KATHMANDU - Di Nepal, Gunung Everest dikenali sebagai ‘Sagarmatha’ yang membawa maksud ‘dahi di langit’.
Berketinggian 8,849 meter (m) atau 29,032 kaki, Everest lebih tinggi dari aras laut berbanding mana-mana gunung lain di dunia.
Walaupun nama asal Everest adalah Chomolangma, gunung itu diberikan nama rasmi Inggeris pada tahun 1865 oleh Andrew Waugh, seorang Ketua Juru Ukur British daripada Persatuan Geografi Diraja tanpa mengetahui nama tempatan, berikutan Nepal dan Tibet ditutup kepada orang luar ketika itu.
Terletak di sempadan Nepal dan Tibet di Banjaran Himalaya, puncak Everest kali pertama didaki warga New Zealand, Edmund Hillary bersama malim gunung dari Nepal, Sherpa Tenzing Norgay dalam satu misi penerokaan British pada 1953.
Penaklukan pertama Everest itu dianggap satu kejayaan kerana ia adalah misi hidup mati selain tidak pernah dilakukan sebelum ini.
Sejak itu, ribuan pendaki dari seluruh dunia berpusu-pusu ke Everest dalam usaha memahat nama mereka dalam sejarah sebagai individu yang berjaya sampai ke puncak tertinggi dunia tersebut.
Namun, sejak penaklukan pertama itu juga, Everest mula ‘menelan’ ratusan nyawa pendaki.
Kematian direkodkan hampir setiap tahun di Everest menyebabkan gunung tersebut mendapat reputasi sebagai ‘pembunuh’.
Menurut penyiar Britain BBC, tahun terakhir tanpa kematian di gunung tersebut adalah pada tahun 1977.
Hari ini, Everest terlalu sesak dengan pengunjung dan menjadi lokasi tarikan yang menyakitkan mata bukan hanya kerana mayat-mayat pendaki yang ditinggalkan tetapi juga kerana sampah-sarap sehingga ia digelar sebagai ‘tempat pembuangan sampah tertinggi dunia’.
Lokasi longgok sampah
Khemah warna fluoresen, pelbagai peralatan pendakian dibuang, kanister gas kosong dan najis manusia beku adalah antara sisa yang lazim ditemui di sepanjang laluan ke puncak, sekali gus membuatkan Gunung Everest digelar tong sampah tertinggi dunia.
Kajian oleh Kumpulan penyelidik National Geographic dan Ekspedisi Everest Rolex Perpetual Planet yang diterbitkan dalam jurnal alam sekitar, One Earth mendapati bahan pencemaran itu boleh ditemui pada ketinggian 8,440m dari aras laut.
Penemuan itu sekali gus mendedahkan potensi ancaman pencemaran plastik di Gunung Everest.
Kajian sama tidak menolak ada kemungkinan mikroplastik di Gunung Everest dibawa tiupan angin kuat dari kawasan lain seperti Banjaran Himalaya.
"Sampel menunjukkan jumlah signifikan polister, akrilik, nilon dan gentian polipropilena,” kata penyelidik dan penulis utama kajian, Imogen Napper.
Sebahagian besar pakaian aktiviti luar yang digunakan kumpulan pendaki dan malim gunung di Everest diperbuat daripada fabrik sintetik.
Khemah, tali pendakian dan peralatan lain juga menggunakan material mikroplastik.
Kumpulan itu melakukan kajian pertama melibatkan mikroplastik di Gunung Everest pada 2019.
Kesesakan pemandangan biasa
Kesesakan luar biasa di puncak Everest bukan perkara baharu. Majalah aktiviti lasak Outside pernah menyiarkan gambar kesesakan teruk di laluan tirus Hillary Step, tembok batu pada ketinggian 28,740 kaki dari aras laut.
Faktor yang menyumbang kesesakan di puncak tertinggi dunia itu ialah pemberian permit kepada pendaki amatur sekali gus mengganggu rentak pendaki lain.
Perkara itu diakui sendiri pendaki gunung berpengalaman, Nick Hollis.
Menurut Hollis, saban tahun semakin ramai pendaki yang tidak cekap menyertai pendakian dan pergerakan mereka di laluan menuju puncak sangat perlahan hingga mewujudkan kesesakan.
Selain itu katanya, cuaca buruk turut menyumbang kepada kesesakan di Everest.
"Cuaca di gunung itu tidak menentu sekali gus peluang untuk para pendaki sampai ke puncak tipis.
"Pendaki amatur yang terperangkap dalam kesesakan boleh dikatakan hanya menunggu kematian.
"Mereka boleh kehabisan bekalan oksigen sama ada berada di puncak atau ketika menuruni gunung tersebut,” ujarnya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca