TINDAKAN pemimpin tertinggi UMNO meminta ahlinya mengundi calon DAP mungkin menyebabkan Barisan Nasional (BN) terpaksa berhadapan dengan undi protes pengundi Melayu dan penyokong sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Mantan Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

TINDAKAN pemimpin tertinggi UMNO meminta ahlinya mengundi calon DAP mungkin menyebabkan Barisan Nasional (BN) terpaksa berhadapan dengan undi protes pengundi Melayu dan penyokong sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Mantan Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, undi orang Melayu termasuk ahli UMNO terhadap calon BN di negeri berkenaan mungkin merosot daripada 50 peratus semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu kepada kurang 20 peratus pada PRN kali ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu turut meramalkan BN mungkin menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang mereka di Selangor ketika ini kerana terpaksa berhadapan dengan undi protes ahli UMNO yang kurang senang dengan keputusan parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP yang merupakan ‘seteru’ orang Melayu.

"Saya melihat masih ramai orang Melayu enggan mengundi calon DAP kerana tiada usaha dalam kalangan pemimpin parti berkenaan untuk cuba memenangi hati ahli UMNO supaya mengundi PH pada PRN nanti.

"Jadi saya berasa pelik, kenapa UMNO mesti bersikap seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, dengan menawar undi dan sokongan kepada PH terutama DAP sedangkan mereka tidak memerlukannya.

"DAP tidak pernah meminta undi daripada UMNO biarpun Setiausaha Agungnya, Anthony Loke pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan bermusuhan dengan UMNO pada PRN nanti,” katanya kepada Sinar Premium.

Merosot

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRU15 lalu, jumlah pengundi berdaftar di Selangor meningkat sebanyak 52.28 peratus atau 1.26 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,677,848 pengundi.

Sekurang-kurangnya 34 kerusi DUN yang peratusannya melebihi 60 peratus pengundi Melayu semestinya menjadi rebutan antara UMNO/BN dan PH melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Isham Jalil turut memberi peringatan bahawa tindakan pemimpin UMNO mendesak ahli parti mengundi DAP mungkin menyebabkan sokongan pengundi kepada BN merosot.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu berkata, walaupun UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP dan dikatakan mampu memberi kelebihan kepada parti itu, namun ‘hati akar umbi UMNO masih perlu dijaga’.

"Kita tak boleh hilang undi asas kita. Kita nak kejar undi orang, undi sendiri hilang, kita habis nanti. Puji melambung DAP itu tidak payahlah, nanti penyokong kita kecil hati. Jadi masalah kepada kita. Hentikan suruh orang kita undi DAP.

"Kita jangan terlampau cepat untuk jadi ‘apologist’ DAP sebab penyokong kita melihat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Khamis.

Isham juga menegaskan PRN enam negeri amat penting kerana akan memberi isyarat kepada Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

"Jika eksperimen ini tak menjadi, apa akan jadi? Kita bermasalah, Kerajaan Perpaduan pun bermasalah. Agihan kerusi antara parti sekutu dalam kerajaan perpaduan khususnya antara komponen PH dan UMNO juga akan menunjukkan sejauh mana mereka ikhlas dengan kita,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca