

Pakar bagaimanapun memberi amaran langkah itu bakal mengundang kemarahan penduduk setempat dan menjejaskan usaha penghantaran pulang golongan tersebut.

Selepas beberapa cubaan gagal, Myanmar telah melancarkan projek perintis untuk penempatan semula kira-kira 1,100 pelarian Rohingya.

Satu lagi perangkap

Pihak berkuasa Yangon dijadualkan mengadakan kunjungan ke kem pelarian tersebut sebagai usaha meyakinkan mereka untuk pulang ke 'tanah air'.

Tetapi, kira-kira 20 pelarian Rohingya yang meninjau perkampungan di negeri Rakhine yang akan menjadi lokasi penempatan semula mereka pada awal bulan lalu menyatakan mereka ragu-ragu dengan pelan tersebut.

"Kami sama sekali tidak berpuas hati melihat keadaan di Rakhine. Ia adalah satu lagi perangkap untuk melakukan kekejaman seperti yang dilakukan sebelum ini kerana tiada jaminan permintaan kami akan ditunaikan.

"Kami tidak percayakan junta Myanmar walaupun satu peratus," menurut salah seorang daripada wakil berkenaan.

Human Rights Watch (HRW) berpendapat negara penyalur dana dan PBB sepatutnya campur tangan untuk menggesa langkah penghantaran pulang golongan itu ditangguhkan sehingga keadaan terbukti benar-benar selamat.

"Pihak berkuasa Bangladesh tidak seharusnya lupa sebab Rohingya menjadi pelarian dan menyedari tiada satu pun daripada faktor itu telah berubah," kata Penyelidik HRW Asia, Shayna Bauchner merujuk kepada data yang menunjukkan lebih sejuta pelarian Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh sejak awal 1990-an.

Perkampungan Rohingya di Rakhine dibakar tanpa perikemanusiaan ketika tindakan kekejaman dilancarkan tentera pada 2017.

Berisiko tinggiPada 2017, kekejaman yang tercetus di Rakhine menyebabkan lebih 742,000 etnik Rohingya mencari perlindungan di Dhaka.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menegaskan ketika gelombang pertama ketibaan pelarian Rohingya di Bangladesh, pemerintah tidak menunjukkan usaha untuk membantu walaupun menerima mereka dengan tangan terbuka.

"Kini, pihak berkuasa merancang untuk menghantar mereka pulang kerana terbeban dengan masalah itu. Tetapi, tindakan itu hanya akan menyebabkan gelombang melarikan diri seterusnya yang lebih dahsyat dan jelas berisiko tinggi.

"Mereka hanya akan pulang jika ada jaminan tentang hak kerakyatan, keselamatan, kebebasan bergerak dan akses untuk menjalani kehidupan normal seperti komuniti setempat," kata Bauchner.

Difahamkan, kem transit Hla Poe Kaung dan kem penempatan semula Kyein Chaung di Maungdaw, negeri Rakhine yang disediakan untuk pelarian Rohingya dikelilingi pagar kawat berduri yang dikhuatiri akan menjadi seperti 'penjara'.

"Tapak kem transit Hla Poe Kaung pernah menjadi kampung halaman saya. Rumah saya dimusnahkan dan sekolah saya telah dijadikan pusat kesihatan," kata jurucakap delegasi Rohingya tersebut sambil menambah ketiga-tiga perkampungan asal mereka bertukar menjadi kem transit di bawah projek penempatan semula berkenaan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca