NILAI Ringgit Malaysia (RM) kini mencatat paras terendah dalam sejarah berbanding Dolar Singapura (SGD) apabila mencecah sekitar RM3.4047.
Paras itu mengatasi paras terendahnya sebelum ini iaitu 3.4019 yang dicatatkan pada 10 November tahun lalu.
Perkembangan itu mungkin dilihat sebagai sesuatu yang negatif bagi Malaysia, namun dari sudut lain, ia memberi limpahan ekonomi kepada negara terutama bagi negeri Johor dalam sektor peruncitan, perhotelan, makanan dan minuman.
Nilai dolar Singapura yang tinggi meningkatkan kuasa beli rakyat negara itu sekali gus menjadikan Johor Bahru sebagai ‘syurga’ membeli-belah.
Wartawan NOR AZURA MD AMIN, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI dan ZULHISHAM ISAHAK mengupas kesan kuasa dolar Singapura terhadap Malaysia.
KEJATUHAN RINGGIT SEAKAN-AKAN RAHMAT BUAT PENIAGA TEMPATAN
KEJATUHAN nilai Ringgit Malaysia (RM) seakan-akan memberi satu rahmat kepada peniaga di negeri ini.
Peningkatan nilai Dolar Singapura (SGD) berbanding ringgit menyebabkan kuasa beli rakyat di negara republik itu semakin meningkat.
Oleh kerana itu, rata-rata warga Singapura berduyun-duyun masuk negeri ini, bukan sahaja untuk membeli-belah di pasar-pasar raya, malah bagi menikmati makanan dan minuman yang murah disebabkan kadar pertukaran mata wang.
Berdasarkan tinjauan Sinar Ahad, rata-rata peniaga tempatan di negeri ini mengakui menerima peningkatan jumlah pengunjung dari negara jiran itu, sekali gus meningkat hasil pendapatan mereka.
Pengusaha Restoran LC Catering, Zaini Atan, 63, berkata, penyusutan nilai ringgit banyak memberi kelebihan kepada peniaga-peniaga apabila warga republik itu dilihat semakin galak berbelanja di bandar raya ini.
"Terdapat dua faktor yang mempengaruhi orang Singapura datang berbelanja di Johor Bahru. Pertama disebabkan kadar pertukaran mata wang dan kedua, kelancaran trafik di kedua-dua pintu masuk ke sini.
"Orang Singapura tidak kisah berbelanja, apatah lagi sekarang kadar tukaran mata wang Singapura kepada ringgit amat menguntungkan mereka.
"Dengan hanya 1 SGD, mereka boleh dapat RM3. Inilah yang mempengaruhi mereka datang ke Johor Bahru.
"Selain itu, tidak dinafikan di Singapura tidak mempunyai tempat-tempat makan menarik seperti di sini. Selain makanan tempatan, di Johor Bahru mempunyai banyak pilihan seperti restoran Thailand dan makanan barat,” katanya.
Zaini yang sudah lebih 25 tahun berniaga berkata, hampir 40 peratus pelanggan di restorannya adalah warga Singapura.
Bagi pengusaha Restoran Nasi Lemak Ondeng Basmati di Taman Molek, Md Fauzi Suradi, 49, pula berkata, jumlah pengunjung Singapura datang ke restorannya meningkat sejak dua bulan lalu.
Dia mengakui kadar pertukaran mata wang yang tinggi menyebabkan rakyat dari negara jiran itu ‘tidak berkira’ untuk memesan makanan yang mahal-mahal di restorannya.
"Bagi mereka wang bukan satu masalah, malah menganggap Johor Bahru sebagai ‘syurga makanan’. Jika keadaan mata wang kita berterusan menurun, tidak mustahil akan lebih ramai orang Singapura berbelanja di sini,” katanya.
Bagaimanapun, bagi peniaga ikan di Pasar Awam Larkin, Syamsul Saiful Ismail, 48, penyusutan ringgit tidak terlalu mempengaruhi pelanggan dari negara republik itu untuk membeli ikan di gerainya.
Dia berkata, sebelum ini hampir 50 peratus pelanggan di pasar tersebut merupakan warga Singapura yang datang terutama pada Sabtu dan Ahad.
Klik di sini untuk terus membaca