KERAJAAN tidak perlu menggubal undang-undang baharu bagi menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan ‘ALLAH’ dalam sebarang penerbitan di Semenanjung Malaysia ketika ini. Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN tidak perlu menggubal undang-undang baharu bagi menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan perkataan ‘ALLAH’ dalam sebarang penerbitan di Semenanjung Malaysia ketika ini.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya hanya perlu mengharmonikan Perlembagaan Persekutuan dengan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam melalui penguatkuasaan mengikut polisi termaktub dalam enakmen berkenaan.

Menurutnya, Jemaah Menteri sebenarnya boleh mengeluarkan arahan pentadbiran selari dengan peruntukan enakmen yang sudah diluluskan di negeri-negeri terlibat berasaskan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu bagi mengawal dan menyekat penyebaran agama lain dalam kalangan umat Islam.

Wan Ahmad Fauzi

Wan Ahmad Fauzi menegaskan, ini kerana perkara berkaitan hal ehwal akidah, diri dan moral orang Islam adalah termasuk dalam undang-undang peribadi yang tertakluk di bawah bidang pihak berkuasa agama negeri masing-masing dan ia bukannya menyerupai undang-undang awam yang lain.

"Penggubalan undang-undang sedemikian menjadi keperluan bagi negeri yang belum mempunyai undang-undang di bawah Perkara 11(4), iaitu bagi mengawal dan menyekat penyebaran agama lain dalam kalangan orang Islam.

"Jika sudah ada Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang digubal di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, maka kerajaan perlu kuat kuasakannya menerusi dua kaedah.

"Pertama, melalui arahan eksekutif dan Keputusan Dasar dibuat Kabinet pada tahun 1986 yang dijelmakan melalui Pekeliling dan Garis Panduan KDN berkaitan Larangan Penggunaan empat Istilah atau Perkataan (ALLAH - Kaabah - Solat - Baitullah) atau lebih dikenali Pekeliling KDN 1986 yang hendaklah selari dengan peruntukan enakmen kerajaan negeri sedia ada.

"Kedua, memastikan undang-undang Persekutuan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikuatkuasakan selari dengan semua undang-undang yang digubal di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada wujud keperluan kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi halang penyebaran doktrin agama lain kepada umat Islam di Malaysia.

Hal ini susulan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka untuk tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas panel hakim membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Terdahulu, Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berpandangan kerajaan tidak wajar melengah-lengahkan masa untuk meminda undang-undang sedia ada bagi menyekat orang bukan Islam di Semenanjung Malaysia daripada menggunakan kalimah ALLAH.

Haniff Khatri berkata, kerajaan hanya memerlukan 24 jam untuk meminda undang-undang bagi memastikan kalimah ALLAH hanya boleh digunakan oleh orang Islam di Semenanjung Malaysia dan kelonggaran diberikan terhadap orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Berikutan itu, Haniff Khatri menegaskan adalah wajar kerajaan menyelesaikan hal itu dalam tempoh 24 jam kerana kerajaan persekutuan dan negeri menghadapi kekangan dalam memantau penggunaan kalimah ALLAH.

Klik di sini untuk terus membaca