SHAH ALAM - Pakar pengajian Islam menyenaraikan tiga teras utama yang perlu diambil kira bagi memastikan sesebuah sekolah pondok atau pondok pesantren itu menerapkan ajaran Islam sebenar.
Pengarah Akidah and Global Outreach Centre Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Najaa Mokhtar berkata, ia merangkumi ilmu akidah, fiqh dan tasawuf yang diajar harus bersandarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan mazhab Syafie.
Menurutnya, teras itu yang menentukan sejauh mana ajaran Islam diterapkan di pusat pengajian tersebut, selain melihat kepada silibus, penggunaan buku dan kitab serta cara pembawaan guru.
"Solat umpamanya, berpegang dan mengikut kepada mazhab Shafiee.
"Perkara yang berkaitan ilmu tasawuf, pendekatannya kena selari dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau jika mereka menolak ilmu tasawuf dan buat cara sendiri, kita kena lihat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Ahmad Najaa, selain dalam negara, ada kalangan rakyat Malaysia yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok atau pondok pesantren di Indonesia, Thailand, Yemen dan Syria untuk menuntut ilmu agama.
Bagaimanapun katanya, sukar untuk memastikan institusi itu mengamalkan ajaran Islam yang sebenar kerana ada antaranya yang tidak berdaftar dengan mana-mana badan kawal selia.
"Masalah utama pengajian Islam di Indonesia ini adalah tiada badan yang boleh mengawal mana-mana agama kerana mereka mengamalkan rukun Pancasila yang mengiktiraf semua agama.
"Berbeza di Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan dan ada jabatan yang mengawal selia,” katanya.
Diiktiraf
Sementara itu, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin, Profesor Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menasihatkan ibu bapa untuk menyelidik sama ada pondok atau pondok pesantren itu diiktiraf oleh mana-mana institusi agama atau badan bertauliah sebelum menghantar anak mereka.
Jelasnya, agak mudah untuk memastikan institusi itu diiktiraf di Malaysia kerana kebanyakannya berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Dalam hal ini, biasanya pelajar kita yang nak melanjutkan pelajaran ke Indonesia akan melalui saluran yang sah tetapi kalau ke sekolah pondok, biasanya tidak begitu.
"Itu yang menyebabkan ada pelajar kita yang terlibat dengan aliran sesat di sekolah pondok. Sekolah pondok di Indonesia banyak di luar pemantauan kementerian agama di sana dan di peringkat kita, itu yang berlaku,” ujar beliau.
Beliau yang juga pakar penyelidikan akidah dan ajaran sesat menjelaskan, kebiasaannya di Indonesia, institut yang berdaftar di bawah kementerian agama republik itu dinamakan Institut Agama Islam Negeri.
Selain itu, terdapat dua agensi besar berkaitan agama iaitu Muhammadiyah dan Universiti Islam Negeri yang berdaftar dengan kementerian agama.
"Jadi, jika rakyat kita nak institusi yang meyakinkan, dua agensi ini ada autoriti.
"Tetapi di Malaysia, institusi pondok tidak kurang hebatnya sebab sekarang ini banyak institusi yang berdaftar dengan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” katanya.
'Masih ada institusi pendidikan Islam tempatan yang berkualiti'
Sementara itu, ibu bapa atau penjaga di Malaysia, dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu sebelum menghantar anak ke sekolah pondok atau pondok pesantren agar tidak terlibat dengan ajaran sesat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, banyak lagi institusi pendidikan agama Islam yang menawarkan pendidikan yang berkualiti, sama ada yang didirikan oleh kerajaan atau pihak swasta.
"Agama kita sendiri menyarankan umatnya supaya menghindari apa yang meragukan dan memilih apa yang tidak meragukan.
"Pesanan ini lebih wajar diikuti dalam hal-hal yang membabitkan pendidikan anak-anak, bukan sahaja untuk menjamin masa depan yang cerah bagi mereka, malah yang lebih penting adalah jaminan mereka mendapat ilmu yang betul dan kefahaman yang tepat tentang ajaran agama Islam,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang pendedahan seorang selebriti dari Indonesia tentang ramai rakyat Malaysia yang hadir dalam majlis kontroversi melibatkan sebuah sekolah pondok pesantren di Indramayu, Jawa Barat di negara tersebut.
Ditanya mengenai sama ada sudah ada sebarang keputusan atau fatwa tentang institusi itu, beliau menjelaskan, setakat ini Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) belum pernah membuat sebarang keputusan tentang pondok pesantren berkenaan.
Jelas Wan Salim, lazimnya muzakarah tersebut membincangkan tentang isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak kerajaan Malaysia atau masyarakat Islam Malaysia yang memerlukan keputusan fatwa sama digariskan atau sebaliknya.
"Selama ini setahu saya tiada mana-mana pihak yang mengajukan pertanyaan kepada MKI atau Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) selaku Urus Setia kepada MKI tentang pondok pesantren yang dimaksudkan.
"Cuma secara peribadi, saya pernah mendengar desas desus tentang penyelewengan institusi pendidikan agama tersebut seperti pemujaan pemimpin atasannya yang dianggap seolah-olah maksum atau suci daripada melakukan kesalahan.
"Begitu pun berdasarkan kepada penyaksian beberapa tokoh agamawan termasuk tokoh tersohor, Ustaz Abdul Samad, saya menasihatkan umat Islam Malaysia supaya berhati-hati dalam memasukkan anak untuk belajar di situ,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca