MINGGU lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi kerajaan untuk menyiasat laporan kerugian berjumlah RM4.5 trilion akibat ketirisan dalam tempoh 26 tahun lalu. Angka RM4.5 trilion amat besar, 11.6... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi kerajaan untuk menyiasat laporan kerugian berjumlah RM4.5 trilion akibat ketirisan dalam tempoh 26 tahun lalu.

Angka RM4.5 trilion amat besar, 11.6 kali ganda lebih daripada bajet negara dalam satu tahun.

Dengan sedikit penyiasatan dan pengiraan terhadap laporan yang diterbitkan oleh EMIR Research, dakwaan bahawa ketirisan mengakibatkan kerugian jumlah sebesar itu sebenarnya tidak mempunyai asas kukuh.

Sebagai contoh, kajian tersebut menyatakan bahawa anggaran kerugian akibat rasuah bernilai RM572 bilion pada tahun lalu dan ia bersamaan dengan 32 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau dikenali sebagai Gross Domestic Product (GDP).

GDP yang merupakan persoalan teras untuk mana-mana ahli ekonomi bagi memahami keadaan ekonomi sesebuah negara dipecahkan mengikut sektor ekonomi dan kategori perbelanjaan.

Berdasarkan laporan Kementerian Kewangan tahun lalu, perbelanjaan negara pada 2022 bersamaan 21.2 peratus daripada GDP termasuk dana khas pandemik Covid-19.

Dalam perbelanjaan negara setiap tahun, kira-kira 70 peratus merupakan perbelanjaan operasi dan yang lain adalah perbelanjaan pembangunan. Oleh itu, pengiraan kajian EMIR Research yang menunjukkan peratus GDP yang hilang akibat ketirisan adalah tidak tepat kerana faktor penggandaan digunakan terlalu besar.

Logik untuk mengesahkan statistik dikemukakan itu bukan model ekonomi yang rumit, hanya memerlukan pemahaman matematik dan ekonomi asas.

Hal itu menimbulkan persoalan kecekapan pegawai dalam Pejabat Perdana Menteri yang memberikan angka tersebut kepada Anwar tanpa membuat analisis sendiri.

Perkara itu serius kerana sebaik sahaja statistik dikeluarkan daripada Pejabat Perdana Menteri, ia akan dianggap sebagai statistik rasmi dan boleh dipetik menjadi rujukan.

Yang mungkin Anwar tidak perasan semasa mengeluarkan arahan untuk menyiasat ketirisan yang berlaku berdasarkan jumlah tersebut ialah isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa menjawat Timbalan Perdana Menteri pernah berkata bahawa anggaran kerugian Malaysia pada 2017 adalah RM40 bilion akibat rasuah, bersamaan tiga peratus daripada GDP tahun itu.

Berbanding data EMIR Research, pada tahun yang sama, kerugian dicatat akibat ketirisan adalah RM138 bilion. Perbezaan antara kedua-dua angka tersebut cukup untuk membuktikan ketidaktepatan dakwaan oleh EMIR Research.

Pandangan Kopitiam Kita bukan mahu meremehkan gejala rasuah dan ketirisan tetapi untuk mempersoalkan kesahihan statistik sebuah kumpulan pemikir (think tank) yang kerja hakikinya adalah kajian terperinci dan mendalam.

Pengiraan kerugian ekonomi akibat gejala rasuah sukar kerana ia menembusi pelbagai sektor dan aspek kehidupan harian. Walaupun gejala rasuah berlaku dalam sektor swasta, ia lebih berleluasa di sesetengah organisasi terutama dalam syarikat milik kerajaan dan syarikat-syarikat terlibat dengan sektor minyak dan perlombongan.

Keuntungan yang besar dalam cari gali sumber asli adalah suatu insentif yang kuat untuk gejala rasuah. Tabung Kewangan Antarabangsa turut menyatakan bahawa negara yang kaya dengan sumber asli cenderung kepada gejala rasuah kerana institusi kerajaan yang lemah dalam tadbir urus.

Misalnya, skandal Petrobras di Brazil yang menyaksikan Presiden Rousseff dipecat pada 2015 dan syarikat minyak Perancis Elf Aquitaine yang melibatkan penyelewengan dua bilion franc pada 1994.

Ternyata amalan rasuah berlaku di seluruh pelosok dunia dan usaha-usaha membanteras rasuah patut diteruskan.

Namun, sebagai ahli-ahli akademik dan pegawai-pegawai dalam Pejabat Perdana Menteri, mereka perlu bertanggungjawab terhadap statistik yang dilaporkan kerana ia boleh menjadi rujukan pakar-pakar antarabangsa.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca