TEMASYA Sukan SEA (Sukan ASEAN) atau juga dikenali Sukan SEAP (Sukan Semenanjung Asia Tenggara) suatu ketika dahulu, adalah merupakan satu temasya sukan dwitahunan yang membabitkan 11 negara anggota Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) termasuk negara terbaharu, Timor Leste.
Di pentas Sukan SEA, nama Malaysia sememangnya digeruni selaku salah sebuah negara gergasi sukan terkemuka rantau ini bersama-sama Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur menjadi temasya paling bermakna buat Malaysia dalam sejarah penyertaan Sukan SEA.
Hal ini kerana kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan dengan pungutan pingat emas terbesar dengan 145 pingat emas, 92 pingat emas dan 86 pingat gangsa, sekaligus mengatasi pencapaian Sukan SEA 2001, juga diadakan di Kuala Lumpur.
Bagi pencapaian kontinjen Malaysia di Sukan SEA yang dianjurkan di luar Kuala Lumpur, pencapaian terbaik negara adalah di Sukan Sea Korat, Thailand pada 2007 apabila meraih 68 pingat emas, 52 perak dan 96 gangsa.
Hakikatnya Sukan SEA sememangnya sudah lama menjadi pentas negara mencungkil bakat-bakat bertaraf dunia dan antarabangsa seperti dua legenda pelari pecut negara, Tan Sri Dr M Jegathesan dan Watson Nyambek, legenda boling, Shalin Zulkifli dan ratu renang, Nurul Huda Abdullah.
Bagaimanapun, sejak tiga siri temasya Sukan SEA terdahulu, prestasi kontinjen Malaysia yang konsisten mencatatkan kedudukan keseluruhan lima terbaik dan memungut jumlah pingat mengatasi sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selama ini, dilihat semakin merudum.
Di Sukan SEA ke-31 di Hanoi pada tahun 2022, penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli ketika itu mempersoalkan pencapaian atlet negara yang dianggap terburuk pada waktu itu, meskipun memperoleh 39 pingat emas melepasi sasaran 36 pingat emas.
Menganggap pencapaian menduduki tangga keenam itu prestasi terburuk Malaysia sejak 64 tahun lalu, Pekan juga mempersoalkan keseriusan kerajaan untuk bertanding pada Sukan SEA dan sama ada mereka menganggap temasya tersebut sebagai kejohanan biasa-biasa saja.
Kebimbangan Pekan akhirnya terjawab pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 apabila kontinjen Malaysia sekali lagi mencatatkan pencapaian terburuk dengan menduduki tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
Kontinjen negara pulang dengan detik hitam di pentas Sukan SEA apabila hanya mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.
Lebih mengecewakan apabila kedudukan pencapaian pingat Malaysia dengan 676 atlet berada di bawah Singapura, Filipina dan Kemboja.
Prestasi terburuk itu turut mencetuskan polemik di tanah air apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sendiri mengaitkan kegagalan itu dengan faktor ketidakstabilan politik yang berlaku selepas peristiwa Langkah Sheraton serta dana yang terpaksa dipotong oleh kerajaan sebelum ini.
Pandangan Hannah itu hakikatnya disokong pengulas dan pengkritik sukan terkemuka, D Jasni Shafie yang menekankan kepentingan kestabilan politik negara perlu dicapai bagi melicinkan pentadbiran kementerian terutama KBS.
"Apabila polisi dan hala tuju kementerian terjejas, mustahil implikasi itu tidak memberi impak kepada perancangan pembangunan atlet dan kewangan persatuan-persatuan sukan yang bernaung di bawah KBS mahu pun Majlis Sukan Negara (MSN).
"MSN tidak boleh disalahkan semata-mata dalam isu kegagalan prestasi kontinjen negara memandangkan isu pertukaran menteri dalam tempoh singkat sedikit sebanyak memberi kesan terhadap peracangan kewangan mereka,” tegasnya kepada Sinar Premium.
Di sebalik itu, Jasni masih melihat keperluan persatuan-persatuan sukan terutama yang menawarkan acara ‘lubuk emas’ seperti olahraga dan akuatik untuk memikul tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan mereka mencapai sasaran ditetapkan MSN.
Jelasnya, sudah tiba masanya untuk persatuan-persatuan sukan tidak terlalu bergantung kepada geran padanan pembangunan sukan diperuntukkan MSN, sebaliknya mereka perlu lebih berdikari menjana kantung sendiri menerusi tajaan dan sumbangan syarikat-syarikat korporat.
"Keseluruhannya, kementerian dan MSN perlu melaksanakan penilaian secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut penyusunan sistem program sukan berimpak tinggi, bahkan sistem kejurulatihan, rekrut atlet dan aplikasi sains sukan yang diterapkan - sama ada dikemas kini mengikut keperluan semasa atau sudah ketinggalan zaman.
"Persatuan-persatuan sukan juga sudah tidak boleh lagi berterusan menjadikan Sukan SEA sebagai medan pendedahan atlet pelapis, sebaliknya perlu memandang serius kualiti atlet yang dihantar bagi memastikan imej Malaysia sebagai gergasi sukan ASEAN akan terus terpelihara,” jelasnya.
Tidak beri tempias
Bagaimanapun, bekas Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Khalid Yunus tidak bersetuju dengan pandangan perubahan pucuk kepimpinan KBS secara kerap menjadi faktor kualiti sukan negara semakin merosot sejak tahun 2020.
Menyifatkan KBS dan MSN hanya bertindak sebagai pemudah cara bagi membantu persatuan-persatuan sukan mempersiapkan atlet masing-masing, bekas Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menganggap isu ketidakstabilan politik negara tidak akan memberi tempias kepada prestasi sukan negara sekiranya kelompok persatuan sukan komited dengan perancangan program pembangunan sukan yang diterapkan.
"Kalau hendak berjaya, pengalaman saya mendapati setiap persatuan perlu ada satu sistem pembangunan dan latihan sukan yang merangkumi keperluan jangka pendek, pertengahan dan panjang.
"Dalam apa jua badan sukan sekalipun, hasil kerja dan pencapaian banyak bergantung kepada corak serta kewibawaan pemimpin sesebuah badan itu, maka corak kepimpinan pegawai, pentadbir dan jurulatih menentukan kejayaan atlet.
"Cuma, dalam soal ini, atlet kena main peranan, mereka kena ada disiplin untuk berjaya. Kalau persiapan terbaik dan atlet tiada disiplin tiada guna juga. Begitu juga dengan teraju persatuan, mereka pun tidak boleh asyik berbalah dan bergaduh sesama sendiri tidak berkesudahan,” katanya.
Menurut Khalid, semua persatuan sukan yang gagal harus mengambil tindakan drastik memperbetulkan kelemahan kerana jika mereka tetap selesa dengan keadaan sekarang, maka segala usaha dan sumbangan kerajaan akan menjadi sia-sia.
Jelasnya, negara juga tidak mempunyai masalah untuk melahirkan barisan pelapis berkualiti memandangkan ‘talent pool’ di negara ini cukup luas dengan kerajaan sudah menyediakan banyak sekolah sukan dan sekolah projek pembangunan sukan di setiap negeri bagi mengenal pasti bakat di peringkat akar umbi.
"Satu permasalahan besar sukan negara ketika ini adalah kegagalan persatuan-persatuan sukan di peringkat kebangsaan memastikan cawangan mereka di peringkat negeri dan daerah benar-benar berfungsi dan efisien dalam mencungkil bakat di peringkat akar umbi.
"Faktor utamanya adalah disebabkan persatuan-persatuan ini berdepan kekurangan dana dan perkara ini perlu diberi perhatian KBS dan MSN dalam memastikan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi berjalan rancak.
"Baik KBS, MSN mahu pun persatuan-persatuan sukan, kita kena terima hakikat bahawa semua pihak perlu berubah sekiranya mahu Malaysia kembali mencipta nama di persada sukan antarabangsa,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca