APAKAH terjadi kepada tanah yang dimiliki oleh orang Melayu, tak kira di bandar atau di desa pada 2050, iaitu dalam masa 27 tahun, atau kurang daripada enam pilihan raya umum?
Ini gambarannya mengikut unjuran di atas peta oleh badan pemikir tempatan Center for Governance and Political Studies (Cent-GPS) dalam satu pautan Twitter https://twitter.com/CentGPS/status/1191913810304487424, berdasarkan satu kajian sedunia diterbitkan di Nature Communications https://www.nature.com/articles/s41467-019-12808-z.pdf pada tahun 2019 oleh Dr Scott A Kulp dan Dr Benjamin H Strauss:
Pantai dari Simpang Empat, Perlis sampai ke Kota Kuala Muda, Kedah akan ditengelami laut, Alor Setar menjadi sebuah pulau manakala Jitra, Pokok Sena, Pendang dan Sungai Petani menjadi bandar pantai yang baharu; Seberang Jaya Utara dan Seberang Jaya Selatan akan menjadi teluk manakala Butterworth, Perai dan Bukit Mertajam akan menjadi sebuah semenanjung kecil; Hampir 2,000 kilometer persegi di barat laut Perak dari Parit Buntar ke selatan Kuala Sepetang akan menjadi sebahagian daripada Selat Melaka; Pantai dari Kuala Selangor sampai ke Bagan Lalang akan menjadi laut, menghanyuti Klang dan pejabat Sinar Harian akan berdekatan pantai; Melaka, Muar dan Kuala Terengganu akan turut menjadi mangsa.
Ini bukan hukuman ALLAH kerana perbuatan maksiat manusia, tetapi akibat kita gagal menunaikan tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi dan memastikan kelestariannya.
Setepat mana unjuran ini sudah tentu boleh dibincangkan lagi. Tetapi trend kenaikan paras air laut kerana pemanasan sejagat itu fakta dan bukan lagi hipotesis.
Seawal 2010, National Hydraulic Research Institute of Malaysia (Nahrim) membuat unjuran kenaikan aras laut antara 0.361-0.517 meter di pantai Kedah dan Kelantan menjulang tahun 2100.
Apa implikasinya kenaikan satu meter dalam aras laut? Menurut sebuah rencana terbitan 2019 di IOP Conference Series: Earth and Environmental Science (EES) https://iopscience.iop.org/article/10.1088/1755-1315/228/1/012023/pdf oleh Sofia Ehsan, Prof Madya Rawshan Ara Begum, Prof Nor Ghani Md Nor and Dr Khairul Nizam Abdul Maulud, ini boleh membawa kehilangan 40.67 peratus kawasan pembangunan dan membebani seramai 22,000 penduduk di Pelabuhan Klang sebagai contoh.
Adakah kenaikan paras air laut ini sengaja memilih tanah Melayu untuk ditenggelami dan orang Melayu untuk disusahi? Sudah tentu tidak. Sekalipun kalau Kuala Terengganu menjadi laut, ada juga orang bukan Melayu yang tumpang sengsara.
Bukan saja Semenanjung, Borneo Malaysia juga tidak terlepas. Dalam unjuran Cent-GPS, pantai di sekitar Petrajaya, Kuching, Asajaya dan Muara Sadong akan terjejas.
Dalam unjuran Nahrim, kenaikan aras laut boleh mencecah 1.064 meter dekat Tawau dan 0.432-0.634 meter di pantai Sarawak.
Tidak semacam manusia, bencana – sama ada gelombang panas, banjir atau wabak – tidak mendiskriminasi. Apabila bencana melanda, yang alim dan yang tidak alim, yang lurus dan yang kurang lurus, semua boleh menjadi mangsa. Semua sama rata.
Maka, sebagai orang bukan Melayu, saya akan tumpang untung kalau parti-parti Melayu dan tokoh-tokoh Melayu sudi menyelamatkan tanah orang Melayu sungguhpun musuh ini - air laut - tiada identitii kaum, agama atau orientasi seks.
Mohon dimasukkan ancaman kenaikan aras laut dalam Proklamasi Orang Melayu versi baru.
Bermandi di sawah Sang Kerbau, Ditemani Bangau si kawan.
Tak berwarna lagi tak berbau, Musuh ini tetap perlu dilawan.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca