YANG di-Pertuan Agong (YDPA) merupakan simbol perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang etnik dan agama di negara ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ketika merasmikan sambutan Minggu Perpaduan Negara di Sarawak baru-baru ini bahawa semua rakyat Malaysia harus menjadikan nilai perpaduan sebagai aset utama demi masa depan negara.
YDPA juga memohon agar perbezaan dapat dikurangkan dalam kalangan semua kaum, agama dan bangsa; serta perpaduan dianggap bermula dari rumah.
Titah YDPA merupakan susulan dari siri nasihat sebelum ini yang melihat bagaimana sensitiviti antara etnik dan agama semakin hari semakin tergugat.
Sewaktu baginda ditemubual pada 30 Julai 2019 sempena istiadat pertabalan YDPA ke-16, baginda ada menyatakan "mendekatkan mereka yang jauh dan dekatkan juga yang dekat dengan kita. Itu cuba saya terapkan, dekatkan orang yang jauh, khususnya kaum lain dengan mengeratkan perpaduan antara sesama kita”.
Malaysia merupakan sebuah negara yang rencam, pelbagai dan majmuk merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Saban hari, kita melihat perubahan berlaku di dalam persekitaran yang dihuni menyebabkan lahir kebimbangan sejauh mana ia memberi kesan ke atas apa yang sudah dibina selama ini.
Kita tahu mudah untuk merobohkan apa yang ada tetapi tidak mudah untuk membina semula. Ia memerlukan tekad politik daripada pelbagai pihak.
Perpaduan dalam sebuah negara seperti Malaysia adalah satu yang diperlukan secara berterusan, bukan bermusim.
Identiti nasional perlu disemarakkan semula. Apakah identiti nasional yang boleh menjadi latar kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang negara ini?
Satu, kerangka identiti adalah berpaksikan kepada Perlembagaan negara. Keluhuran Perlembagaan menjamin kedudukan, hak dan tanggungjawab sebagai seorang warga Malaysia.
Sesiapa yang menyanggah dan bertanggapan mahu memiliki kebebasan mutlak harus kembali kepada roh Perlembagaan untuk mencerna kedudukan sebagai warga Malaysia.
Kedua, fasih berbahasa Malaysia. Ini adalah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan dan bahasa Malaysia mesti dihormati, diiktiraf dan dipertahankan kedudukannya. Ia bukan sekadar untuk penggunaan harian, tetapi ia adalah bahasa penghubung ke semua sektor sedia ada. Jangan malu untuk menggunakannya bila-bila masa dan jika tidak ada kesedaran tersebut, tidak perlu hina, benci dan aib warga yang mencintai bahasa ini.
Ketiga, nilai kebanggaan menjadi warga negara ini juga memberi sisipan ke atas identiti nasional. Kebanggaan terletak pada citrarasa individu yang tahu kepentingan mempertahankan, berkorban, memelihara, membela, menjaga dan menjadi perisai kedaulatan negara. Jika bukan warganya, siapa lagi?
Ketiga-tiga perkara asas ini boleh membina nilai yang melengkapinya iaitu faham, hormat dan menerima.
Pemahaman antara satu sama lain akan membolehkan masing-masing menghormati wujud perbezaan dalam amalan, ritual dan rutin harian dan perlu menerimanya. Kesemua ini diajar, dididik, diasuh dan disemai di rumah melalui keluarga.
Kepelbagaian diraikan dan bukannya sebaliknya. Ia adalah satu aset, bukan liabiliti. Identiti yang kini bersifat berubah-ubah menjadi hibrid disebabkan desakan dalaman dan luaran.
Hatta, agen lain turut perlu memainkan fungsinya seperti institusi pendidikan, media, agensi kerajaan, rakan sebaya dan pemimpin mesti menabur teladan kepada yang lain. Akhirnya, inisiatif diri sendiri melakar identiti nasional ini ke arah perpaduan bersama.
Pelindung kepada kepelbagaian dalam bingkai kesatuan adalah YDPA. Naratif yang dipapar adalah bertujuan untuk melahirkan generasi yang tidak ada kesedaran palsu tetapi kesepaduan sivik untuk memastikan boleh adaptasi dan menunjukkan solidariti.
Artikulasi ke arah integrasi bertujuan menggunakan negosiasi dan mediasi, bukan pedang dan parang.
Tapak idaman adalah pemetaan ke atas nilai keinsanan tatkala berhadapan dengan ledakan teknologi.
Persefahaman boleh ditingkat dengan budaya silang yang diterap dan dijadikan amalan andai kata mengerti nilai perkongsian dan kepunyaan.
Rukun Negara adalah formula tepat ke arah membina masyarakat harmoni dan menyekat penyebaran kezaliman, kebencian dan ekstremisme.
Kita adalah Malaysia, Malaysia adalah kita. Ia tidak sempurna. Warga yang bersifat nasionalis, patriotik dan jiwanya Malaysia boleh menyempurnakan Malaysia dengan parameter budaya sejahtera, aman, selamat dan bahagia.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca