KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 255 kes dengan nilai rampasan mencecah RM29 juta menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sejak tahun lalu. Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 255 kes dengan nilai rampasan mencecah RM29 juta menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sejak tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB), Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azlin Sadari berkata, jumlah yang direkodkan itu adalah bagi tempoh sehingga April lalu.

Katanya, daripada jumlah kes yang dicatatkan, PDRM berjaya membuat 293 tangkapan.

"Bagi tahun 2022, sebanyak 180 kes direkodkan dengan 210 tangkapan membabitkan rampasan berjumlah RM18.9 juta.

"Bagi tempoh empat bulan tahun ini bermula Januari, 75 kes dicatatkan berserta 83 tangkapan dengan nilai rampasan mencecah RM10.8 juta,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, elemen KDNKA yang terlibat dalam OBK ialah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan WCB. OBK merupakan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi dan NGO bagi mengekang jenayah hidupan liar.

Ujar Azlin, polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) serta agensi kerajaan lain dan pertubuhan bukan kerajaan akan mengambil tindakan lebih tegas dan drastik dalam menangkap individu yang terlibat dalam jenayah hidupan liar.

"Penubuhan WCB di bawah PDRM akan terlibat dalam siasatan jenayah hidupan liar.

"Melihat kepada sudut pandang jangka masa panjang, WCB diwujudkan bukan sahaja untuk memberi fokus terhadap jenayah melibatkan hidupan liar yang membabitkan sindiket terancang di dalam dan luar negara, bahkan juga memberi fokus kepada usaha PDRM dalam melindungi khazanah negara,” ujarnya.

Jelasnya, semua Pesuruhjaya Polis Negeri dan Ketua Polis Negeri juga akan terlibat bersama memerangi jenayah hidupan liar di peringkat kontinjen.

"PDRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta 716 ke atas individu yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang iaitu memburu hidupan liar yang dilindungi atau dilindungi sepenuhnya seperti yang termaktub di bawah Jadual Pertama dan Kedua Akta 716,” katanya.

Ujar Azlin, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) menyaksikan peningkatan penalti bagi jenayah membabitkan hidupan liar, termasuk menyimpan, memburu dan menyeludup.

"Selain itu, memiliki atau membawa senjata dan amunisi tanpa suatu lesen atau permit merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 [Akta 206] yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

"Lesen senjata api yang didapati diguna bagi tujuan pemburuan haram akan dibatalkan," katanya.

Jelas Azlin lagi, pihaknya juga serius menangani aktiviti pemburuan menggunakan jerat daripada dawai atau kabel yang turut menjadi faktor kepupusan hidupan liar.

Justeru, katanya, PDRM mengharapkan kerjasama masyarakat dalam memberikan serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terkesan kegiatan pemburuan haram melibatkan penggunaan senjata api buatan sendiri, penjualan amunisi melibatkan pelesen dan penjualan hasil buruan.

"Ini secara tidak langsung dapat menangani isu ini secara bersama dengan pihak berkuasa demi menjaga hasil khazanah negara,” ujarnya.

Pada 12 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu sebanyak 1,010 lesen pemilikan senjata api jenis raifal, dibatalkan oleh PDRM dalam tempoh tiga tahun bermula 2020, dalam usaha mengekang aktiviti pemburuan haram.

Pembatalan itu katanya dibuat berikutan raifal adalah senjata api paling kerap digunakan dalam kalangan pemburu haram.

Pemburu pecahkan kamera perangkap Perhilitan

Sementara itu, Penyelaras Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Timur Jabatan Perhilitan, Mohd Zaki Mohd Rahim mendedahkan pemburu warga tempatan kini semakin agresif.

"Apabila menyedari pergerakan mereka dikesan kamera perangkap yang dipasang di lokasi tersembunyi, mereka akan memecahkan dan mencabutnya.

"Ini kerana mereka sedar gambar mereka telah dirakam dan akan diketahui kakitangan Jabatan Perhilitan mengenai pembabitan mereka.

"Ini berbeza dengan warga asing di mana mereka tidak hiraukan kamera perangkap itu kerana sedar mereka sukar dikesan disebabkan status warga asing,” katanya.

Tambahnya, sejak 2020 dianggarkan lebih 20 kamera perangkap ini telah dirosakkan.

Katanya, OBK akan terus dilaksanakan biarpun anggota operasi berdepan cabaran faktor geografi selain cuaca tidak menentu.

"Kita tahu pemburu haram ini sering berpindah-randah, tapi kita akan terus usaha untuk menumpaskan rangkaian jenayah ini,” ujarnya.

Kata beliau, banyak kejayaan yang direkodkan sepanjang pelaksanaan OBK Zon Timur.

"Antaranya ialah rampasan pelbagai jenis jerat yang digunakan pemburu haram selain rampasan pelbagai spesies burung dilindungi.

"Kita turut berjaya menahan seorang lelaki pada 18 Mei di Jeli, Kelantan yang cuba menyeludup musang dan labi-labi,” katanya.

Tambahnya, lelaki tempatan disyaki 'tauke' itu ditahan ketika sedang memandu lori yang membawa muatan daging babi hutan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui empat ekor musang dan empat ekor labi-labi di bawah timbunan daging babi hutan.

"Kita percaya musang dan labi-labi ini akan diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Jeli hingga Pengkalan Kubor, Kelantan,” katanya.

Justeru, tegas Mohd Zaki, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti kegiatan pemburuan haram, pencerobohan dan pelbagai kesalahan jenayah hidupan liar diingatkan agar menghentikan kegiatan itu atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Klik di sini untuk terus membaca