DISANGKA datang ke Malaysia untuk melancong, rupa-rupanya melakukan jenayah melibatkan hidupan liar. Kegiatan terkutuk itu dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia melibatkan warga asing... Klik di sini untuk terus membaca

DISANGKA datang ke Malaysia untuk melancong, rupa-rupanya melakukan jenayah melibatkan hidupan liar.

Kegiatan terkutuk itu dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia melibatkan warga asing yang mengambil kesempatan masuk ke negara ini sebagai pemburu haram menggunakan pas lawatan sosial dan permit kerja.

Menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini baru-baru ini, warga asing terbabit dikesan menceroboh hutan di negara ini, malah pas lawatan sosial atau permit kerja mereka juga sudah tamat tempoh.

Empat ekor musang cuba diseludup ke Thailand dirampas Perhilitan di sekitar Jeli, Kelantan pada 18 Mei lalu.
Empat ekor musang cuba diseludup ke Thailand dirampas Perhilitan di sekitar Jeli, Kelantan pada 18 Mei lalu.

Wartawan Sinar Harian turut berpeluang menyertai OBK yang dianggotai Perhilitan dan PGA selama dua hari.

Antara cabaran yang dilalui ialah melalui kawasan yang memerlukan kemahiran untuk mengenal pasti arah tuju yang tepat ke laluan sebenar.

Malah, lebih mencabar perlu merentas tiga anak sungai di mana salah satu sungai mengalir deras. Rondaan OBK dimulakan dengan melalui titian gantung yang hampir rosak dan perlu dilalui dengan berhati-hati bagi mengelak terjatuh ke dalam sungai.

Selain terputus talian telekomunikasi di dalam hutan, kami juga 'diserang' oleh puluhan pacat.

Sementara itu, Penyelaras OBK Zon Timur Jabatan Perhilitan, Mohd Zaki Mohd Rahim berkata, pada peringkat awal, warga asing terbabit akan menceroboh hutan untuk mencari minyak gaharu. Bagaimanapun, katanya, mereka bertindak memasang jerat untuk menangkap haiwan liar yang dijadikan sumber makanan eksotik serta dijual di pasaran gelap.

"Mereka yang melakukan perkara ini biasanya melibatkan warga Vietnam dan Kemboja. Mereka bergerak secara kumpulan.

"Kita boleh tahu mereka datang dari negara mana berdasarkan pakaian yang dipakai. Kalau Vietnam, mereka berpakaian seragam hijau, manakala Kemboja mengenakan seragam lengan panjang dan berbelang.

"Sudah tentu mereka juga bersenjatakan alatan tajam seperti pisau dan parang," katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa OBK di Taman Negara Sungai Relau, Pahang baru-baru ini.

"Bekalan utama yang dibawa pemburu haram warga asing ini ialah beras seberat 40 hingga 50 kilogram (kg)," katanya.

Imej pemburu haram yang dirakam kamera perangkap di Taman Negara di Pantai Timur.
Imej pemburu haram yang dirakam kamera perangkap di Taman Negara di Pantai Timur.
Imej pemburu haram yang dirakam kamera perangkap di Taman Negara di Pantai Timur.
Imej pemburu haram yang dirakam kamera perangkap di Taman Negara di Pantai Timur.

Mohd Zaki berkata, kumpulan pemburu haram berkenaan akan berpecah dan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil dan berkomunikasi dengan melakukan penandaan pada pokok-pokok di dalam hutan tersebut.

"Contohnya, kumpulan satu yang telah melalui kawasan itu akan membuat tanda dengan simbol tertentu atau bahasa negara mereka pada pokok. Antara maksud yang dikesan ialah arah, lokasi serta jaringan telekomunikasi.

"Kita mendapat tahu perkara itu berdasarkan penterjemah yang dipanggil untuk mengetahui maksud di sebalik tulisan berkenaan," katanya.

Menurut beliau, antara haiwan yang diburu ialah beruang matahari, labi-labi dan harimau.

"Haiwan yang ditangkap ini akan dilapah di dalam hutan. Pemburu juga akan menghubungi rangkaian mereka untuk mengambil hasil yang diperoleh ini di lokasi tertentu.

"Kita tidak tolak kemungkinan rangkaian pemburu ini turut melibatkan warga tempatan," ujarnya.

Tambah Mohd Zaki, berdasarkan rekod, hidupan liar yang siap dilapah akan dibungkus dan dibalut dengan aluminium.

"Antara anggota badan hidupan liar yang ditemui ialah kaki beruang matahari, taring harimau kumbang, hempedu ular serta labi-labi," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tidak semua spesies haiwan akan diambil dagingnya, sebaliknya pemburu haram tersebut hanya menyasarkan anggota-anggota badan sahaja seperti sisik. Warga asing dihantar ke dalam hutan oleh individu tertentu melalui jalan yang jarang dilalui kenderaan.

Mereka akan masuk secara berkumpulan sebelum berpecah kepada kumpulan kecil. Mereka turut dibekalkan dengan 40kg hingga 50kg beras.Kumpulan-kumpulan kecil ini berkomunikasi menggunakan penandaan simbol atau bahasa negara sendiri pada pokok.

Jerat dipasang dan hidupan liar yang ditangkap akan dilapah di dalam hutan, anggota badan dan organ dibungkus serta dibalut dengan aluminium. Pemburu haram ini berada di dalam hutan selama tiga bulan.

MODUS OPERANDI

- Warga asing dihantar ke dalam hutan oleh individu tertentu melalui jalan yang jarang dilalui kenderaan.

- Mereka akan masuk secara berkumpulan sebelum berpecah kepada kumpulan kecil. Mereka turut dibekalkan dengan 40kg hingga 50kg beras.;

- Kumpulan-kumpulan kecil ini berkomunikasi menggunakan penandaan simbol atau bahasa negara sendiri pada pokok.

- Jerat dipasang dan hidupan liar yang ditangkap akan dilapah di dalam hutan, anggota badan dan organ dibungkus serta dibalut dengan aluminium.

- Pemburu haram ini berada di dalam hutan selama tiga bulan.

OPERASI KHAZANAH BERSEPADU

OBK Siri 5 Zon Timur

Berkeluasan 200km persegi

- Taman Negara Kelantan

- Taman Negara Pahang

- Hutan Simpan Kekal (HSK) bersempadan

Keanggotaan OBK Zon Timur

- Perhilitan

- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah

• Batalion 6

• Batalion 7

- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara

• Batalion 8

• Skuadron Perisai 9

- Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM)

Klik di sini untuk terus membaca