SHAH ALAM - Seorang selebriti dari Indonesia, mendedahkan terdapat ramai rakyat Malaysia yang hadir dalam majlis kontroversi melibatkan sebuah sekolah pondok pesantren di Indramayu, Jawa Barat di negara tersebut. Pendedahan itu dibuat oleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang selebriti dari Indonesia, mendedahkan terdapat ramai rakyat Malaysia yang hadir dalam majlis kontroversi melibatkan sebuah sekolah pondok pesantren di Indramayu, Jawa Barat di negara tersebut.

Pendedahan itu dibuat oleh Lucky Hakim ketika ditemu bual oleh Tvonenews.com baru-baru ini.

Menurut selebriti yang turut terlibat dalam politik itu, dirinya sama sekali tidak menyangka majlis tersebut merupakan sebuah acara yang besar.

"Majlis yang berlangsung ketika itu bukan majlis biasa kerana banyak kenderaan. Saya lihat tetamu mungkin lebih 2,000 orang. Banyak tetamu dari luar, ada dari Korea dan paling ramai adalah dari Malaysia.

"Sebelum duduk, saya diberikan songkok dan jaket kerana mungkin mereka (penganjur) fikir pakaian saya tidak sesuai kerana terlalu kasual.

"Selepas itu saya duduk di barisan hadapan bersama tetamu-tetamu kenamaan lain yang akan turut menyampaikan ucapan,” katanya yang memberi penjelasan berhubung kehadirannya di pusat pengajian agama berkenaan.

Di Indonesia kini sedang hangat diperkatakan tentang aktiviti di pusat pengajian tersebut yang mencetuskan beberapa kontroversi.

Ia bermula apabila tular di media sosial pengasas pusat pengajian itu melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam video tersebut kelihatan mereka melaksanakan solat berjarak seperti semasa pandemik Covid-19 tetapi bercampur antara lelaki dan wanita dalam satu saf.

Kontroversi melibatkan pesantren itu kembali meletus apabila pengasasnya meminta para pengikut untuk menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew.

Selain itu, turut tular khutbah solat Jumaat yang dilakukan di pusat pengajian tersebut disampaikan oleh seorang wanita.

Turut mencetuskan kontroversi ialah cara laungan azan oleh pelajar di pondok tersebut yang menghadap jemaah dan didakwa mengelirukan orang ramai.

Sementara itu, pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad mengecam tindakan pimpinan pondok berkenaan kerana jelas lagu yang dinyanyikan di dalam masjid itu adalah lagu salam bagi orang Yahudi.

Ujarnya, berdasarkan video majlis tersebut, pengasas pusat pengajian itu meminta tetamu untuk sama-sama menyanyikan lagu berjudul Hanevu Shalom Alaichem yang diketahui lagu bangsa berkenaan.

Sehubungan itu, Abdul Somad turut menggesa supaya pihak berkuasa Indonesia mengambil tindakan ke atas pondok berkenaan kerana didakwa menjadi 'ejen' Yahudi.

Meskipun kurang diketahui oleh rakyat Malaysia, pesantren itu adalah antara sekolah pondok yang terbesar di Asia Tenggara, menurut Washington Times.

Ia mula beroperasi pada tahun 1996 di atas kawasan seluas 1,200 hektar dan pada 2011, ia memiliki lebih 7,000 pelajar termasuk dari Malaysia.

Perasmian pesantren berkenaan dilakukan oleh mantan Presiden BJ Habibie.

Jakim kena segera bertindak - Mufti Pahang

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta segera menyiasat sama ada ajaran pelik sebuah pondok pesantren di negara jiran sudah menular di negara ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, dengan kemajuan teknologi dan media sosial, ajaran yang dibawa oleh pondok Jawa Barat itu boleh menular dengan cepat.

Datuk Seri Abdul Rahman Osman
Datuk Seri Abdul Rahman Osman
Datuk Seri Abdul Rahman Osman

"Kita tak tahu sama ada ia menyeleweng atau ada propaganda politik memandangkan ia ada dikaitkan dengan Israel.

"Sebab itu di peringkat kebangsaan, pihak Jakim perlu membuat kertas kajian supaya ia diputuskan sesat atau sebaliknya.

"Ajaran ini mula disebarkan melalui internet, yang mana sukar untuk kita sekat. Cuma sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dengan hal yang menyalahi akidah.

"Keduanya, jangan terlibat dengan propaganda politik yang mungkin menyalahi undang-undang dan boleh mengundang perkara yang tidak diingini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan seorang selebriti dari Indonesia yang menyatakan terdapat ramai rakyat Malaysia yang hadir dalam majlis kontroversi melibatkan pesantren berkenaan.

Pendedahan itu dibuat oleh Lucky Hakim ketika ditemu bual oleh Tvonenews.com baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Rahman turut menasihatkan umat Islam yang ingin mendalami ilmu agama supaya menghadiri kuliah di masjid dan mendengar ceramah daripada sumber yang diyakini.

"Memang mudah mengikuti ceramah di media sosial tetapi kita sendiri perlu menapis sumbernya, apatah lagi jika ada perkara yang meragukan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca