HARI Wartawan Nasional (Hawana) sepatutnya disambut esok – 29 Mei tetapi atas sebab-sebab logistik, kemuncak perayaan Hawana berlangsung petang ini di sebuah hotel di Ipoh, Perak.
Lebih 800 pengamal dan pemilik serta penerbit media dijangka menghadiri perhimpunan yang bertujuan mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan negara dan menyuburkan demokrasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis tersebut.
Hawana kali ketiga penganjurannya ini turut diserikan dengan beberapa kegiatan sosial dan majlis ilmu.
Jumaat lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memberi perkenan kepada tiga wartawan menyampaikan khutbah Jumaat di tiga masjid di negeri itu – satu penghormatan cukup tinggi daripada seorang raja kepada pengamal media.
Semalam telah diadakan pengembaraan mencari harta karun, bermula dari Kuala Lumpur ke Ipoh melalui Kuala Kangsar.
Malam tadi pula, 250 wartawan terpilih menjadi tetamu santapan diraja yang dihoskan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Bandar Diraja Kuala Kangsar.
Pada sebelah pagi ini berlangsung Forum Antarabangsa Hawana yang membicarakan masa depan media pada era digital melibatkan sebilangan wartawan Asia Tenggara yang diundang menjadi tetamu Hawana sebagai penceramah.
Sejak Hawana dirayakan sebagai suatu hari untuk mengenang jasa wartawan, tidak syak lagi penganjurannya di Ipoh mempunyai keistimewaan tersendiri, berbanding yang pertama di Kuala Lumpur (11 April 2018) dan kedua di Melaka (29 Mei 2022). Penganjuran Hawana secara fizikal pada 2020 dan 2021 menjadi korban Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19.
Sudah tentu bagi wartawan, sama ada menghadiri upacara kemuncak di Ipoh atau tidak, Hawana 3.0 dilihat telah mengukuhkan lagi peranan media sebagai estet keempat bagi mengimbangi dan menyemak fungsi tiga estet negara yang lain – legislatif, judisiari dan eksekutif.
Dengan memilih tema Media Bebas Tunjang Demokrasi, mesej jelas yang ingin disampaikan Hawana terutama kepada kalangan yang berkuasa – demokrasi di negara ini akan menjadi tempang atau cacat jika dunia media dan kewartawanannya dikongkong secara berlebihan.
Sekiranya wartawan dijadikan seperti lembu dicucuk hidung oleh sang penguasa, maka yang rugi adalah kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara yang demokratis itu sendiri.
Hal itu kerana media yang terbelenggu oleh rantai besi, sama ada dari sudut politik, ekonomi, sosial dan perundangan tidak dapat memainkan peranan sebagai wahana komunikasi massa, penyebar maklumat serta pembentuk pendapat sesuai dengan hak khalayak memperoleh informasi diperlukan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran, memajukan kesejahteraan umum serta mencerdaskan kehidupan bangsa.
Kebebasan menyalurkan maklumat hanya boleh dilakukan sekiranya wujud media yang secara relatif bebas.
Kebebasan mutlak tidak ada. Kebebasan itu tentunya bukan bertujuan menyebarkan fitnah, apa lagi berita palsu yang sumbernya diragui.
Kebebasan itu hendaklah berasaskan peraturan dan kerangka perundangan yang tidak bertujuan menekan serta bersandarkan prinsip-prinsip kewartawanan mulia untuk menegakkan kebenaran.
Seperti dihuraikan oleh organisasi media antarabangsa beribu pejabat di Paris, Perancis, Reporters Without Border – kebebasan media bermaksud ‘the ability of journalists as individuals and collectives to select, produce and disseminate news in the public interest independent of political, economic, legal and social interference and in the absence of threats to their physical and mental safety’.
Tentunya ancaman terhadap keselamatan pengamal media bukan dalam ugutan bunuh atau mencederakan.
Gangguan lain termasuk pendakwaan tidak munasabah ke atas wartawan sehingga terpaksa menanggung biayai perundangan tinggi atau disiasat dengan cara keterlaluan juga tidak patut ada.
Benar, wartawan bukanlah kelompok manusia yang mengatasi undang-undang tetapi jika negara ingin mereka menjadi tunjang demokrasi, pengamal media mesti diberi ruang memainkan peranannya sebagai jagawan tanpa gentar.
Kehadiran kerangka perundangan yang mengongkong dan tidak sesuai dengan zamannya hendaklah dimansuhkan atau diperbaharui sesuai peredaran masa.
Sekiranya itu dapat dilakukan barulah media yang bebas itu boleh bertindak sebagai akar tunjang demokrasi. Jika kebebasan itu hanya pada nama, mesej Media Bebas Tunjang Demokrasi yang cuba disampaikan Hawana melalui tema perayaannya kali ini tidak akan sampai ke mana.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca