PADA awal Januari tahun ini, Menteri Undang-Undang Datuk Seri Azalina Othman Said ada memberi gambaran bahawa Kerajaan Perpaduan hari ini berhasrat untuk menubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai Ombudsman Malaysia.
Pada awal bulan Mei baru-baru ini, beliau dilaporkan sebagai berkata bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia kini berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Ramai yang bertanya dengan saya apakah itu Ombudsman ini? Perkataan Ombudsman sebenarnya dipinjam daripada bahasa Sweden.
Dalam bahasa asal Norse Lama, ia disebut umboth-mathr, yang mana umboth bermaksud Suruhanjaya dan mathr sama dengan lelaki.
Sweden menjadi negara pertama yang melantik suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai ombudsman dalam tahun 1809 untuk menyiasat aduan terhadap pegawai dan agensi kerajaan.
Dalam konteks hari ini, rakyat terbanyak yang berasa sama ada pegawai kerajaan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Ataupun ada yang merasa mereka ditindas atau diambil kesempatan oleh pegawai kerajaan tersebut bolehlah melaporkan kepada badan Ombudsman Malaysia ini yang akan menyiasat aduan orang ramai dan menjadi pengadil yang bebas dan adil.
Ini secara tidak langsung menentukan bahawa bukan setakat rakyat mendapat keadilan tetapi orang awam juga tidak boleh sewenang-wenangnya membuat fitnah terhadap penjawat awam. Aduan rakyat itu perlu mempunyai asas yang kukuh dan akan diselidiki kesahihannya.
Persoalanya adakah selama ini selepas 66 tahun kita merdeka, negara kita tidak mempunyai mekanisme untuk rakyat membuat aduan. Sebenarnya kita ada Biro Pengaduan Awam (BPA).
Seingat saya semasa saya bertugas di Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah (GIACC) di Jabatan Perdana Menteri dahulu, sudah ada usaha untuk mentransformasi BPA kepada Ombudsman Malaysia.
Ia telah digariskan di bawah inisiatif 1.2.6 dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dalam tahun 2019. Saya tidak pasti apa berlaku selepas pertukaran kerajaan selepas Langkah Sheraton.
Yang pasti sebelum penukaran kerajaan dalam tahun 2020, proses penggubalan satu akta khusus berhubung pengurusan aduan awam yang lebih menyeluruh daripada fungsi sedia ada di bawah BPA telah dimulakan.
Fungsi Ombudsman Malaysia yang kita rangkakan pada waktu itu adalah untuk merangkumi advisory, planning, monitoring, evaluation, recommendation dan reporting.
Fokus aduan Ombudsman Malaysia dalam kerangka rancangan kami pada waktu itu adalah tertumpu kepada aduan yang berkaitan dengan salah tadbir urus dan kegagalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Walau bagaimanapun, kuasa perundangan yang akan diberikan kepada Ombudsman perlu diperhalusi dengan melihat had kuasa yang dibenarkan kepada Ombudsman dalam skop tugas supaya tiada pertindihan peranan dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Saya tidak pasti apa kandungan dalam RUU yang disediakan pada hari ini sama ada mengambil kira usaha yang pernah dibuat dalam tahun 2019 dahulu. Kalau tidak mungkin cadangan saya melalui kolum ini boleh diberi pertimbangan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.
Apa yang penting adalah supaya ada satu badan yang bebas yang dapat menguruskan aduan salah tadbiran terhadap mana-mana jabatan awam.
Badan ini perlu memantau dan menasihati jabatan-jabatan kerajaan berhubung dengan pengurusan aduan awam di jabatan mereka.
Badan ini juga perlu mendidik rakyat untuk mengetahui hak-hak mereka agar mereka tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
Pada masa yang sama, rakyat harus berani tampil untuk membuat aduan bertujuan untuk memperbetulkan keadaan agar sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih efisien dan efektif.
Selain menjadi badan bebas yang adil sebagai tempat untuk rakyat membuat aduan tanpa rasa ragu-ragu, badan ini juga harus terus menyediakan laporan yang berhubungan dengan salah laku mana-mana jabatan kerajaan dan mengemukakan sesalinan laporan itu kepada menteri untuk dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.
Ini penting untuk setiap wakil rakyat tahu sama ada rakyat yang mereka wakili telah mendapat perkhidmatan kerajaan terbaik melalui sistem penyampaian yang efisien.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca