PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) datang lagi. Pesta buku ini diadakan selama 10 hari; dimulai pada Jumaat, 26 Mei dan tamat pada Ahad, 4 Jun.
Kementerian Pendidikan, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) menjadi pemegang taruh utama pesta yang sudah masuk ke tahun ke-40.
Pesta buku ini asalnya dikenali sebagai Pameran Buku Kebangsaan. Ia diadakan untuk menyambut Tahun Buku Antarabangsa anjuran UNESCO pada 1971.
Kemudian dikenali sebagai Pesta Buku Malaysia mulai tahun 1982 sebelum dinamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 1991 dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (kini Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur atau WTCKL) sebagai premis kekalnya hingga ke hari ini.
Inilah pesta buku paling besar yang mendapat sambutan terhangat para peminat buku. Ia disertai hampir semua pemain-pemain industri buku yang kecil dan besar; menjadikan ia bagai ‘ibu segala pesta buku di Malaysia.’
Jika ingin membaca apakah trend penerbitan dan sambutan para peminat pesta buku, inilah pesta yang tidak syak menjadi kayu ukur akan pasang surut industri buku di Malaysia, sekurang-kurangnya untuk setahun berikutnya.
Tahun 2022 menyaksikan sambutan luar biasa. Hampir seluruh WTCKL di mana acara berlangsung dipenuhi manusia. Jalan dari pintu masuk ke eskalator untuk ke aras lain pun mengambil masa sekurang-kurangnya 20 minit akibat kesesakan.
Ada yang kata, 2022 adalah tahun endemik Covid-19. Kerana itu para peminat buku begitu kemaruk untuk ke pesta buku setelah terpaksa mendapatkan buku secara dalam talian kerana PKP.
Media sosial terutamanya TikTok memainkan peranan besar kerana medium video memberi kesan terbaik hingga acara pesta buku mudah menjadi tular dan popular. Seorang petugas kanan pemasaran sebuah syarikat penerbitan, saudara Usaid Asmadi berkata, para peminat buku terbahagi kepada dua kategori.
Kategori pertama ialah golongan pembaca setia yang ke pesta untuk memborong buku di samping menemui penulis-penulis diminati.
Kategori kedua ialah golongan pembaca buku-buku viral. Mereka ini tidak ambil tahu siapakah penerbit mahupun penulis sesebuah buku.
Kerana itu mereka akan menyusur dari reruai ke reruai sambil menayangkan imej buku yang dicari di telefon mereka kepada para petugas.
Sebaik sahaja memperoleh buku yang dikehendaki, mereka akan beredar walaupun penulisnya ada berhampiran untuk sesi bertemu peminat.
Pada tahun ini, keadaan dijangka tidak berubah. Malah saya rasa pengunjung tetap akan datang berpusu-pusu. Masyarakat Malaysia adalah masyarakat pengguna yang unik. Meskipun harga barangan meningkat akibat inflasi, mereka tetap membeli. Buku, tidak terkecuali.
Cuma barangkali jika sebelum ini mereka membeli secara borong, mungkin kali ini mereka lebih peka untuk memilih. Ertinya, jika sebelum ini mereka membeli lima buah buku dengan RM100 daripada sesebuah penerbitan, kini dengan RM100, mereka akan memilih tiga buah buku daripada syarikat berbeza. Inilah jangkaan melalui pemerhatian Usaid.
Alhamdulilah, buku turut dipopularkan oleh golongan penulis sendiri. Rata-rata para penulis kini lebih berani mempromosi buku-buku yang bakal dilancarkan di pesta buku. Ramai juga yang berpakat membuat cross-promotion dengan berkongsi posting. Media sosial menjadi medan mereka mencanang hasil kerja mereka.
Yang jelas, di sebalik meningkatnya pembacaan e-buku sejak pandemik Covid-19, minat pembaca kepada buku-buku fizikal boleh dikatakan masih kekal. Malah, ramai para pembaca sudah merancang ke reruai manakah yang mereka mahu tuju sebaik sahaja tiba ke pesta itu. Para penerbit juga telah berjaya membina kabilah atau tribe masing-masing.
Semoga PBAKL terus kekal sebagai mercu tanda utama industri buku di Malaysia. Semoga ia berjaya menarik ramai para peminat buku yang baharu.
Biarlah PBAKL menjadi bukti sahih buat seseorang peminat buku. Ertinya, jika dia berkata bahawa dia peminat buku, dia harus sekurang-kurangnya mempunyai bukti berupa sebuah swafoto dirinya di PBAK.
Selamat berpesta!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca