WASHINGTON - Selepas lebih dari tiga tahun, darurat kecemasan Covid-19 akhirnya ditamatkan, namun ia masih membunuh sekurang-kurangnya seorang dalam tempoh empat minit dan persoalan bagaimana menangani virus itu belum terjawab sehingga hari ini.
Persoalan utama bagaimana menangani virus yang kini kurang menjadi ancaman kepada penduduk dunia, tetapi masih berbahaya kepada sebilangan penduduk harus dijawab segera pihak yang berkaitan.
Di Amerika Syarikat (AS), Covid-19 adalah penyebab kematian ketiga paling tinggi selepas penyakit jantung dan kanser.
Tidak seperti kematian lain seperti akibat merokok atau kemalangan jalan raya yang boleh ditangani dengan undang-undang, ahli politik dilihat kurang cenderung mengurangkan risiko virus itu dengan mewajibkan vaksinasi, pemakaian pelitup muka di ruang tertutup.
Pengarah Pusat Epidemiologi Klinikal di sebuah pusat perubatan di Missouri, AS, Ziyad Al-Aly, berkata, Covid-19 masih menjangkiti dan membunuh ramai umat manusia dan kerajaan perlu mencari cara untuk mengatasinya.
Malah sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada awal bulan ini mengisytiharkan bahawa Covid-19 bukan lagi darurat kecemasan, kebanyakan kerajaan telah melonggarkan sekatan dan garis panduan di negara masing-masing.
Selepas berbelanja besar pada peringkat awal pandemik, pemimpin global bertindak mengurangkan atau tidak berminat untuk terus melaksanakan langkah kawalan yang kurang disenangi atau membuatkan orang ramai semakin hilang sabar.
Malah, jangkitan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 20 juta kematian di seluruh dunia itu terus berkembang, meninggalkan warga emas dan mereka yang berpenyakit berserah kepada takdir tanpa akses kepada ubat atau vaksin.
Mengapa tiada pelan jangka panjang? Pelan jangka panjang global untuk melindungi mereka yang terdedah dan mengelakkan penularan semula Covid-19 nampaknya tidak berhasil.
Ia didorong keengganan mendapatkan imunisasi menyebabkan lebih 300,00 kematian akibat Covid-19 di AS sepanjang 2021, yang jika ditawarkan pada peringkat global, boleh menyelamatkan sekitar setengah juta nyawa.
Selain itu, keengganan China untuk membenarkan pakar bebas akses tanpa halangan ke pasar basah dianggap punca Covid-19 menular di Wuhan telah menjejaskan usaha untuk WHO menangani pandemik itu.
Dalam pada itu, pakar akan bertemu pada Jun depan di AS bagi memberi nasihat jenis virus yang perlu disasarkan untuk baki tahun ini.
Difahamkan vaksin tersebut akan dilancarkan pada musim gugur depan dengan hanya 100 juta dos dijangka tiba di negara itu yang jauh lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
Masalah baharu Covid-19 Dianggarkan Long Covid akan menjejaskan hampir 10 peratus yang dijangkiti dan sekali gus dianggap salah satu cabaran perubatan terbesar selepas pandemik serta ditambah kos ekonomi yang besar.
Di AS, Long Covid dijangka mengakibatkan kos sekitar AS$50 bilion (RM230 bilion ) setahun dari segi kehilangan pendapatan setakat lewat 2022.
Di United Kingdom (UK), Institut Pengajian Fiskal menganggarkan satu dalam setiap 10 orang menderita akibat Long Covid terpaksa berhenti kerja selepas mengalami simptom kebuntuan fikiran, sesak nafas dan keletihan, meskipun kadar jangkitan berkurangan.
Ia lebih menakutkan kepada golongan berisiko tinggi yang kini sudah pun kembali bekerja, berada di kawasan terbuka di mana tidak ramai memakai pelitup muka, dan bahaya jangkitan sentiasa ada.
Selain itu, aktiviti seperti menghadiri perkahwinan anggota keluarga mungkin mencetuskan gelombang jangkitan baharu sekali gus mengundang malapetaka. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca